Friday, 9 June 2006

SABARLAH TUN...

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Seperti yang telah dijangkakan, Datuk Seri Abdullah Badawi, a.k.a Perdana Menteri a.k.a Pak Lah tidak merasa apa-apa dan tidak merasa terancam, mengancam dan diancam oleh marah-marah dan jugak kecaman yang dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad. Ramai yang berpendapat “ngauman seekor singa tiada taring” tidak patut diambil perhatian tetapi jika perumpamaan ini hendak digunakan tentang haiwan, penulis rasa “haiwan” yang dimasukkan ini bukannya singa yang tiada bertaring tetapi “ular sawa” yang masih kuat belitannya!

Tun Dr. Mahathir nampaknya terperangkap di dalam percaturan keadaan. Ramai yang mula menyamakan beliau seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Allahyarham Tun Hussien Onn, sewaktu Tun berada di tampuk pemerintahan. Pada waktu itu, Allahyarham Tunku dan Tun Hussein acapkali mengkritik dasar-dasar yang telah dilakukan oleh Tun. Namun tak ramai yang tahu atau mungkin terlupa bahawa secara dasarnya Tun Hussein Onn tidak mahu memilih Tun Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaliknya hendak memilih Tun Ghazali Shafie sebagai Timbalan Perdana Menteri! (Ada tak unsur-unsur dejavu di dalam insiden ini – Memetik petikan kata Tun Dr. Mahathir yang pada mulanya mahu memilih Najib dan bukan Pak Lah sebagai TPM!)

Mengapakah Najib yang menjadi pilihan Tun, dan bukan Pak Lah? Hanya Tuhan dan Tun sahaja yang tahu. Mungkinkah kerana Najib atau bapanya telah banyak berjasa semasa Tun disingkirkan dari parti UMNO dan Allahyarham Tun Razak telah mengambil semula Tun ke dalam UMNO, atau mungkin semasa berlakunya perpecahan UMNO hingga mengakibatkan wujudnya Team A yang diketuai Tun dan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh (Pak Lah berada di sebelah Team B pada waktu itu atas alasan-alasan tertentu yang penulis akan jelaskan – kalau ada masa!), Najib telah menyebelahi Team A?Bak kata orang, di dalam politik seminggu itu adalah masa yang terlalu-lalu panjang!

Rasa tidak puas hati Tun terhadap Pak Lah bermula semasa beberapa wakil media mengadakan majlis sambutan ulanglahir Tun yang ke-80 pada tahun 2005 lepas. Dikatakan, pada masa itu Tun telah mengeluarkan beberapa pendapat yang secara tidak langsung mengkritik dasar-dasar yang dijalankan oleh Pak Lah. Terutamanya dasar-dasar yang banyak bertentangan dengan beliau seperti pembatalan (bukan penangguhan ya!) projek-projek landasan keretapi berkembar, projek Monorail di Putrajaya dan yang terbaru penangguhan (pembatalan!) pembinaan jambatan baru ke Singapura. Maka tercetuslah sudah kemarahan Tun ke atas Pak Lah yang telah membatalkan projek-projek yang boleh membantu negara kearah memodenkan lagi Malaysia (Tun, Pak Lah bukan bapa Pemodenan tetapi bapa apa ya? Bapa mertua Khairy barangkali?).

Sebenarnya, Tun tidak memarahi Pak Lah seperti yang kita ketahui tetapi mungkin terasa terusik, atau terasa berjauhan hati dengan beberapa orang menteri yang dahulunya sering menyokong beliau tetapi apabila perkara ini berlaku, mereka mula menunjukkan sifat yang sebenar (menyokong orang yang boleh membantu mereka, buat apa nak sokong Tun?)

Banyak menteri mengkritik semula Tun membantah segala isu-isu yang dibangkitkan. Seperti yang penulis katakan, siapa yang berkuasa maka dialah yang betul, segalanya betul belaka (nah, setiap pemimpin akan pasti merasakan dan dapat menikmati “kebetulan”nya itu!) Yang menjadi perhatian penulis ialah tidakkah mereka-mereka ini read between those lines tentang isu-isu yang dibangkitkan Tun?

Penulis bukanlah “kaki bodek” Tun (apa yang penulis dapat kalau bodek beliau? Beliau kan hanya seorang pesara Kerajaan?) tetapi penulis cuma terfikir semula, apakah yang mengakibatkan segala kekalutan ini berlaku? Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku dari mulanya? Jika kita lihat, sejak dari awal lagi Tun semacam tidak selesa dengan kemenangan Pak Lah yang besar di dalam Pilihanraya 2004 yang lalu. Antaranya, beliau mengatakan bahawa Kerajaan yang mempunyai majoriti lebih dari 2/3 adalah tidak baik untuk Kerajaan kerana tidak ada check and balance yang baik. Teguran ini seperti ditujukan kepada Kerajaan Pak Lah!

Apakah ini benar? Mungkinkah ini benar? Ini kerana, sejak Pak Lah menjadi PM, banyak isu yang tergendala atau terlepas pandang dan ramai orang persis cuba lepas pandang dengan isu-isu tersebut. Seperti contoh, projek mega yang pernah dicadangkan atau dianjurkan Tun telah menjadi secondary priority dan adanya terus dilenyapkan dari RMK 9. Ada juga menteri yang berkata banyak wang telah dihabiskan untuk RMK 8 dahulu, lantas Kerajaan telah habis wang!

Mungkinkah Pak Lah ini seorang yang mempunyai sikap belanja berhemah? Ini kerana beliau sering mengalakkan orang ramai mempunyai sikap sebegini. Namun pokok pangkalnya, secara realiti, setiap pemimpin mempunyai caranya yang tersendiri. Penulis ingin mengaitkan pembaca Bacalah (kalaulah ada pembaca yang membaca BACALAH!) tentang Presiden John Fritzgerald Kennedy (JFK, kepada orang yang tak tahu) dengan penggantinya, Lyndon Johnson. Presiden JFK benar-benar ingin menarik dan menghentikan peperangan Vietnam namun dasar itu tetap diteruskan oleh Presiden Lydon Johnson!

Inilah antara contoh perbezaan yang ada di antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain, dari sudut dasar dan juga kepimpinan masing. Namun penulis bukanlah hendak menyamakan pemipin Amerika itu dengan pemimpin nombor satu negara dengan bekas pemimpin nombor satu negara ini! Jadi, penulis rasa mungkin lain orang lain gayanya. Tapi jika gayanya itu mungkin tidak membawa sebarang pembaharuan dan juga membangunkan negara, maka ia patut ditegur dan diberikan a morning wakeup call!

Sebenarnya Tun Dr. Mahathir tidak mahu dan tidak ingin berkuasa semula, namun orang-orang yang membuat persoalan dan berfikir secara “nakal” itulah yang menjadikan isu Tun ingin kembali berkuasa itu timbul. Tun Dr. Mahathir amat sayangkan Datuk Seri Abdullah a.k.a Pak Lah a.k.a Perdana Menteri. Namun, golongan political vultures inilah yang membuatkan pandangan Pak Lah menjadi kabur. Tun sedar, Pak Lah tidaklah sekuat dan setegas beliau dan beliau hanyalah ingin memberikan wakeup call kepada Pak Lah.

Pak Lah, telah lama diperkotak-katikkan (ayat ni macam dialog filem Melayu tahun 90an bukan?) oleh ramai pihak, secara sedar atau tidak. Beliau sebenarnya tahu, beliau keseorangan di dalam dunia politik ini. Beliau tidak seperti Tun Dr. Mahathir, yang mempunyai pengaruh yang cukup-cukup kuat! Walaupun Tun telah terkeluar daripada the corridor of power kerajaan hampir 3 tahun yang lalu, namun pengaruh beliau masih lagi dirasai. Pak Lah sebenarnya keseorangan. Beliau benar-benar keseorangan. Ditambahkan pula dengan “menantu bapak!” yang menggunakan kedudukannya sebagai Naib Ketua Pemuda, Pak Lah tidak berani untuk melakukan perubahan secara total. Maka golongan-golongan political vultures inilah yang terbang semakin rendah hinggap hampir “memagut” kepala Pak Lah.

Pak Lah adalah seorang pemimpin yang bukan seperti Tun Dr. Mahathir. Umum harus menerima hakikat ini. Namun, setidak-tidaknya kita patutlah memberikan sokongan kepada Pak Lah. Tun Dr. Mahathir adalah seorang pemimpin yang telah mencapai tahap yang lebih daripada lagenda. Beliau bertaraf statesman yang bukan sahaja dihormati di Malaysia malah di negara Dunia Ketiga, negara Arab mahupun negara Barat. Dibandingkan dengan Pak Lah yang baru sahaja memasuki tahun ke3 pemerintahannya sebagai Perdana Menteri dengan Tun Dr. Mahathir yang telah 22 tahun menjadi Perdana Menteri, ia persis membandingkan seorang pelajar menengah dengan seorang pelajar PhD!

Kita cuba alih sebentar bicara-bicara politik ini (penulis dah banyak menulis tentang isu politik sejak kebelakangan ini!)

Gunung Merapi di Indonesia dah pun memuntahkan laharnya, setelah kian lama memendamkan perasaan (wah, penulis membuat persamaan gunung dengan orang!) Ia telah meluncurkan awan panas sejauh lima kilometer ke arah hulu Kali Gendol, dan turut menghanguskan sebahagian kawasan hutan di utara Kaliadem di daerah Sleman, Wilayah Istimewa Yogyakarta. Sesuatu tragedi yang terus menimpa tanpa henti keatas rakyat Indonesia. Bukankah baru-baru ini Indonesia digegarkan dengan gempa bumi di Yogjakarta, serta kejadian tanah runtuh di Malaysia yang telah mengorbankan sekumpulan pendatang haram di Malaysia (yang telah membuatkan seluruh rakyat Malaysia menjadi simpatisan secara tiba-tiba!) Mungkin ada hikmah disebalik kejadian atau ia hanyalah dugaan dari Tuhan ke atas hambanya.

Penulis rasa, negara-negara Islam sering diuji Tuhan dengan pelbagai dugaan dan juga bencana yang mengakibatkan umat Islam sering menjadi mangsa. Baik dari bencana hinggalah ke peperangan yang mengakibatkan ramai umat Islam tertindas. Contoh yang terbaik ialah di Iraq. Setelah hampir 3 tahun penjajahan ke atas Iraq oleh Amerika itu berlaku, umat Islam di sana masih lagi ditimpa dugaan dengan kematian rakyat Iraq, boleh dikatakan tiap-tiap hari ada saja kematian berlaku! Adakah ia suatu ujian dari Tuhan ataupun balasan dariNya kerana kelalaian mahupun kesilapan kita?

Tidakkah sudah sampai masanya untuk kita merenung kembali kepada kesilapan yang telah kita lakukan, terutamanya dari konteks memahami Islam dari aspek menyeluruh dan tidak melihat Islam dari the way of life sahaja? Islam adalah sebuah agama yang terindah yang pernah ditunjukkan Tuhan, malah Tuhan telah menyatakan di dalam Quran, bahawa sesungguhnya Islam adalah agama yang diredha dan direstuiNya. Persoalannya sekarang, adakah kita sendiri menghargai dan menjaga agama yang telah direstuiNya itu mengikut kesempuraan yang sebenar?

Too Err Is Humane?


Kita kan tersesat pabila malam menjemput bulan semula ke sangkar waktu – The Salam Connection

1 comment:

Anonymous said...

Saya lihat sesekali ada baiknya bila si abang yang lebih berpengalaman bersuara...

Tapi masalahnya bila si adik berkuasa, seangkatan para penasihat dijemput sekali. Jadi untuk apa lagi merujuk pada si abang yang semakin tua.

Kita lihat sendirilah berapa ramai para penasihat mula mengambil alih kuasa di setiap syarikat2 besar negara. Hingga dimana letaknya nilai pengalaman orang-orang yang lebih lama di situ?

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...