Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal
Tajuk di atas diharap akan mencerminkan dengan isu-isu yang berlaku sejak kebelakangan ini. Perkataan half past six itu telah diucapkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad (seperti biasa, penulis tidaklah memuja ataupun menyokong beliau secara membabi buta seperti segolongan pemimpin mahupun wakil rakyat sekarang, atau lebih tepat "kami sokong! tapi tak tau sokong apa! di dalam menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri!) bagi menggambarkan kerajaan Malaysia yang terdapat sekarang.
Penulis agak sibuk kebelakangan ini. Sibuk melihat pelbagai penafian. Penafian daripada pelbagai pihak. Ada pihak yang cuba menafikan perkara ini. Ada pihak yang cuba menafikan perkara itu, namun hakikatnya kita sendiri yang menjadi bingung dengan pelbagai penafian daripada pelbagai pihak.
Terbaru, seekor beruk cerdik pandai telahpun menjual setandan pisang yang telah dibelinya (José, cakap biar berlapik) kepada pihak yang tertentu. Menurut cerita, beruk ini ingin menumpukan perhatiannya di dalam kemahiran memanjat dari satu pokok ke pokok yang lain. Oleh yang demikian, ia tidak mahu dilihat mengusung setandan pisang yang banyak. Ini kerana, beruk ini bimbang ianya mungkin akan mendatangkan perasaan cemburu dari beruk-beruk lain!
Penulis ingin menarik perhatian para pembaca blog Bacalah (José, itupun kalau ada!) tentang kemerdekaan. Kemerdekaan kita yang ke-49 tahun. Kepada rakyat Semenanjung Malaysia, sudah 49 kali kita merasakan kemerdekaan. Kepada rakyat Sabah Sarawak, 42 tahun kita Merdeka!
Izinkan penulis untuk berkongsi cerita tentang bermulanya episod penjajahan negara kita yang dijajah selama 450 tahun. Satu tarikh yang agak lama! Ianya bermula apabila Portugis berjaya menawan Goa (di India, José). Portugis mendapati bahawa India tidak dapat memberikan mereka sebarang bentuk kekayaan dari segi rempah dan lain-lain lagi, sebaliknya Selatan Asia (baca Melaka) yang mampu memberikan kekayaan kepada mereka.
Selepas berjaya mengumpul maklumat-maklumat penting dari setiap pelayar yang berlabuh di Goa, mereka mendapati bahawa sesiapa yang memerintah Melaka itu persis mempunyai keupayaan untuk menjatuhkan kerajaan Venice (di Itali, yang terkenal dengan botnya itu, José!). Oleh kerana ingin menembusi kekuatan ketenteraan Melaka, Portugis telah menghantar 5 buah kapal perang di bawah Komander Diego Lopez de Sequeira (José, tiada kena mengena dengan Jennifer Lopez!)
Mereka telah melabuhkan kapal mereka, buat pertama kalinya ke tanah Melayu, pada 11hb Ogos 1509 (hampir 500 tahun lalu, José!) de Sequeira telah menghantarkan kapten-kaptennya ke darat untuk menghantar utusan dan hadiah untuk Sultan Melaka (José, bukankah orang Melayu ini suka benar dengan hadiah-hadiah dan pangkat serta gelaran?). Memandangkan orang-orang Melaka (baca Melayu) tidak pernah melihat bangsa Eropah ini, mereka merasa hairan dan pelik dengan paras rupa bangsa ini.
Bendahara (baca Perdana Menteri) telah menerima segala hadiah pemberian dari Portugis. Pada mulanya, golongan Peringgi ini telah dilayan dengan baiknya tetapi segalanya mula berubah apabila orang-orang Arab dan India Muslim mula memujuk Sultan supaya tidak begitu mempercayai kaum penjajah ini (penulis terasa macam ada dejavu dalam perenggan ini!)
Mereka memberi amaran kepada Sultan Melaka bahawa Peringgi tidak berminat untuk berdagang sebaliknya mereka bercadang untuk mengambil segala urusan perdagangan yang terdapat di Melaka pada ketika itu (José, dalam kata lain, mereka nak menjajah!)
Sebuah plot telah dirancangkan untuk menangkap Peringgi dan juga menyerang armada kapal mereka. Malangnya, rancangan ini gagal apabila seorang gadis yang sedang bercinta dengan salah seorang anak kapal Peringgi itu membocorkan rahsia. Rancangan ini kemudian telah sampai kepada Kapten Ruy De Aranjo.
Apabila penduduk tempatan mendapati rancangan mereka telah berjaya dihidu oleh Peringgi, mereka terus menangkap Kapten Ruy dan 20 anak kapalnya yang tidak bersenjata, semasa dia bersama anak-anak kapalnya itu sedang membeli barangan di pasar Melaka.
Apabila Alfonso D’ Albuquerque, kerajaan Portugis dan Gabenor mendapat berita penangkapan Kapten Ruy dan anak-anak kapalnya, di telah mengarahkan supaya 18 buah kapal perang, bersama dengan 1,400 orang yang terdiri daripada 800 askar Portugis dan 600 askar Malabar India (José, askar Malbari!) menyerang Melaka. Portugis telah memasuki Melaka (atau menjajah!) pada 1hb Julai 1511 dengan tujuan untuk menjajah dan memerintah Melaka.
Penulis ingin menarik perhatian tentang point yang menarik di atas cerita di atas. Ratanya, ia berkisar tentang penjajahan, seterusnya tentang kemerdekaan. Kemerdekaan yang kita rasa selepas dijajah selama hampir 450 tahun! Penulis lihat, ada beberapa pihak tertentu menggesa rakyat (baca rakyat Malaysia) menunjukkan sifat patriotisme kepada negara dengan mengibarkan bendera Malaysia (Jalur Gemilang, apa bezanya? Ia tetap kelihatan seperti bendera Amerika!)
Penulis ingin memetik kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu semua pihak menghentikan secara muktamad perbincangan mengenai isu jambatan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana isu itu sudah dijawab dan dijelaskan berulang kali oleh kerajaan dan tidak perlu lagi dipanjangkan. Najib berkata, perbahasan mengenai isu itu tidak seharusnya dibiarkan kerana ia akan menjejaskan tumpuan kepada pembangunan yang lebih diperlukan rakyat.
Penulis sebenarnya ingin memaklumkan kepada para pembaca blog Bacalah (José, itupun jika ada!) bahawa penulis tidak sekali-kali memuja dan menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang individu (seorang pencen yang jasanya kini telah dilupakan. Buat apa penulis membodeknya bukan?) yang menentang keras pembatalan jambatan bengkok ini.
Apa yang menghairkan penulis ialah, mengapakah Kerajaan, termasuk Pak Lah a.k.a the lame duck a.k.a typical Government servant begitu yakin yang mereka telah memberitahu dan menjawab semua soalan berkaitan “cynical bridge” ini? Sebenarnya banyak lagi jawapan yang kelihatan tergantung persis dibiarkan tanpa sebarang jawapan!
Penulis sudah bosan dan merasa cemuh membicarakan tentang perkara ini berkali-kali, tetapi penulis ingin sekali mengaitkan peristiwa ini dengan sambutan kemerdekaan yang nampaknya semakin lama semakin tidak diendahkan lagi oleh orang ramai!
Apabila negara kita khususnya pemimpin tertinggi negara (José, terpikir juga penulis, adakah negara kita ini sekarang mempunyai 2-3 Perdana Menteri?!) telah hilang keberanian, maruah dan juga harga diri? Sebagai contoh, mengapakah negara kita tidak mahu membawa kes ini ke Mahkamah Antarabangsa? Kemanakah hilangnya semangat alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan?
Penulis sebenarnya tidak mahu membincangkan secara lanjut tentang perkara ini. Cuma apa yang penulis harapkan sambutan Kemerdekaan tahun ini akan lebih meriah dan lebih bererti. Apalah gunanya menyambut hari Kemerdekaan tetapi kita seolah-olah dipaksa untuk mempamerkan bendara Malaysia (entah apa bezanya Jalur Gemilang dan bendera Malaysia!) oleh Kementerian Kebudayaan Kesenian dan Warisan.
Sepatutnya Kerajaan memberikan penekanan terhadap sejarah lampau, merombak semula muzium dan juga pameran-pameran yang terdapat di Memorial-memorial dan juga Muzium Negara kita. Jangan sembunyikan fakta-fakta yang menakutkan seperti bagaimana begitu sukar pahlawan-pahlawan dahulu kala melawan penjajah demi menuntut kemerdekaan. Sekadar mengibar bendera Malaysia (baca: Jalur Gemilang) dan menyanyikan lagu Jalur Gemilang, amatlah tidak cukup!
Apa yang penting, kita perlu memupukkan perasaaan sedih dan hiba semasa menyambut Kemerdekaan kerana daripada situ, barulah kita akan benar-benar menghayati dan menghargai pengorbanan pahlawan dahulu kala menuntut kemerdekaan! Adalah tidak cukup jika kita sekadar berkumpul di Padang Merdeka (baca - Dataran Merdeka) pada tiap-tiap malam menjelang 31hb Ogos dan mengadakan konsert! Sepatutnya kita perlu merubah konsep menyambut kemerdekaan dalam keadaan gembira kerana perasaan sedih juga perlu dipupuk pada tiap-tiap tahun menyambut kemerdekaan.
Penulis tahu, ramai yang menyangkal cadangan supaya kita menyambut kemerdekaan dalam rasa sedih, tetapi percayalah jika kita bermelankolik dalam menyambut kemerdekaan, kita akan merasa sentimen dan lebih sensitif dengan pergorbanan yang telah dilakukan oleh pahlawan kita.
Apalah juga ertinya kemerdekaan jika kita seolah telah menyerahkan maruah dan intergriti negara kita kepada pihak tertentu? Penulis tidak berniat untuk menghasut mahupun memburukkan keadaan, tetapi sekadar bertanya kembali.
Adakah kita benar-benar merdeka seandainya apa jua yang ingin kita lakukan kini terpaksa dibatalkan kerana didesak oleh pihak-pihak tertentu? Adakah benar-benar bererti merdeka kita ini jika kenderaan kebangsaan kita kini semakin diketepikan dan digantikan oleh kenderaan dari negara asing? Adakah kita benar-benar merdeka jika kini setiap perkara yang ingin kita lakukan terpaksa dikawal dan sebagainya?
Jika jawapan di atas kebanyakannya berbunyi ya, ternyata kita “merdeka” di dalam konteks kemerdekaan yang telah diprogram, dan bukannya merdeka dalam ertikata merdeka yang sebenar!
Kita kan tersesat pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection
No comments:
Post a Comment