Oleh - Hesmel Faznee Faisal
Salam, kepada para bloggers dan pembaca blog ini.
Self isolation atau pengasingan diri itu sebenarnya suatu proses yang menentukan halatuju manusia dalam pencarian diri sendiri. Lebih tepat, berkhalwat untuk mengenali diri. Segelintir daripada kita boleh meneruskan hidup tanpa bercampur dengan sesiapa, selama seminggu, sebulan atau mungkin setahun. Ada pula yang tidak dapat membiasakan diri dan akan mula melakukan apa sahaja bagi membebaskan perasaan sunyi, terasing dan keseorangan dengan apa kaedah dan cara sekalipun!
Tidak dapat dinafikan, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan selama hampir 2 bulan, daripada 18 Mac 2020 sehingga 12 Mei 2020 di negara kita bertujuan untuk melandaikan jangkitan kuman COVID19 telah menjadikan rakyat Malaysia terpaksa mengharungi proses pengasingan diri ini. Ada yang mengasingkan diri secara keseorangan, bersama keluarga atau mungkin bersama teman yang disayangi. Di dalam tempoh itu jugalah pelbagai perkara yang dilakukan masyarakat demi melarikan diri daripada perasaan dan keadaan terkongkong tersebut.
Masakan tidak!
Sepanjang tempoh PKP, hanya mereka yang tertentu sahaja dibenarkan keluar untuk membeli barangan dan keperluan harian. Jika ada yang keluar lebih dari seorang, maka bersiap sedialah berhadapan dengan saman sebanyak RM1000 atau mungkin dipenjarakan jika tidak dapat melangsaikan saman tersebut!
Kepada mereka yang tidak dapat keluar, hanya telefon bimbit dan media sosial menjadi teman. Ada yang melampiaskan perasaan sunyi itu dengan menjadikan media sosial tempat untuk menghilangkan kegusaran yang melanda. Maka di sinilah juga fenomena baru melanda masyarakat kita.
Fenomena Tiktok.
Biarpun ianya sudah lama menapak dalam masyarakat, khususnya di kalangan generasi milenium namun dek kerana PKP ini jugalah limpahan popularitinya turut terkesan kepada golongan generasi terdahulu!
TikTok merupkan satu platform rangkaian sosial untuk perkongsian video yang dimiliki oleh ByteDance, sebuah syarikat yang berpangkalan di Beijing, China. Sejak ditubuhkan pada tahun 2012 aplikasi tersebut telah dimuat turun sebanyak 1.5 billon kali. Kebanyakan daripada pengguna menjadikan tiktok sebagai aplikasi untuk merakamkan aksi komedi, tarian, memek wajah, dialog dan lain-lain.
Aplikasi tersebut dapat dikatakan persis cucu kepada Youtube, aplikasi video sharing yang lebih awal wujud daripada Tiktok, sekitar tahun 2005, hampir 15 tahun dahulu. Perbezaan di antara Tiktok dan Youtube ialah dari segi durasi video yang dapat dimuatkan kedalam aplikasi masing-masing. Format video yang dapat dikongsikan kedalam youtube boleh diubah, daripada kualiti tinggi (HD) hingga yang terendah (240fps). Manakala bagi tiktok pula keistimewaannya terletak kepada efek yang dapat diubahsuai mengikut kehendak pengguna.
Konsep yang diketengahkan oleh Youtube lebih bersifat menyeluruh di mana sesuatu kandungan itu boleh ditonton menerusi televisyen pintar. Dibandingkan pula dengan tiktok, kebanyakan durasi videonya berdurasi sekitar 15-60 saat.
Berdasarkan kepada pemerhatian saya selepas memasuki aplikasi Tiktok ini, nyatalah kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan remaja dan belia 24 tahun kebawah. Pelbagai aksi yang telah dipaparkan mereka. Ada yang bersifat kelakar dan tidak kurang juga agak bersifat sensitif dari konteks peradaban masyarakat. Ruang escapism yang ditawarkan oleh Tiktok telah menjadikan ianya perisian yang paling popular di kalangan remaja.
Masakan tidak, jika dibandingkan dengan Youtube, Tiktok lebih mendekati hati dan jiwa anak-anak muda. Seperti facebook, yang kini mula dijauhi oleh golongan muda kerana golongan dewasa menjadikan ia ruang untuk berpolitik dan lain-lain tujuan, Youtube juga turut mengalami kesan yang sama kerana ianya turut digunakan golongan tertentu untuk tujuan tertentu dan ianya tidak lagi dianggap sebagai trendy!
Aplikasi interaktif yang ditawarkan oleh Tiktok bersifat augmented reality yang mana ianya mampu merubah bentuk paras muka dan latarbelakang sesuatu lokasi video itu dirakamkan oleh para pengguna. Secara tidak langsung ia telah menyediakan ruang terbaik untuk golongan remaja ini lari dari kebosanan sepanjang tempoh PKP tersebut.
Namun demikian, dalam sesuatu perkara sudah pasti akan wujud ruang kelabu di antaranya.
Kegusaran yang wujud adalah dari segi pengaksesan data peribadi yang telah dikumpul oleh aplikasi tersebut serta had usia pengguna untuk mengakses aplikasi ini. Perkara tersebut sudah pasti menimbulkan kegelisahan oleh negara seperti Amerika Syarikat memandangkan aplikasi ini berasal dari China dan berpangkalan di sana, ditambah pula kerana populariti aplikasi itu di kalangan warga negara AS sendiri!
Isu keselamatan dari aspek data peribadi juga turut menjadi persoalan oleh segelintir pihak. Ini memandangkan kebanyakan daripada pengguna terdiri daripada remaja berusia di antara lingkungan 13 - 15 tahun. Sudah pasti ianya akan menimbulkan persoalan dan kegusaran daripada pelbagai sudut. Sesiapa sahaja boleh mengakses aplikasi ini. Ini termasuklah golongan pedophilia!
Suatu perkara yang pasti ialah Tiktok merupakan di antara ombak-ombak kecil yang bakal bertukar menjadi besar dan maha hebat serta mampu menenggelamkan media semasa, suatu masa nanti. Masyarakat barangkali tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada hiburan di media-media perdana kerana dewasa ini, golongan penonton televisyen telah mula beralih kepada tontonan menerusi aplikasi Android Box untuk tontonan live streaming seluruh dunia!
Apa yang sering dimomokkan oleh orang-orang dahulu kala tentang konsep dunia tanpa sempadan telah berlaku. Jika dilihat dari satu sudut, manusia tidak perlu lagi memerlukan pasport untuk kembara ke seluruh dunia. Ditambah lagi dengan pandemik COVID19 yang menyaksikan banyak negara menutup pintu masuk ke negara masing-masing, akan tiba suatu masa nanti masyarakat tidak mahu lagi mengembara ke seluruh dunia.
Semuanya dilakukan hanya menerusi sentuhan pad kekunci!
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu
The Salam Connection
No comments:
Post a Comment