Wednesday, 5 July 2006

KEMANAKAH KITA AKHIRNYA?

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Apakah maksud academy?Mengikut istilah Inggeris, ia bermaksud school, conservatory, college ataupun art school. (Art school? Now it may sound awkward, with the topic that will be discussing now) Mungkin ramai yang merasa hairan mengapakah penulis membangkitkan isu ini? Sebenarnya penulis agak skeptikal dengan Akademi Fantasia a.k.a Akademi Khayalan a.k.a AK, mahupun Akademi Seni Kebangsaan (penulis masih lagi menanti dengan penuh harapan ASK akan menjadi Universiti sepenuhnya, sebelum kita mencecah tahun 2020!)

Namun, penulis tidak berminat untuk memanjangkan kisah ASK mahupun AK (nampaknya A.K kali ini agak sedikit tegang dan kecoh!). Apa yang penulis hendak bangkitkan ialah tentang kemunculan sebuah program realiti TV baru, dipanggil Akademi Al-Quran.

Ia akan disiarkan menurusi rangkaian televisyen yang baru “dihidupkan” semula dengan bantuan “hospital media” yang paling terkenal iaitu Media Prima (salah satu rangkaian di bawah tangan-tangan di belakang Pak Lah a.k.a Perdana Menteri a.k.a the typical Government servant) iaitu TV9. Menurut Bukhari Che Muda, C.O.O TV9 (kepada mereka yang tidak menuntut di Oxford Cambridge seperti penulis, C.O.O bermaksud Chief Operation Officer!) ia merupakan sebuah program TV yang similar dengan Akademi Khayalan, tetapi bezanya ialah ia menitikberatkan kepada bacaan qirat dan ianya tidak akan diadili oleh pungutan sms sebaliknya oleh beberapa “ustaz” yang akan menentukan bacaan qari dan qariah yang bertanding.

Mengikut tujuan asal program ini, ia akan mencari bakat-bakat di dalam bidang pengajian Al-Quran dan menggilap bakat mereka, terutamanya di kalangan remaja. Menarik! Menarik di sini kerana ia juga turut “berkiblatkan” matlamat A.K dan program hiburan realiti yang lain; yakni mencari remaja-remaja yang berbakat! Tidakkah mereka sedar tentang populariti ini mampu “membunuh” seorang remaja? Tidakkah mereka mengkaji tentang consenquences yang bakal dihadapi jika seorang itu bergelumang dengan populariti? (baca – Mawi dan tunangnya)

Di Malaysia, selain daripada Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa serta program Muqaddam di RTM, jarang sekali Al-Quran dijadikan subjek untuk dipertontonkan. Menurut Setiausaha Parlimen JPM, Datuk Dr. Mashitah (Datuk…apa habaq orang Baling?) ia tidak patut disamakan dengan program A.K kerana ia bukannya program untuk meraih populariti. (Jóse ini cerita masuk TV, dan kalau dah nama masuk TV memang la akan popular!)

Menurut sumber, 1,000 peserta telah memperdengarkan bacaan masing-masing. Dan mereka ini datang dari pelbagai lokasi, dari Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor (tapi this time, penulis tidak pasti samada ada tak peserta dari Jalan Tunku Bendahara, Kulim Kedah mahupun dari Kelana Jaya!)

Dari tapisan-tapisan ini, beberapa orang peserta telah pun terpilih dan akan bertanding ke peringkat seterusnya. (eventhough ia tidak menggunakan konsep sms, tapi penulis cukup yakin ianya adalah “bayangan” kepada Akademi Khayalan!)

Bayangkan, untuk episod pertama, ia akan menyaksikan pemilihan dan penyingkiran keluar daripada 87 peserta menjadi 12 terbaik. Bermula pada episod keempat barulah 12 peserta yang berjaya mara ke pusingan seterusnya akan diumumkan. Tidakkah ini persis Akademi Khayalan, walaupun secara dasarnya ia merupakan sebuah progam yang “berlandaskan” mencari bakat baru dalam pembacaan Quran. (Bakat baru dalam pembacaan Al-Quran!? José, perlukah seseorang itu berbakat dalam membaca Quran atau pentingkah seseorang itu untuk memahami isi-isi Quran?)

Setiap minggu hanya empat peserta akan memperdengarkan bacaan masing-masing dan pada penghujung episod salah seorang daripada mereka akan disingirkan dari Akademi Al-Quran (tidakkah ini menceduk konsep Akademi Khayalan, Malaysian Idol, One in A Million, Audition mahupun Rentak Juara?). Menurut Bukhari, antara kaedah bacaan yang dimaksudkan adalah Bayati, Nahwand, Rast, Hijjaz, Sikah, Jaharkah dan Soba.

Mereka yang menjadi juri-juri di Akademi Al-Quran adalah Salehuddin Omar, Mohd Mohsin Syeikh Ahmad, Muhamad Hasri, Ustaz Mohd Nazri Abdullah serta Ustaz Mohd Zainuldin (penulis yakin setiap dari mereka ini akan merasakan mereka persis Kudsia Kahar, Adlin Aman Ramli dan Bob Lokman!)

Antara aspek penjurian yang dikenal pasti pula antaranya tajwid, fasahah, kiraan, suara serta lagu. (Telah penulis jangkakan dan agak, ia sememangnya klon Akademi Khayalan!)

Macam konsep A.K, peserta Akademi Al-Quran akan ditempatkan di sesebuah lokasi khusus untuk tujuan pengajaran dan memperkemaskan bacaan masing-masing. Menurut cerita, lokasi akan berubah-ubah dari satu lokasi ke lokasi yang lain seperti di Sri Pentas, Darul Fikir Kuala Kubu Baru, Selangor serta di Pusat Islam di Kuala Lumpur.

Hadiah yang ditawarkan juga turut lumayan. RM30,000 kepada juara manakala peserta tempat kedua dan ketiga akan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM20,000 dan RM10,000! Adakah ini contoh agama menjadi alat dagang?

Teringat semula penulis kepada aduan Nabi Muhamad kepada Tuhan menerusi surah 25:30 yang bermaksud “Kemudian Rasul akan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan al-Quran ini sebagai suatu perkara yang bodoh tidak terpakai.” Penulis tidak mahu memanjangkan isu ini kerana bagi penulis, mereka itu; golongan “ulama” lebih memahami dan lebih mengetahui apa yang mereka lakukan.

Sebenarnya, penulis tidak ingin menjadi “ulama” di dalam bidang agama kerana penulis cukup yakin, penulis adalah seorang “ulama” di dalam bidang seni (Jóse, ulamak tu plural kepada perkataan alim, iaitu mereka yang pakar di dalam bidang masing-masing!).

Ia tidak menghalang penulis untuk bercakap mengenai agama disebabkan penulis yakin, kita bukanlah seperti agama Kristian yang mempunyai kasta-kasta seperti paderi, bishop dan pelbagai lagi (sebenarnya di dalam Islam telah ada sedikit unsur-unsur ini tetapi penulis tidak mahu bangkitkan kerana masyarakat kita terlalu sensitifi!)

Apa yang perlu diingatkan di sini ialah bagaimanakah Islam menjadi penghalang kepada pemodenan? Atau pun kita yang menganggap Islam adalah penghalang kepada kemodenan? Lupakah kita kepada pembangunan dan kemodenan yang telah dikecapi oleh masyarakat Islam di Andalus, yang jauh lebih maju semasa masyarakat Eropah berada di dalam The Dark Ages, disebabkan oleh penyakit yang melanda negara Eropah. Kepada siapakah mereka mencari jalan keluar (atau cul-de-sac) dalam masalah ini?

Sudah tentunya umat Islam. Ini kerana, apabila mereka mula mengkaji ayat-ayat al-Quran (dan sudah pasti mereka tidak sibuk untuk memahirkan diri mereka di dalam melagukan al-Quran!) mereka mula menemui rahsia-rahsia besar yang tersembunyi di dalam kitab yang Maha Lengkap ini. Apabila mereka mendapati ianya amat berguna dan jauh lebih moden dari kitab-kitab yang mereka ada di dalam simpanan, mereka (baca – orang Eropah) mula menghantar wakil-wakil mereka ke Andalus bagi mengkaji dan mempelajari ilmu-ilmu sains yang telah dipelopori oleh umat Islam pada masa itu.

Ini ditambahkan lagi dengan beberapa tokoh Islam yang mendapat penghormatan tinggi di kalangan masyarakat Barat seperti Ibn Rushd atau Averrous (bagi masyarakat Barat) disebabkan oleh ilmu beliau yang amat tinggi, hasil dari pengkajian beliau di dalam al-Quran.

Tidak ramai yang tahu atau mungkin terlupa bahawa, Islamlah yang mencipta kemodenan dan di dalam Quran terdapat banyak ayat yang menyentuh tentang pentingnya memajukan ummah. Namun, kita sekarang sedang menuju ke belakang, kerana ada yang berpendapat, kemunduran itu mendekatkan diri kita kepada Tuhan! (Jóse, kalau dah mundur, dah dalam kesusahan bukankah ia mendekatkan kita kepada kemungkaran?)

Sebenarnya, isu ini telah terlalu lapok untuk dibincangkan kerana ini bukanlah kali pertama ia dibangkitkan.. Namun, mengapakah ia perlu dibangkitkan berkali-kali?

Adakah umat Islam sekarang lebih mementingkan penguasaan bacaan al-Quran sahaja, daripada mementingkan pokok pangkalnya, iaitu memahami ayat-ayat al-Quran, dari sudut muhkamad dan muhkasyabihat (iaitu ayat yang jelas dan ayat yang tersembunyi). Penguasaan al-Quran ini tidak lengkap jika kita hanya pandai melagukannya sahaja. Masalah yang menimpa umat Islam sekarang ialah bukanlah kerana kita lemah dan kita ketinggalan disebabkan agama kita, tetapi agama kita yang telah “meninggalkan” kita kerana kita hanya mementingkan isu-isu pokok seperti bacaan di dalam al-Quran perlu sedap atau tidak (Jóse, are you forgetting something? Akademi Al-Quran!) dan perlunya seseorang itu mengambil wuduk sebelum tidur ataupun tidak.

Yang paling menyedihkan ialah perlukah seseorang itu mengamalkan amalan yang tidak pernah langsung diamalkan pada zaman Nabi dahulu? Jika penulis huraikan satu persatu tentang amalan khurafat serta bidaah yang masih diamalkan oleh golongan kita (baca- Melayu), mungkin artikel ini akan bertukar menjadi “Tentang Khurafat dan Tentang Bidaah”!

Pokok pangkal utama yang cuba hendak penulis katakan ialah, amatlah penting kepada kita untuk memahami, mengkaji serta mentafsir semula al-Quran dan cuba untuk menggunakan al-Quran dari aspek kehidupan. Ianya bukanlah sekadar sebuah kitab yang perlu kita baca dan memastikan kita membacanya di dalam bacaan yang sedap didengari (Jóse, kadangkala sesuatu yang perit itu amat sukar untuk didengari dan sudah pasti Quran tidaklah semata-matanya begitu!) namun kita perlu memahami setiap ayat yang dinyatakan oleh Tuhan di dalamnya.

Disebabkan itu, penulis merasa gelihati dan tertawa secara diam (tak boleh tertawa kuat kerana bimbang ketawa kuat akan mengundangkan bahaya!) apabila ada seorang ulama yang dihormati dan dikurniakan pangkat (maka diangkatlah taraf “ulama” ini!) mengatakan bahawa konteks “pluralisme” (baca progresif) tidak ada di dalam Islam. Tidak ada?! Apakah “ulama” ini kelabu dan mabuk (dengan pangkat dan gelaran serta harta – nah, jadi ketua ulama di sebuah negeri di Malaysia sudah pasti akan disertakan elaun-elaun yang menggunung!) serta dia mempunyai pemikiran ortodoks yang sudah “obselete”?

Kita sedang mengalami sebuah dilema. Kita sedang melalui sebuah keadaan, di mana kononnya, kemodenan melambangkan kejatuhan moral, kemodenan itu mencerminkan kemunduran akhlak dan kemodenan itu menjuruskan kepada kejatuhan tamadun. Adakah kerana perasaan inferiority complex (Jóse, ia bermaksud perasaan rendah diri) kita meletakkan keselesaan dengan berkata kemodenan itu tidak akan dikecapi oleh kita. Maka kita merasa selesa dengan apa yang kita ada, dan menambahkan lagi kecelaruan, terdapat golongan yang menentang kemodenan, menjadikan agama sebagai alat. Sehingga bilakah agaknya kemunduran ini akan terus berlaku?

Sebenarnya, apabila munculnya Akademi Quran, masyarakat patut dan harus merasa panik kerana ayat-ayat Tuhan, bicara-bicara Tuhan dan quote dari Tuhan telah dicampakkan ke dalam popularity culture dan yang amat menyedihkan, apabila ia turut disamakan dengan arts of depravity (baca – keruntuhan nilai seni) melalui program-program realiti tv. Seseorang itu, tidak dicungkilkan bakatnya terutamanya di dalam bidang agama melalui cara – cara yang persis rancangan realiti tv.

Seorang itu, dicungkilkan bakatnya melalui kefahamannya, kecekapannya serta intelektualitinya di dalam melihat dan menafsirkan al-Quran itu secara ilmah. Untuk mendapatkan dan mencari seseorang yang benar-benar mahir di dalam bidang Quran, prosesnya bukanlah hanya dicungkilkan melalui program-program sebegini. Ini kerana proses ini dilihat sebagai satu proses mee segera, sama seperti rancangan realiti tv sekarang, yang mengakibatkan kualiti seseorang itu boleh diragui. Kemanakah sebenarnya kumpulan “ulama” ini hendak membawa kita? Dan persoalan yang paling menarik ialah, kemanakah sebenarnya pencarian ini membawa kita akhirnya nanti?

Adakah kita benar-benar bersedia untuk dipermainkan? Inilah yang harus kita lihat dan harus kita fikirkan bersama.

Kita kan tersesat pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection.

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...