Oleh – Hesmel Faznee Ahmad Faisal
Kebanyakan daripada masyarakat kita secara amnya sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit Arteriovenous Malformation atau secara singkatnya, AVM. Penyakit ini, boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukanlah “migrain” seperti yang sering diberitahu oleh doktor menerusi pemeriksaan doktor biasa dan bukannya doktor pakar. Arteriovenous malformations merupakan gumpalan urat yang tidak normal dan ianya tumbuh di dalam otak. Ia terdiri daripada saluran darah normal yang dipanggil “nidus” dan ia melalui arteri (urat) yang disambung terus kepada urat utama dan melalui saluran urat kecil, dipanggil “cappillaries”.
Kebanyakan daripada kita, dilahirkan mempunyai urat “nidus” namun semakin usia kita meningkat, disebabkan oleh aliran darah yang semakin banyak, urat yang tipis ini tidak dapat menerima tekanan darah tersebut dan akhirnya akan mengakibatkan urat tersebut bergumpal dan menyebabkan berlakunya pendarahan otak atau “hemorrhage”. Kebanyakan daripada kes-kes ini berlaku ketika pesakit berusia di dalam lingkungan 10-55 tahun dan besar kemungkinan pendarahan ini akan berlaku.
AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, samada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan “hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan dibahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan CT scan ataupun MRI (Magnetic Resonance Imaging)
Berikut ialah penjelasan secara ringkas tentang A.V.M. Apa yang penulis ceritakan nanti ialah bagaimana pengalaman penulis sendiri apabila didapati bahawa penulis sendiri mengidap penyakit A.V.M. Ia berlaku pada tahun 1998, semasa penulis baru memulakan kehidupan sebagai seorang mahasiswa di Universiti Sains Malaysia, di dalam jurusan Seni Halus (pengkhususan dalam Teater dan Drama). Penulis masih ingat lagi, pada bulan Julai 1998 semasa penulis sedang sibuk menjalani persiapan untuk pementasan teater NASIB karya Dr. Hatta Azad Khan. Penulis merupakan salah seorang daripada pelakon pementasan tersebut dan penulis tiba-tiba jatuh dan muntah tanpa henti semasa sedang berlatih bagi adegan di dalam drama tersebut.
Dipendekkan cerita, penulis terus dibawa ke hospital dan menjalani rawatan imbasan MRI. Melalui imbasan tersebut keluarga penulis mendapat tahu bahawa pendarahan tersebut telah sampai ke tahap kritikal dan pembedahan segera perlu dilakukan dengan secepat mungkin. Menurut Dr. Kazem Djavadkhani, pakar neuro yang melakukan pembedahan ke atas penulis, seseorang pesakit yang mengidap AVM perlu dibedah bagi membuang gumpalan urat yang ada di dalam permukaan otak. Melalui pembedahan sahajalah, penyakit ini dapat disembuhkan.
Diringkaskan cerita, penulis menjalani pembedahan tepat pada jam 6.00 pagi dan pembedahan tamat sejurus selepas solat Jumaat. Alhamdullilah, proses penyembuhan mengambil masa hampir 6 bulan di mana pada masa tersebut penulis benar-benar perlu berehat sepenuhnya dan terpaksa menangguhkan pengajian selamat 1 sidang.
Secara ringkasnya, nasihat penulis kepada para pembaca yang sering mengalami sakit kepala atau sebarang masalah yang berkaitan dengan pening kepala yang kerap, mereka perlu menjalani rawatan imbasan CT ataupun rawatan MRI. Perlu diingatkan; penyakit AVM ini boleh digolongkan di dalam kategori “the silent killer” kerana ianya boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan ianya juga terdiri daripada penyakit yang kronik dan merbahaya.
- The article above is part of a contribution by me for KTM's internal magazine, Rentas. Being a patient who had the experience in AVM, I decided to share on the particular matter with the rest with hope, some of the more conscious readers will have some extra informations about this disease. Many may be in a state of denial about them having diagnosed with AVM, but the fact is AVM is a serious disease.