Salam, kepada para bloggers dan pembaca blog syok sendiri ini.
YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib Razak telah menyatakan hasrat beliau di atas untuk melihat negara kita menjadi antara negara pengeluar Al-Quran terbesar di dunia, selepas Arab Saudi.
Ini merupakan salah satu langkah positif beliau di dalam menaikkan kembali Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang mengimbangkan antara fidunya wal akhirah sebuah negara Islam contoh, selepas hampir 6 tahun Malaysia hilang di dalam radar pengiktirafan negara Islam yang lain, semasa di bawah pemerintahan Perdana Menteri itu.
Namun, di dalam kegembiraan dan keseronokan saya dengan usaha murni ini, terdapat beberapa kerisauan dan kegusaran yang menghantui diri ini. Pertamanya, apakah kita akan hanya sekadar menjadi pengeluar dalam konteks pencetak Al-Quran, atau kita mengambil inisiatif untuk menjadikan Malaysia sebagai hub kajian semula Al-Quran yang pertama di dunia?
Jika diimbas kembali hasrat Perdana Menteri ke4, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau mahu Al-Quran ditafsir semula mengikut kehendak dan kesesuaian zaman, seperti yang dilaporkan di sini. Ada pihak yang membuat pelbagai andaian, yang kadangkala lebih bersifat pramatang atau dangkal, seperti di sini.
Secara peribadi, saya berpendapat apa yang dimaksudkan beliau bukanlah bererti Al-Quran sekarang tidak lengkap tafsirannya, sebaliknya Al-Quran itu perlu dikaji semula dari aspek keilmuan dan juga dari aspek saintifiknya, walaupun Dr Kassim Ahmad, salah seorang pengkaji Al-Quran mempunyai pendapat berbeza mengenai al-Quran sebagai sebuah buku saintifik.
Walaubagaimana pun, saya secara peribadi berpendapat bahawa Al-Quran itu perlu dibaca dan dinilai serta dikaji persis kita mengkaji karya sastera yang cukup tinggi nilai estetikanya. Ianya mempunyai pelbagai rahsia yang tersembunyi yang mana tidak cukup untuk kita mengetahui rahsia di sebaliknya hanya dengan melagukan dan mendendangkannya ketika waktu Subuh, Maghrib atau Isya sahaja.
Kerisauan yang saya hadapi selain daripada itu ialah sejauh manakah kesediaan kita untuk menjadikan negara ini pengeluar Al-Quran yang terbesar selepas Arab Saudi? Ini kerana rata-rata umat Islam di Malaysia masih terus berpegang kukuh dan teguh kepada ajaran dan doktrin yang diterima oleh mereka dari nenek moyang mereka, tanpa ada keberanian untuk melihatnya dari luar sudut yang berbeza.
Dengan berkata demikian, bukanlah bererti saya memandang rendah kepada kemampuan aqal umat Islam di Malaysia, namun kesediaan kita untuk menjadi pengkaji Al-Quran secara bersifat individual dan tidak terlalu bergantung hanya kepada para ulama sahaja untuk menyampaikan ilmu Al-Quran itu sendiri.
Sebenarnya Al-Quran itu mudah untuk difahami dan dihayati, bersyarat kita bersedia untuk terus belajar dan belajar tanpa mengenali noktah pembelajaran itu. Apa yang perlu dibimbangkan kerana Allah sendiri yang mengajar Al-Quran itu kepada umat insan, seperti mana firmannya di bawah;
(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmatNya.
(Ar-Rahmaan 55:1) |
Dia lah yang telah mengajarkan Al-Quran.
Cara Allah mengajar Quran itu luas tafsirannya. Malah guru kita bukanlah terhad hanya kepada mereka yang mengajar kita tentang teknik pembacaan Al-Quran yang betul, sebaliknya guru kita adalah individu atau perkara sekeliling yang wujud di sekitar kita.
Kadangkala saya merasa terpanggil untuk mengkritik individu tertentu yang terlalu asyik mengajar dengan bersungguh tentang pembacaan Al-Quran dari sifat idham dan dengungan yang tepat serta sebutan yang betul, namun membelakangkan intipati ayat-ayat Quran itu sendiri. Yang melucukan hati saya ialah sesetengah daripada mereka ini menjadi "superstar" bertitik tolak daripada populariti mereka sebagai pengajar, daripada menjadi popular kerana berani untuk menyuarakan perkara yang benar di dalam Al-Quran.
Sekali lagi saya ingin bertanya pada diri saya sendiri, apakah kita bersedia kepada perubahan dan revolusi pemikiran untuk melihat Al-Quran bukan sekadar sebuah kitab lagu dan dendangan, sebaliknya melihat Al-Quran sebuah buku ilmu yang mempunyai rahsia yang masih belum terungkai oleh aqal pemikiran?
Hanya masa yang akan menentukan.
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu - The Salam Connection.
No comments:
Post a Comment