POLITIK BUDAYA TINGGI

- Hesmel Faznee Faisal

Dalam kehingaran kita yang bakal menyambut raya siasah, iaitu #PRU142018, terjenguk aku ke landasan kenangan silam tatkala berusia 12 tahun, sewaktu berlangsungnya Pilihanraya Umum ke 8, pada tahun 1990. Mungkin ramai yang akan mempersoalkan, apa yang budak berumur 12 tahun tahu tentang siasah? Jikalau seorang itu berdatukkan seorang guru yang menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, lubuk yang menghasilkan para nasionalis dan patriot, mereka mungkin akan faham apa yang aku lalui.

Hakikatnya,  arwah Tok Ayah aku adalah nasionalis dan patriot dan ia telah diperturunkan kepadaku menerusi kisah-kisah sejarah lampau secara lisan sejak aku berusia 8 tahun hinggalah sehingga Tok Ayah meninggal dunia sewaktu aku berusia 17 tahun. Maka atas sifat itulah juga aku mengerti dan memahami perit jerih mereka yang terdahulu.

Pada masa itulah juga, sewaktu hangat kempen PRU 8 berlangsung, aku buat pertama kalinya melihat seorang tokoh politik yang 28 tahun kemudian, menjadi bos seterusnya mentor aku, Datuk Rais Yatim (kini Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr) berpidato.

Beliau pada masa itu bukannya sesiapa, hanya seorang bekas Menteri di bawah Kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad  yang telah meletakkan jawatan (bukan dipecat) kerana perselisihan faham dalam perang saudara Team A dan Team B pada tahun 1987. Beliau pada masa itu berucap di atas platform pembangkang, menerusi parti Semangat 46 yang didokongi beliau selaku Timbalan Presiden.
 
Seingat aku, pada masa itu ceramah tersebut berlangsung di Padang Kota, Pulau Pinang. Sebagaimana beliau berucap pada tahun 1990, ia kekal sama hingga ke kini. Penuh dengan lenggok gemalai yang disulamselikan dengan madah yang santun. Ada kala tertentu sahaja bunyinya agak keras tetapi tiada bentuk kecaman mahupun serangan peribadi.

Kesimpulannya, itulah apa yang dikatakan sebagai #PolitikBudayaTinggi.

Barangkali ada hikmah pada setiap perkara yang berlaku sekarang. Kata orang, kesusahan mengajar kita untuk menjadi lebih baik dari semalam. Tuhan itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Dia menguji kita kerana hendakkan kita berubah. Berubah kepada yang lebih baik. Namun, tak semua orang inginkan perubahan dek kerana keselesaan. Perubahan peribadi yang boleh dilakukan kita semua ialah mengamalkan #PolitikBudayaTinggi. Nah, barangkali ramai yang tertanya-tanya apakah itu Politik Budaya Tinggi.

Apa mungkinkah kita melakukan perubahan atau anjakan paradigma dengan mengenepikan perasaan kebencian atau memekarkan rasa benci pada pihak lawan? Dan bolehkah kita menentang pihak lawan menerusi fakta dan budi?

Maka itulah antara intipati kepada perihal Politik Budaya Tinggi. Itu, dari aspek kepimpinan. Bagaimana pula dengan sang penyokong atau pengikut? Apakah boleh kita melatih setiap daripada kita untuk mencegah diri dari mewar-warkan perihal yang tidak sahih, khususnya aspek siasah?

Atau apa bolehkah kita mendisiplinkan diri kita dengan menghormati pihak lawan dengan menentang mereka menggunakan kelembutan dan liuk gemalai? Mereka yang berjaya mengalahkan pihak musuh dengan kasih sayang ialah mereka yang memenangi perang yang sebenarnya. Harus diingat, mendiang Mahatma Ghandhi menundukkan musuhnya dengan kelembutan dan sifat rendah diri.

Selaku pengikut dan penyokong, anda juga boleh memainkan peranan penting dalam Politik Budaya Tinggi dengan memastikan tapak ceramah itu kekal bersih, sebagaimana sebelum anda tiba sehinggalah anda pulang. Atau mungkin, tidak bersikap agresif tatkala kepanasan dan kehangatan #PRU14 ini berlangsung.

Kesimpulannya, itulah pendekatan #PolitikBudayaTinggi yang kita semua perlu mekarkan supaya ianya menjadi penggerak kepada masyarakat yang berbudaya tinggi.

Sekian.
Pengundi P018, Parlimen Kulim Bandar Bharu

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?