Oleh - Hesmel Faznee Faisal
Salam, kepada para bloggers dan pembaca blog syok sendiri ini!
Sejak kebelakangan ini, saya sering risau. Risaukan tentang pelbagai perkara; namun kerisauan ini berjaya dikurangkan sedikit apabila saya melihat kepada rasionale yang ditunjukkan oleh orang ramai, khususnya orang Melayu Islam di negara ini.
Ya, mungkin ramai yang sedia maklum tentang apa yang hendak saya perkatakan.
Mengenai serbuan pihak berkuasa di sebuah tempat ibadah tertentu. Namun selepas melihat video yang telah dipaparkan di dalam beberapa website, saya berpendapat ianya bukan sebuah serbuan semata. Lebih kepada pemeriksaan yang bersifat diplomasi.
Ada pihak tertentu yang cuba menjadikan isu ini sebagai isu politik dan tak kurang juga yang melihatnya dengan rasionale dan waras, seperti yang telah saya jelaskan di awal penulisan ini. Rasionalnya ialah sehingga setakat ini, belum kedengaran atau terbaca di dalam blog mahupun akhbar sebarang rumah ibadah dibakar, atau mungkin pengikut agama-agama tertentu diancam dengan ancaman bunuh.
Tidak.
Mungkin, sekadar mungkin rakyat Malaysia yang masih cintakan keamanan bersikap tunggu dan lihat. Atau mungkin kerana kasihnya mereka pada tanahair ini, mereka rela memendamkan kemarahan mahupun rasa tidak puas hati di dalam diri masing-masing? Saya tidak tahu.
Hakikatnya, kita harus mencari dan mengenalpasti, pokok pangkal kepada mengapa terdapat segelintir orang Melayu Islam, berjinak-jinak dengan cara hidup yang lain dari addin Islam. Selain daripada itu, kita juga harus mengenalpasti dan menyelidiki latarbelakang mereka ini, bagaimanakah dan apakah yang mencetuskan keinginan mereka mendampingi addin lain selain Islam?
Masalah ini tidak mungkin akan dapat diselesaikan selagi kita membuat andaian, maka andaian inilah yang akan terus menganggu di dalam pemikiran kita.
Hakikat utama yang tidak dapat dinafikan ialah pendekatan kumpulan agama tertentu ini bersifat psikologi, dalam erti kata lain mereka menusuki kalbu umat tertentu menerusi pendekatan mereka yang cukup mesra. Jika dilihat pada sejarah awal negara ini, sekitar abad ke-18 dan 19, begitu banyak mubaligh-mubaligh Kristian muncul di Borneo, bertujuan untuk merapati golongan Bumiputera di sana, yang rata-ratanya mengamalkan budaya animisme. Pada masa itu, senjata utama mereka ialah makanan, pakaian dan buku-buku serta ilmu. Maka, inilah pendekatan utama yang paling mujarab buat mereka.
Benar, wujud kes-kes umat Islam yang telah “berpaling” dari addin Islam di Malaysia. Ada yang berasal dari addin lain, menemui hidayah lalu mengikuti addin Islam. Namun hidayah yang ditemui itu bersifat sementara dan mereka kembali kepada hakiki asal.
Saya sendiri pernah bertemu dengan seorang “muallaf” yang mengalami masalah kewangan di Kuala Lumpur. Dia cuba untuk memohon pertolongan daripada Baitulmal, namun permohonannya ditolak dengan alasan, “muallaf” itu sepatutnya memohon pertolongan di negeri asal “muallaf” itu memeluk Islam.
Maka berkelanalah “muallaf” itu di Kuala Lumpur, tanpa wang mahupun tempat tinggal. Itu baru kes yang saya ketemui secara kebetulan, bagaimana dengan nasib “muallaf” lain yang mengalami pengalaman sama?
Selain daripada itu, ada juga umat Islam yang sememangnya lahir sebagai Islam namun perginya ke “negeri hakiki” ini menerusi jalan yang lain.
Mereka dikatakan bosan dengan cara dan gaya addin Islam ini, kerana terlalu banyak doktrin dan lain-lain hal. Ini mengerakkan mereka untuk “berpaling” ke kiblat yang lain. Persoalannya, apakah addin yang telah Allah tunjukkan, seperti yang dijelaskan dalam Surah 5:3;
“Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu ( Islam ) dan Aku telah mencukupi nikmat Ku kepadamu dan telah Aku redai Islam itu din ( agama ) kamu.”
Tidak difahami atau mungkin pendekatan yang diambil tidak menepati dengan kehendak zaman?
Hakikat yang harus difahami ialah zaman berdakwah, seperti yang digunakan sekarang adalah tidak lagi relevan dan tidak menambat hati dan sanubari generasi sekarang. Umat Islam, khususnya golongan pendakwah tidak boleh menyalahi umat bukan Islam yang cuba mendakwah kerana Allah telahpun menyatakan di dalam Quran, berkenaan perihal bukan Islam ini di dalam surah 2:120;
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”.
Tanggungjawab yang lebih penting ialah untuk memastikan Islam sebagai addin yang disenangi semua dan umat Islam sendiri merasa senang dengan addin yang telah ditunjukkan oleh Allah ini.
Tempat-tempat ibadah seperti masjid, harus diubah menjadi tempat yang “mesra belia”. Mereka merasa senang untuk mendekatinya, biarpun belia ini dari kumpulan shuffler, pemuzik rock mahupun seorang bekas penagih dadah atau pengidap AIDS, mereka merasakan bahawa kehadiran mereka diterima dan dihargai.
Sudah sampai masanya untuk para pendakwah melakukan evolusi demi mengelakkan dari sebarang revolusi!
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection
No comments:
Post a Comment