Sunday 21 February 2010

MAULIDUR RASUL DAN PENGHORMATAN KE ATAS RASULULLAH

Oleh - Hesmel Faznee Faisal

Saya merasa tertarik dengan isu-isu yang berbangkit, sejak kebelakangan ini. Daripada isu “pengharaman” perarakan Maulidur Rasul yang telah diadakan sejak berzaman di Pulau Pinang hinggalah kepada isu sebat yang akan dikenakan ke atas pesalah wanita.

Semuanya ini menambahkan lagi kerancakan, baik di dalam arena perbincangan politik mahupun agama.

Namun, di sebalik kekecohan ini kita sering terlupa kepada asas ataupun pokok pangkal menghuraikan permasalahan, iaitu buku yang satu itu, Quran (Jose, I was not referring to the book of Eli, the movie starring Denzel Washington, mind you!). Jikalau kita mula mengkaji dan mula menghampiri Al-Quran sejak dari dulu lagi, saya yakin perkara-perkara yang di atas ini akan dapat diselesaikan.

Isu perarakan Maulidur Rasul ini, jika dilihat daripada konteks social dan penyatuan umat Islam dan bangsa (Melayu secara khususnya) tidak menjadi satu kesalahan. Malah, kalau dilihat dari satu sudut, ianya menunjukkan satu kesatuan di dalam menganjurkan majlis sedemikian.

Bayangkan, jika parti pembangkang di Pulau Pinang (iaitu UMNO!) mampu untuk menganjurkan majlis ini bersama parti PAS dan segelintir pemimpin Melayu Islam dari PKR. Saya terasa aman dan bahagia serta merasa bangga menjadi anak “Penang” kerana pemimpin politik di Pulau Pinang menjadi perintis kepada penyatuan sedemikian!

Saya masih ingat ketika saya di bangku sekolah (I was sitting on it and was carrying the darn chair everywhere, Jose! A poor attempted joke!) majlis ini sering diadakan di sekitar bandaraya Pulau Pinang dan banyak agensi kerajaan mahupun swasta mengambil bahagian dalam majlis tersebut. Mereka akan berselawat (for those who are not in the loop, berselawat means to support) ke atas Nabi.

Selain daripada itu, satu perhimpunan akan diadakan, kalau tidak salah di dewan-dewan mahupun di stadium.

Apabila seorang ketua menteri sebuah negeri itu dilihat sebagai berkata akan mengharamkan dan melarang perarakan itu diadakan lagi, sebuah parti tertua di negara mula bangun membantah. Di satu pihak yang lagi satu pula, mula mengeluarkan pendapat bahawa tindakan ketua menteri itu sejajar dengan ajaran Islam sebenar, iaitu sebenarnya sambutan Maulidur Rasul itu tidak pernah diadakan sejak dari zaman dahulu lagi dan ianya merupakan sebahagian daripada bidaah hasanah.

Bagi saya, isu ini bukanlah kerana hendak mempertahankan yang benar atau menidakkan yang batil. Ianya lebih kepada konflik “menarik benang dalam tepung, tepung jangan berselerak dan benang jangan putus”!

Apakah puak yang lagi satu itu hanya bersuara semata-mata ingin “menjaga hati” rakan politik di dalam satu pakatan ini atau benar-benar menegakkan ajaran Islam sebenar? Maksud saya, apakah hanya kerana seorang ketua menteri itu mengambil keputusan untuk tidak membenarkan perarakan itu dilakukan, barulah puak yang lagi satu itu mengatakan bahawa ianya bukan sebahagian daripada tuntutan Islam?

Isu utama di sini ialah, jika benarlah perarakan Maulidur Rasul ini sebenarnya bukanlah satu tuntutan Islam, maruah yang benar-benar tercabar di sini ialah pada orang Melayu Islam itu sendiri. Adakah kita hendak tunduk dengan pendapat bukan Islam atau kita sama-sama bersetuju mengatakan ianya bukan tuntutan Islam melalui musyawarah atau melalui perbincangan sesama Ulama?

Jika benar ianya bukan dituntut di dalam Islam (perarakan dan sambutan Maulidur Rasul) ini, maka kita juga perlu melihat dan mengkaji kembali kedudukan nama Nabi Muhammad itu diletakkan sejajar dengan nama Allah di dalam masjid atau di dalam surau, apakah ianya satu tuntutan dan di suruh oleh Rasullulah sendiri atau sekadar satu bentuk bidaah hasanah? Serta beberapa lagi adat yang ada dalam ibadat masyarakat Melayu, jika kita benar-benar ingin mengikut ajaran Addin ini yang sebenar-benarnya. 


Saya tidak mahu semua yang dilakukan ini hanyalah berdasarkan kepada dasar politik semata-mata.

Bukan niat saya untuk mengeruhkan lagi keadaan tetapi saya rasa terpanggil untuk mempersoalkan perkara ini apabila melihat kekecohan yang telah berlaku. Umat Islam dan agama addin ini semakin dihina, bukanlah kerana disebabkan oleh penindasan orang bukan Islam dan sebagainya.

Ianya diperkotak-katikkan (Oh, my..so typical!) disebabkan oleh umatnya sendiri dan mereka yang mula jauh dan menyimpang daripada Al-Quran.

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection.

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...