Monday 31 May 2010

HANTU DI RAJA MALAYSIA

Oleh - Hesmel Faznee Faisal.

Salam, kepada para bloggers dan pembaca setia blog syok sendiri ini!

Saya tidak pasti, samada ingin merasa takut, ketawa atau bingung apabila membaca berita yang “menyeramkan” di sini.

Rasanya, saya pernah menulis mengenai cerita hantu di dalam tulisan awal saya dan betapa saya tidak langsung merasa terpegun mahupun tertarik dengan cerita hantu jembalang ini.

Bagi saya, hanya “hantu” sahaja yang mempercayai hantu!

Sebagai seorang Islam, kita harus memahami konsep Khalifah di muka bumi ini. Maknanya, kita telah dipilih Allah SWT untuk menjadi “wakil” Nya di Bumi ini. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang paling sempurna dibandingkan dengan ciptaanNya yang lain.

Masakan Allah menyuruh semua Malaikat sembah dan tunduk kepada Nabi Adam, kerana dengan cara ini Allah “mengiktiraf” Nabi Adam A.S (yang mewakili keturunan manusia, Jose!) sebagai khalifah yang dipertanggungjawabkan untuk memelihara dan menjaga bumi ini.

Namun sayangnya, ramai yang terlepas pandang dan terlupa tentang tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi, terutamanya kepada golongan manusia zaman sekarang!

Berbalik kepada cerita di pautan di atas, saya menganggap cerita ini sebagai satu perbuatan yang hanya merugikan pihak PDRM dan tidak lebih kepada publisiti murahan yang melucukan!

Apakah pihak polis, yang dipertanggungjawabkan melindungi keselamatan dan memastikan kita semua tinggal dalam keadaan aman menjadi takut kepada hantu?

Tidakkah penulisan di atas mencadangkan bahawa polis, selama hampir 200 tahun penubuhannya, serta pernah melalui zaman perit menentang komunis dan kumpulan subversive menjadi ketakutan hanya kerana seekor hantu?

Secara peribadi, penulisan di atas hanyalah sebagai satu provokasi kepada orang ramai agar mereka menilai dan menimbulkan perasaan prasangka terhadap PDRM!

Mungkin, sekadar mungkin ada unsur-unsur yang tertentu ini wujud kerana bertujuan untuk melemahkan karisma PDRM yang kebelakangan ini tercalar, saya tidak pasti.

Apa yang pasti, editor dan juga penulis berita tersebut harus berfikir semula tentang kesan sampingannya terhadap masyarakat.

Kelak, kita mungkin akan terpaksa bergantung kepada pasukan Ghost Busters yang kerja mereka hanyalah menambahkan lagi perasaan takut di dalam diri ini!

Hanya tinggal 10 tahun lagi sebelum mencapai tahun 2020. Sekarang saya faham mengapa pencetus idea Wawasan 2020, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mulai pesimis dengan sasaran untuk Malaysia menjadi Negara moden menjelang 2020. Beliau sendiri dilaporkan berkata beliau kini hilang keyakinan sasaran itu akan tercapai.

Pemikiran masyarakat Malaysia, orang Melayu secara khususnya walaupun mereka membawa kereta Porsche, BMW, menjamah makanan tengahari di hotel mahupun di restoran mewah, mempunyai perasaan malu untuk berbicara bahasa Melayu, masih lagi membawa mentality nenek moyang mereka yang kalau hendak menggambarkannya ialah dengan satu perkataan, iaitu kolot!

Maka tidak hairanlah, hantu-hantu ini akan terus bersarang di dalam pemikiran kita, hingga ke satu peringkat yang mana kita telah menjadi negara moden namun mentaliti kita persis masyarakat yang hidup 500 tahun nan lampau!

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu - The Salam Connection.

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...