Friday 30 March 2007

SYARAHAN UMUM - "Menangani Korupsi: Model Percontohan Dari Sumatera Barat" oleh Profesor Saldi Isra

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal
Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), telah mengadakan syarahan umumnya yang kesepuluh bertajuk, “Menangani Korupsi: Model Percontohan dari Sumatera Barat, Indonesia” di Dewan Kuliah II, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Malaya pada 29 Mac 2007 lepas. Profesor Saldi Isra, pensyarah dari Fakulti Undang-Undang, Unversiti Andalas Sumatera Barat, Indonesia telah dijemput untuk menyampaikan syarahan tersebut. Seramai 120 orang telah hadir untuk mengikuti ceramah tersebut.

Majlis yang bermula jam 5.00 petang dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengarah INPUMA, Dr. Khadijah Md. Khalid bagi meraikan kedatangan Pengarah Lembaga Universiti Malaya, Y.Bhg. Tan Sri Arshad Ayub dan Pengerusi BERNAMA merangkap ahli Lembaga Pengarah Universiti, Y.Bhg. Dato’ Mohd Annuar Zaini serta beberapa orang wakil daripada Badan Pencegah Rasuah, Insitut Intergrasi Nasional, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan para hadirin ke majlis tersebut. Beliau juga turut mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Profesor Saldi Isra kerana sudi menerima jemputan dan menyampaikan syarahan di Universiti Malaya.

Dato’ Mohd. Annuar Zaini, selaku pengerusi majlis telah memulakan ucapan beliau dengan memberikan contoh tentang beberapa jenis rasuah yang wujud di Malaysia. Beliau turut berkongsi nostalgia beliau sebagai seorang penuntut universiti bersama para hadirin, dengan memberi contoh tentang minat para penuntut universiti sekarang mengenai isu rasuah amat rendah.

Antaranya, jika dibandingkan dengan kesungguhan dan minat yang ditunjukkan penuntut universiti pada awal 70an dahulu, apabila Allahyarham Profesor Dr. Syed Hussien Al-Attas menyampaikan kuliah berkaitan isu rasuah, para penuntut akan memenuhi dewan kuliah. Beliau merujuk kepada jumlah kehadiran penuntut dan orang ramai yang tidak memenuhi dewan kuliah pada hari tersebut.

Majlis kemudian diteruskan dengan Pengerusi Majlis menjemput Profesor Saldi Isra untuk menyampaikan syarahan bertajuk “Menangani Korupsi: Model Percontohan dari Sumatera Barat”. Profesor Saldi memulakan syarahannya dengan mendefinisikan beberapa jenis rasuah yang terdapat di sana. Menurut beliau, rasuah bermula apabila seseorang itu hendak mempercepatkan sesuatu urusan dan bagi melaksanakan urusan tersebut, wang ringgit mula digunakan.

Beliau turut menghuraikan dengan panjang lebar tentang bagaimana gejala rasuah itu mula berakar di Indonesia, serta kesan-kesan sampingan daripada jenayah rasuah. Beliau turut mengaitkan gejala rasuah ini merupakan sebahagian daripada punca keruntuhan ekonomi Indonesia dan telah mengakibatkan berlakunya penindasan terhadap hak asasi manusia. Rasuah tambah beliau, persis kejahatan yang luar biasa. Beliau memberikan contoh tokoh anti-rasuah yang berani dan tegas di Indonesia, Panglima Angkatan Tentara Darat Indonesia, Jeneral AH Nasution kerana mengambil tindakan menyingkirkan beberapa orang Panglima Tentera Darat kerana didapati terlibat dengan rasuah.

Menurut Profesor Saldi, walaupun pertukaran Kerajaan Orde Lama (merujuk kepada pemerintahan Presiden Sukarno) kepada Suharto menampakkan kesan yang positif dengan penubuhan Tim Pemberantasan Korupsi (TPK), ia dilihat masih tidak berkesan kerana TPK membanteras kes rasuah secara selektif dan tidak menyeluruh. Ia disebabkan kerana terdapat juga pengamal rasuah di kalangan ahli TPK.

Selepas era pemerintahan Suharto berakhir pada tahun 1998 kerana pemberontakan rakyat melalui gerakan Reformasi, muncul beberapa akta yang diwujudkan untuk melawan rasuah. Ini juga termasuk badan-badan bukan kerajaan yang menjadi pemantau kepada kerajaan. Reformasi menentang rasuah ini juga berjaya disebarkan ke daerah-daerah terpencil di luar dari Jakarta.

Profesor Saldi berpendapat, oleh kerana kesedaran yang diwujudkan oleh kumpulan anti rasuah tentang pentingnya rasuah ini dibanteras, rakyat mula mengambil berat dalam agenda tersebut. Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Indonesia mula mengambil tahu tentang setiap aspek, terutamanya perbelanjaan yang digunakan oleh Kerajaan, untuk mengelak dari berlakunya sebarang pembaziran yang membawa kepada gejala rasuah.

Menurut beliau lagi, struktur perlaksanaan projek yang baik serta pemberian projek yang adil, pengawasan dan perlaksanaan sistem audit yang telus seperti yang berlaku di Solok menjadi sebab mengapa daerah ini bebas dari gejala rasuah. Ia turut menjadi sebab mengapa daerah Solok menjadi pelopor kepada gerakan menentang rasuah di dalam sistem birokrasi dan pemerintahan di Indonesia. Oleh kerana usaha gigih yang ditunjukkan oleh Bapak Gamawan Fauzi, Ketua kawasan Solok dalam membasmi rasuah, beliau berjaya dipilih menjadi Gabenor Sumatra Barat menerusi pilihanraya Gabenor bagi penggal 2005-2010.

Selain daripada itu, Forum Peduli Sumatera Barat (FPSB) yang diwakili oleh beberapa kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan para akvitis NGO, tokoh akademik, ulamak, kumpulan media massa dan tokoh media, penuntut dan sekumpulan peguam telah menjadi badan pemantau kepada setiap aktiviti yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Walaupun FPSB terpaksa melalui beberapa kesukaran di dalam mencapai objektif mereka, ia turut menjadi antara badan bebas yang berjaya memantau setiap aktiviti dan perbelanjaan kerajaan untuk memastikan tidak timbul sebarang unsur rasuah di dalamnya.

Majlis syarahan kemudian diteruskan dengan sesi soal-jawab oleh para hadirin bersama Profesor Saldi. Oleh kerana masa yang begitu singkat, Pengerusi Majlis terpaksa menghadkan kepada beberapa soalan sahaja. Profesor Datuk Dr. Rahman Embong dari Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengemukan soalan tentang mengapa gejala rasuah itu sudah persis menjadi budaya kepada segelintir masyarakat. Menurut Profesor Saldi, ia sebenarnya dapat diatasi jika kesedaran itu timbul daripada pendidikan dan juga pemantauan yang serius kepada setiap masalah yang dikemukakan.

Seorang penuntut ijazah kedoktoran dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Malaya pula berpendapat masalah rasuah ini akan dapat diatasi jika kerajaan Indonesia menggunakan kaedah e-kerajaan, di mana tidak wujud sistem pengurusan secara manual, sebaliknya segala urusan dilakukan melalui internet dan komputer sahaja. Ia dapat mempercepatkan lagi setiap urusan tanpa perlu mengira siapa sahaja.

Seorang penuntut Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya yang berasal dari Sumatera Barat, Indonesia mengajukan persoalan kepada Profesor Saldi tentang sejauh mana objektif beliau dalam mengatasi masalah rasuah ini dapat menyedarkan masyarakat umum tentang keburukan rasuah. Profesor Saldi berpendapat perjuangannya di dalam membanteras gejala rasuah ini adalah perjuangan yang tidak kenal erti penat dan jemu. Beliau ingin melihat gejala rasuah dapat dikurangkan di negara Indonesia.

Sebagai penutup, Pengerusi Majlis menyeru supaya usaha membasmi rasuah ini perlu diteruskan dan setiap kekurangan perlu dikenalpasti bagi menghapuskan rasuah dari peringkat terendah kepada peringkat yang tertinggi. Usaha ini juga perlu diteruskan dan tidak dilakukan secara ala kadar sahaja. Rata-rata para hadirin berpuas hati dengan penjelasan Profesor Saldi yang tepat, jelas dan terperinci. Majlis berakhir pada sekitar jam 6.40 petang.
Catatan Penulis - Tiada sebarang prejudis yang wujud di dalam diri penulis, cuma penulis terfikir selepas majlis ini selesai. Mengapakah kita harus menjemput seorang Profesor yang datang dari sebuah daerah yang kecil dan dauh ( bahasa utara, Jose..maksudnya terpinggir) dan mengajar kita bagaimana hendak membasmi rasuah? Bukankah kita sudah ada Badan Pencegah Rasuah, yang mana Pengarahnya kini sedang disiasat atas tuduhan rasuah? (ironi). Bukankah kini kita ada Perdana Menteri yang hendak berjuang membasmi rasuah tetapi anak menantunya mendapat pinjaman mudah sebanyak RM9 juta? Sekarang penulis tidak hairan mengapa kita harus menjemput seorang profesor dari sebuah daerah terpencil untuk mengajar kita, bagaimana hendak membasmi rasuah.

-Kita kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu, The Salam Connection


No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...