Mengapakah Drama Peran karya Datuk Noordin Hassan ditulis?

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Menurut penulis di dalam buku autobiografinya “Saya Di Hujung Kota”, beliau ingin menunjukkan tentang sifat manusia dan tingkahlaku mereka yang pelbagai. Masyarakat masih lagi berada di dalam kepercayaan-kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran Islam. Beliau mendapat ilham melalui pengalamannya berubat secara tradisional. Ini dinyatakan seperti berikut ; Pak Arif tidak ubah seperti pawang-pawang atau shaman yang kita dapati di dalam beberapa kebudayaan terutama sekali didalam kalangan kaum primitif. Mereka ini mempunyai kebolehan yang tertentu dan khusus. Mereka kononnya berkuasa menyeru roh-roh, hantu jembalang dan boleh sampai ke alam ghaib dan dimensi yang luar biasa. Lazimnya mereka mengubat dengan cara yang boleh “menghiburkan”, penuh kekaguman yang boleh merangsangkan pemikiran, kepercayaan dan khayalan.

Ingatan ini menjadi pengerak kepada saya untuk menggunakan topeng yang mengagumkan di dalam Peran. Dr. Shrinker seorang psikatris. Ada kena mengena dengan jiwa manusia seperti Pak Arif juga. (Noordin Hassan, 44)Menurut beliau lagi; Saya menggunakan unsur kepawangan ini untuk menimbulkan kekhurafatan dan kepalsuan yang dimainkan oleh manusia ke atas manusia lain dengan “berdrama”. Dengan ini saya berpeluang menyatakan beberapa unsur kebudayaan yang patut dibuang sebab bertentangan dengan ajaran Islam. (Noordin Hassan, 54)

Penulis turut merasakan bahawa insiden lain yang mempunyai kaitan dengan perubatan tradisional juga mempengaruhi beliau untuk menulis drama Peran ini. Ini dinyatakan oleh beliau seperti berikut ; Di Pulau Pinang, setahun sekali ada suatu pemujaan yang dilakukan oleh kaum Cina. Orang Melayu memanggilnya Tokong Gila.

Dengan gendang yang mememekakkan, seorang lelaki terloncat kesana kesini. Gerun. Riuh. Katanya dia tidak sedarkan diri. Sejenis Pak Arif tetapi kasar. Walhal Pak Arif "seninya" begitu halus (Noordin Hassan, Saya Di Hujung Kota. 49) Beliau kemudian melihat dari konteks yang kritis apabila beliau menilai sama ada benarkah mereka ini dirasuk oleh suatu kuasa halus atau adakah sejenis teater sedang berlalu! (Noordin Hassan, Saya Di Hujung Kota. 50).

Tambah beliau; Unsur-unsur rasukan dan kebolehan melakukan perkara yang di luar dugaan dan kebolehan melakukan perkara yang di luar dugaan serta luar biasa memang wujud dan boleh diterima. (Noordin Hassan, Saya Di Hujung Kota. 50). Cara pawang-pawang 'berdrama' lebih dekat kepada jiwa dan 'psyche' manusia sebab nampaknya segala-segala adalah intrinsik bukan diada-adakan.

Aristotle mencadangkan patut ada struktur pada sesebuah drama. Drama jenis Pak Arif dan pawang-pawang lain tidak payah ada unsur-unsur Aristotle tadi. Urutan cerita pun tak ada. Drama ini berfungsi di peringkat minda, kerana itulah orang-orang yang menyaksikan pawang-pawang mengubat tidak payah ketepikan logik sebagaimana yang kerap penonton lakukan ketika menyaksikan sebuah teater. (Noordin Hassan, Saya Di Hujung Kota. 50).

Selain dari itu penulis ingin mengungkapkan tentang perjalanan seorang Melayu yang berasal dari kampung telah mengalami proses transisi perubahan diri yang ketara. Lelaki ini (watak Tuan Leh) digambarkan sebagai seorang yang berasal daripada kampung pendalaman tetapi disebabkan keadaan sekeliling beliau terus berubah dan menjadi hanyut dengan perubahan tersebut.

Kemungkinan juga watak Tuan Leh mewakili sesuatu kumpulan di dalam masyarakat yang mengalami perubahan dari segi sistem sosial dan juga dari pengaruh alam sekeliling yang memerlukan satu anjakan paradigma di dalam diri mereka.Watak Tuan Leh misalannya telah menunjukkan bagaimana seorang memegang amanah besar Kerajaan akhirnya kecundang kepada seorang perempuan dan kehendak-kehendak nafsu diri sendiri. Ini yang telah secara tidak langsung telah mengambarkan “tragic flaw” seorang pegawai yang memegang jawatan tinggi di dalam Kerajaan.

Penulis telah membuat satu kajian secara dalaman tentang niat-niat dan juga kehendak watak Tuan Leh ini berasaskan kepada keadaan sekeliling yang berlaku kepada Tuan Leh itu sendiri. Ini yang mendorongkan penulis untuk mendedahkan id-id watak Tuan Leh. Berdasarkan kepada keadaan dan situasi semasa pada waktu itu, penulis telah melihat bagaimanakah keadaan dan dasar-dasar Kerajaan di dalam melahirkan kumpulan profesional yang terdiri daripada kaum – kaum Melayu, jika tidak dijaga dan dipupuk nanti akan akhirnya memusnahkan kaum Melayu itu sendiri.

Di samping itu, penulis telah menganggap perkara sedemikian tidak harus dibiarkan melarat kerana kelak ianya akan menjadikan satu masalah yang besar dan tidak dapat dibendung lagi. Masyarakat Melayu itu perlu berubah dan mengubah cara pemikiran mereka bagi mencapai kejayaan yang lebih baik dan lebih bermutu.

Disebabkan itulah penulis menjadikan objek “kepala yang telah dikecutkan” sebagai satu bentuk polemik bagaimanakah sesuatu perkara dan permasalahan itu tidak seharusnya dibiarkan membesar dan melarat.Penulis juga ingin menyampaikan mesej secara berseloroh kerana masyarakat Melayu lebih dapat mengadaptasikan sesuatu mesej dan sesuatu teguran di dalam bentuk humoristik atau berunsur jenaka.

Justeru penulis telah mengambil pendekatan humoristik bagi menyampaikan mesej-mesej tertentu di dalam karyanya.Secara keseluruhannya masyarakat Melayu perlu ditegur dan melihat sendiri masalah mereka melalui bentuk "autopsi" kajian pemikiran mereka dan keinginan dalaman (id) mereka. Namun begitu perkara ini bukan tertakluk kepada persoalan id sahaja malahan ia lebih daripada apa yang hendak dipertonjolkan oleh penulis.Memandangkan kepada keadaan dan juga sifat seseorang individu itu, beliau masih memegang kuat kepada darjat, pangkat, agama serta kedudukan mereka. Ini yang hendak ditunjukkan oleh penulis menerusi watak Tuan Leh.

Penulis ingin memaparkan keinginan seorang Melayu itu yang sebenarnya inginkan pelbagai bentuk kemewahan dan juga keinginan batin namun kerana sebab keadaan dan sekeliling mereka. Ini telah ditonjolkan melalui watak Tuan Leh. Watak Tuan Leh ini digambarkan sebagai seorang yang mempunyai masalah dalaman sendiri yang berpunca dari usia, pangkat, keadaan semasa dan juga tuntutan sosial yang meminta beliau untuk turut sama bergerak dengan arus perubahan kontemporari.

nota - kajian di atas ialah untuk projek akhir penulis bagi memenuhi syarat Ijazah Sarjana Muda Seni Halus (BFA) dari USM. Penulis menyiarkan semula artikel ini kerana berpendapat drama ini masih lagi relevan dengan isu-isu semasa.

Ulasan

Tanjak berkata…
Assalamualaikum.

Di manakah boleh saya dapatkan skrip Peran ini? Any info?
The Eugenist berkata…
Salam..

Saudara Tanjak,

Skrip tersebut ada dikumpulkan di dalam satu kompilasi naskhah skrip Dato' Noordin Hassan.

Rasanya boleh dibeli di Kedai2 DBP.

Terima kasih.

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?

PEMIKIRAN KREATIF