Tuesday 5 May 2020

ISTILAH POSTER CHILD

Oleh - Hesmel Faznee Faisal

Salam kepada para bloggers dan pembaca blog ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noorhisham Abdullah telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi menerusi rakaman video baru-baru ini dan ianya telah disiarkan menerusi pelbagai rangkaian platform media sosial.

Kandungan video tersebut lebih berbentuk kepada peringatan buat rakyat Malaysia untuk terus mematuhi arahan pelaksanaan PKB (Perintah Kawalan Bersyarat) yang antara lain memberikan kelonggaran kepada sektor-sektor ekonomi tertentu dalam negara untuk meneruskan kembali urusan dagang masing-masing. Namun demikian kelonggaran tersebut bukanlah bererti kehidupan seharian kita kembali seperti sediakala.

Tidak. Rakyat Malaysia masih perlu terus patuh kepada banyak lagi peraturan yang ditetapkan. 

Apa yang harus diutamakan ialah kita perlu kekal mengamalkan disiplin dalam kerangka norma baru kehidupan. Antaranya termasuklah mengamalkan penjarakkan sosial di antara satu sama lain, kerap membasuh tangan dan membawa bersama cecair pembasmi kuman kemana sahaja kita berada. Masyarakat kita harus terus kekal patuh kepada perintah SOP yang telah dikeluarkan.

Menarik tentang siaran video tersebut ialah peringatan dan juga penerangan itu telah disampaikan oleh seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah, Jabatan Kesihatan Malaysia yang berada di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. Mungkin ramai yang tertanya-tanya mengapakah tanggungjawab tersebut untuk menyampaikan peringatan penting sebegini tidak dilakukan oleh seorang yang mempunyai authority yang lebih tinggi, seperti Menteri atau Timbalan kepada Kementerian yang berkaitan?

Penulis yakin, ianya berkait rapat dengan pengaruh dan juga populariti Dr Noor Hisham sepanjang pandermic ini mula tercetus di awal bulan Mac lalu. Pada masa itu, kebanyakan kenyataan media dalam sidang akhbar telah disampaikan oleh bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, sebelum berlaku "rombakan besar-besar" tampok pemerintahan negara yang turut menyaksikan tempat beliau digantikan oleh Datuk Seri Dr Adham Baba.

Antara kenyataan awal Dr Adham Baba, sejak mengambilalih jawatan tersebut dari Dr Dzulkefly ialah menggalakkan orang ramai untuk meminum air suam bagi mencegah jangkitan virus Covid19. Kenyataan beliau telah disangkal oleh pelbagai pihak, termasuklah oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri yang menyangkal teori tersebut yang berlegar di dalam media-media sosial, dua bulan sebelum Dr Adham dilantik menjadi Menteri KKM.

Sejak daripada insiden itu jugalah boleh dikatakan Dr Noor Hisham akan tampil menerusi sidang media KKM untuk menyampaikan perkembangan terkini COVID19 di negara kita.

Hebatnya aura Dr Noor Hisham hinggakan rata-rata rakyat Malaysia telah mengeluarkan pelbagai ucapan dan rakaman video sempena ulangtahun kelahiran Dr Noor Hisham yang jatuh pada bulan April lalu. Beliau juga seolah-olah telah menjadi artis sekelip mata apabila para netizen dengan gigihnya menyemak latarbelakang beliau dan mencungkil asal usul beliau, seorang anak berketurunan Cina yang telah dipelihara oleh seorang guru agama.

Di Malaysia, seseorang itu akan dikenali menerusi dua dan dua kaedah sahaja. Kaedah molek atau kaedah tidak molek. Oleh kerana peranan Dr Noor Hisham dalam memastikan jangkitan COVID19 itu tidak merebak keseluruh negara dan berjaya melandaikan jangkitan tersebut ke suatu paras yang selamat, beliau telah diraikan sebegitu rupa. Maka Dr Noor Hisham dikenali dan diingati kerana melakukan perkara yang molek dan berjaya menenangkan semua pihak.

Maka disebabkan itu jugalah barangkali Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan beliau persis ikon KKM dalam penyampaian mesej-mesej dan maklumat penting kepada masyarakat. Memandangkan beliau sendiri seorang doktor pakar yang mempunyai kepakaran berpuluh-puluh tahun dalam bidang perubatan dan ketokohan beliau yang kekal tenang dan mampu menjawab setiap soalan dalam dwibahasa maka kriteria-kriteria inilah juga yang menyebabkan beliau dipilih sebagai jurucakap utama KKM. 

Dari konteks ini, beliau telah menjadi poster child untuk menyampaikan perihal-perihal penting dalam ehwal-ehwal berkaitan wabak COVID19 di negara kita. Peranan seorang poster child amat penting kerana menjadi suara dan ikon sesuatu gagasan. Sekitar tahun 1986 - 1991 seorang kanak-kanak bernama Ryan White menjadi terkenal dengan peranan beliau sebagai poster child kepada usaha membanteras penyakit AIDS sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1991 akibat penyakit tersebut. 
Mendiang Ryan White

Seperti juga penyakit COVID19, pada masa itu tidak ramai yang tahu dan maklum akan penyakit AIDS kerana ianya merupakan suatu penyakit yang baru. Mendiang Ryan sendiri dijangkiti penyakit itu semasa proses transfusion darah. Beliau merupakan seorang pesakit hemophilia, sejenis penyakit yang mengakibatkan pengidap mengadapi kesukaran memberhentikan darah apabila pendarahan berlaku.

Ryan merupakan suatu perlambangan kepada usaha dan semangat yang tidak mengenali erti mengaku kalah kerana hakikatnya itulah yang beliau lakukan sepanjang hayat beliau dalam melawan penyakit AIDS yang beliau hidapi.

Maka atas faktor itu jugalah seorang poster child itu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang berat dan tersendiri. Dari konteks itu jugalah Dr Noorhisham melaksanakan peranan beliau untuk melawan COVID19 dan kita semua sebagai rakyat Malaysia harus turut sama membantu beliau melawan virus itu. 

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu
The Salam Connection    

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...