PETISYEN UNTUK DOLAH "BAJU MERAH"

PETISYEN:
Keputusan Pilihan raya umum 2008 menyaksikan Barisan Nasional menerima kekalahan teruk. Tidak pernah dalam sejarah BN menerima kekalahan begitu besar iaitu hilang lima buah negeri dan hilang majoriti 2/3 di Parlimen.

Kekalahan ini sungguhpun mempunyai 1001 sebab, namun sebab-sebab utama jelas menjurus kepada kelemahan kepimpinan dan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Seperti kata Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, “Sekiranya kemenangan besar 2004 diuar-uarkan sebagai kemenangan Abdullah, maka Abdullah juga harus bertanggungjawab dalam kekalahan ini.”

Menurut kaji selidik laman web penyokong UMNO www.mykmu.net, antara punca utama kekalahan Barisan Nasional akibat secara langsung daripada Abdullah. 10 sebab utama ialah:

1. Kegagalan melaksanakan ekonomi secara makro bagi kesejahteraan masyarakat. Tiada hala tuju jelas ekonomi negara kecuali slogan dan Dalam tempoh empat tahun kepimpinan Abdullah telah berlaku:
a. Kenaikan harga petrol yang terlalu tinggi
b. Kenaikan tol yang sangat drastik,
c. Kenaikan kadar faedah asas (BLR),
d. kenaikan kos sara hidup - elektrik, cukai pintu dan air.
e. Kenaikan harga barang

2. Dasar Luar yang mengelirukan dan pro-Singapura seperti:
a. Mengakui Tambak Johor sebagai hak bersama Malaysia-Singapura tanpa kira sempadan, tanpa mendapat keputusan Mahkamah Antarabangsa.
b. Membatalkan pembinaan jambatan bengkok kerana ugutan Singapura
c. Masih gagal menyelesaikan isu harga air mentah ke Singapura
d. Gagal memimpin OIC

3. Promosi Islam Hadhari yang keterlaluan: a. Membimbangkan masyarakat bukan Islam.
b. Tidak diterima oleh sebahagian besar orang Islam di Malaysia kerana dianggap mengelirukan dan memberi imej tidak baik kepada Islam sebelum munculnya istilah Hadhari ini di Malaysia.

4. Pentadbiran negara yang tunggang langgang:
a. Tindakan menghantar Menteri ke negara China bagi memohon maaf atas isu ketuk ketampi bogel dalam lokap tanpa menyiasat terlebih dahulu identiti wanita terbabit.
b. membenarkan "media bashing" terhadap pasukan polis, cuba mewujudkan badan pemantau polis (IPCMC) tetapi menarik balik. Moral pasukan polis amat lemah sehingga menyebabkan Polis sudah kurang berkesan dan kadar jenayah kian bertambah tanpa penyelesaian.
c. Keputusan berubah-ubah dalam kes Jambatan Bengkok, Landasan Keretapi Berkembar, Jambatan Pulau Pinang Kedua menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit
d. Kenyataan-kenyataan biadap dan tidak bertanggungjawab Abdullah seperti “I dont Know, i’m not involved” dalam kes ECM Libra dan memanggil pengkritik beliau sebagai Iblis.
e. Banyak menubuhkan suruhanjaya tanpa mengambil langkah sewajarnya menyebabkan suruhanjaya sendiri sudah menjadi lawak jenaka.
f. Pertelingkahan dan pertikaian antara Menteri sudah menjadi lumrah sehingga kabinet menjadi bahan jenaka masyarakat umum.

5. Pentadbiran yang kurang ajar dan biadap terhadap Perdana Menteri Keempat Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebabkan ramai penyokong UMNO dan rakyat Malaysia berketurunan cina tidak berpuas hati dan melalukan undi protes.

6. Isu korupsi dan kronisme yang melampau dalam kes ECM Libra, Scomi dan Myteam menyebabkan hilang kepercayaan.

7. Memecah-belahkan UMNO
a. Membenarkan mereka yang dipersoal kesetiaan terhadap UMNO dan negara menguasai media yang UMNO mempunyai kepentingan telah menimbulkan keadaan tidak senang dalam UMNO.
b. Menggugurkan Ketua Bahagian dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya lalu memberi isyarat jelas Abdullah tidak menghormati hak demokrasi parti.
c. Keputusan yang berbeza dalam isu politik wang antara Ahmad Zaki Zahid (Pembantu Khas Perdana Menteri) dengan Zaid Ibrahim yang menang tanpa bertanding mencerminkan penyalahgunaan Majlis Disiplin UMNO. Ahmad Zaki hanya diberi amaran kerana terbabit politik wang dalam pertandingan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Putrajaya. Manakala Zaid Ibrahim digantung atas dakwaan politik wang sungguhpun tidak terbabit dalam sebarang pertandingan. Zaid menang tanpa bertanding Ketua UMNO Kota Bharu.
d. Tidak mengendahkan persepsi umum bahawa Khairy Jamaluddin begitu berkuasa dalam UMNO dan kerajaan. Malahan tindakan membenarkan Khairy menggunakan pengaruhnya dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda UMNO menyebabkan beliau diejek (boo) selepas diumumkan menang tanpa bertanding. Keadaan ini dikukuhkan lagi dengan pemilihan Khairy sebagai calon Parlimen Rembau.
e. Tidak mengambil sebarang tindakan ke atas penyokong-penyokongnya seperti Datuk Kamarulzaman (TV3) dan Datuk Kalimullah (NSTP) menggunakan media mereka untuk menghentam pemimpin UMNO yang dilihat boleh memberi cabaran kepada Khairy Jamaluddin.
f. Hanya menurunkan peruntukan dan projek kepada kontraktor kelas F setelah menghadapi kritikan keras Tun Dr. Mahathir dan khuatir akan berlaku kritikan keras dalam perhimpunan agung UMNO. Rasuah terangan-terangan dengan mengumumkan peruntukan RM 3 juta setiap bahagian sehingga menjejaskan imej UMNO.
g. Kempen keterlaluan untuk mengalahkan Tun Dr. Mahathir dalam pemilihan perwakilan UMNO Kubang Pasu 2006 menyebabkan ramai ahli UMNO “berjauh hati.”
h. Membiarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad yang tidak dipilih secara demokrasi dalam UMNO memporak- perandakan UMNO Perlis menjelang pilihan raya umum 2008.

8. Gagal mengawal isu Hindraf sehingga menjadi begitu besar dan MIC hilang sokongan orang India.

9. Tidak mempunyai strategi yang jelas apabila menerima kekalahan dalam pilihan raya umum 2008. Kata-kata seperti itu “pilihan rakyat”, “rakyat sudah buat keputusan, kita terima” bukanlah cerminan pemimpin yang mampu bangun memimpin BN untuk menang semula.

10. Akhir sekali, wajah kepimpinan Abdullah sudah ditolak oleh kaum Cina dan India serta tidak lagi disenangi oleh sebahagian besar orang Melayu dan UMNO. Isu ini bukan isu perebutan kepimpinan atau pertukaran pemimpin, tetapi ia merupakan isu dasar dan polisi Abdullah yang ditolak rakyat.

Justeru UMNO dan Barisan Nasional memerlukan kepimpinan baru bagi memberi nafas baru menjelang pilihan raya akan datang. Lebih penting, negara Malaysia memerlukan polis dan dasar baru yang lebih segar dan berwibawa bagi menjamin kemakmuran kepada rakyat.
Sehubungan itu, kami sebagai ahli-ahli UMNO dibawah dengan ini memohon agar:

1. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan secara sukarela sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
ATAU
2. Sekiranya, Datuk Seri Abdullah dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO berpendapat Presiden parti masih mendapat sokongan ahli UMNO, maka sewajarnya, satu Perhimpunan Agung Khas UMNO dipanggil dan satu undi sulit mengenai kedudukan Presiden UMNO diadakan.
Sekian, terima kasih.

Note:
Atas permintaan dan cadangan ramai berikut ialah draf petisyen yang akan diedarkan kepada Ahli UMNO secara online dan bercetak. Sebarang cadangan dan pertanyaan boleh hubungi demokrasimalaysia@yahoo.com atau para pentadir laman ini. Dicadangan juga petisyen ini hanya terbuka kepada Ahli UMNO. Nama sebenar dan nombor keahlian serta nombor telefon akan diperlukan bagi membolehkan petisyen ini dianggap sah dan relevan. (Tidak perlu tulis butiran di dalam komen ini kerana ia hanya diperlukan setelah dilancarkan secara rasmi.) VERSI KEMASKINI 12/03/08:1.28PM)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?

ALLAHYARHAM TAN SRI DR P RAMLEE