Oleh - Hesmel Faznee Faisal
Tidak dapat dinafikan lagi, laman web Facebook telah mencipta satu fenomenanya yang tersendiri. Malah, jika satu masa dahulu ramai orang memperkatakan tentang Myspace (Jose, beberapa tahun lalu ianya merupakan laman web sosial yang paling terkemuka di dunia!) kini, semua orang melihat Facebook sebagai laman jaringan sosial yang paling dikenali!
Ramai orang telah berjaya menjejak kembali rakan-rakan lama, bekas rakan sekolah atau kolej dan tidak kurang juga yang menjumpai kembali bekas isteri mahupun bekas kekasih (Yang telah berkahwin dan menjalinkan skandal dengan mereka!) melalui Facebook. Malah, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pun, tidak ketinggalan untuk mempunyai akaunnya sendiri. Besar jasanya kepada masyarakat!
Namun, apa yang agak mengecewakan ialah Facebook ini telah turut disalahgunakan oleh sesetengah pihak untuk menyebarkan fitnah seperti apa yang berlaku ke atas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Isa Sabu. (baca sini)
Seperti kata pepatah Inggeris, The pen is mightier than the sword tetapi dalam konteks zaman canggih ini, a website is the mightiest among others.
Sepatutnya, ia digunakan untuk mencari rakan-rakan dan menambahkan rakan-rakan lain. Bukannya untuk melakukan perkara yang tidak baik seperti mensebarkan fitnah dan sebagainya. Jika dilihat daripada aspek perniagaan, Facebook ini mampu membantu peniaga untuk mempromosikan barangan jualannya. Terutamanya kepada mereka yang menjalankan perniagaan MLM (Multi Level Marketing).
Apabila Facebook disalahgunakan oleh orang, ianya mungkin akan mengundang padah kepada masyarakat dan juga kepada masyarakat internet itu sendiri.
Masyarakat Malaysia, terlalu mempercayai kepada cerita sensasi dan dengan kewujudan medium komunikasi seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya, ianya hanya akan mempercepatkan lagi sebaran cerita-cerita berikut. Akhirnya, masyarakat ini terdiri daripada kalangan masyarakat dangkal yang hanya mempercayai cerita-cerita karut.
Penulis tidak hanya membuat andaian serkap jarang kerana sudah jelas tidak semua masyarakat Malaysia ingin melakukan kajian atau mendalami berita yang diterimanya secara bersungguh-sungguh. Ada yang hanya terus mempercayainya tanpa mempersoalkan kebenarannya.
Facebook bukanlah semata-mata rangkaian sosial untuk menambahkan rakan-rakan. Ianya juga boleh menjadi senjata merbahaya seandainya ianya jatuh ke tangan individu yang tidak bertanggungjawab.
Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu - The Salam Connection