Thursday 10 June 2021

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU


                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal

Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-1973) atau nama sebenar beliau, Tan Sri Dr Zainal Abidin Ahmad adalah seorang tokoh bahasa, pemikir dan cendekiawan Melayu yang tiada tolok tandingnya dalam ruang pemikiran dan intelek Melayu. Sumbangan penting beliau kepada perkembangan bahasa Melayu di negara ialah menerusi buku Ilmu Mengarang Melayu, Pelita Bahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi atau Rumi. Kebanyakan daripada hasil tulisan Allahyarham telah digunakan sebagai rujukan dalam penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu. Kejayaan terbesar Allahyarham Pendeta Za’ba ialah menerusi pengenalan sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu, atau dirujuk sebagai Sistem Ejaan Za’ba.

Beliau turut membincangkan tentang hal-hal berkaitan agama yang menjadi tunjang utama kepada usaha mengukuhkan perlakuan masyarakat Melayu serta pemupukan nilai-nilai murni dan pengukuhan budi menerusi buku beliau, Asohan Budi yang diterbitkan pada tahun 1958. Allahyarham Za'ba telah memberikan tumpuan kepada kepentingan agama sebagai prinsip utama dalam pengukuhan sikap dan perangai Melayu. Beliau juga turut memberikan penegasan kepada perlunya kita menggunakan pertimbangan akal untuk menjalankan perintah agama dan bukan sekadar mengikutnya secara membuta tuli.

Seperti Allahyarham Za’ba, Allahyarham Tan Sri (Dr) P. Ramlee (1929-1973), adalah tokoh penting dalam dunia muzik dan perfileman Melayu. Sumbangan beliau dalam kedua-dua bidang itu terus menjadi tumpuan dan masih diraikan sehingga kini. Jika dibandingkan Allahyarham Za’ba yang menjadikan deria pandang dan akal bagi tujuan penyemarakan minda orang Melayu, Allahyarham P. Ramlee menggunakan deria pandang dan dengar sebagai wadah untuk menegur dan mendidik masyarakat, khususnya Melayu untuk mengingatkan mereka tanpa perlu menyinggung perasaan atau menjatuhkan air muka.

Hakikatnya, akal budi dalam masyarakat Melayu itu saling berhubung kait di antara satu sama lain. Tinggi pekertinya budi pekerti Melayu itu dapat dicerminkan menerusi kaedah dan cara mereka melakukan teguran umum. Dari konteks akal budi Melayu, Allahyarham P. Ramlee kerap menggunakan dialog yang bersifat kiasan untuk menegur sistem kepimpinan dan masyarakat Melayu itu sendiri. Begitu juga perihalnya dengan Allahyarham Za’ba apabila membicarakan tentang agama dalam penulisannya, beliau tidak terus menjurus kepada konteks agama mahupun tidak lekas menghukum berkaitan agama kepada seseorang. Sebaliknya beliau banyak berkias dalam konteks haram dan halal serta faktor makruh dan harus.

Pendekatan yang dilakukan oleh kedua-dua tokoh inilah yang menjadikan Allahyarham Za’ba dan P. Ramlee sebagai contoh seseorang yang mempunyai tingkat akal budi yang perlu dinilai dan diraikan oleh generasi kini. Semoga Allah mencucuri kurnia rahmat ke atas roh kedua-dua insan berbakat ini.

Alfatihah.

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu - The Salam Connection

Gambar ehsan - Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala Lumpur

 


SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...