SIAPA AQALKALAYUDA - PRAKATA



"Anak Melayu berjalan segak,
Dicuri pandang si dara Cina,
Perjalananku hanya sejenak,
Namun persepsiku tak kurang nilainya”

Itulah simpulan kata yang boleh saya nyatakan tentang kisah hidup saya yang tidak seberapa.

Mungkin ada nilainya kepada mereka yang ingin mengetahui tentang siapa diri saya. Tapi, apakah saya ini siapa-siapa? Barangkali saya sendiri yang merasakan saya ini siapa-siapa!

Ketika saya mula menulis autobiografi semi ini, saya hanyalah seorang insan yang tiada apa-apa. 

Dari seorang yang tiada apa-apa, diberikan kepercayaan menjadi pegawai kepada seorang tokoh yang punyai segala apa. Masakan tidak, saya telah dipilih menjadi SUSK (Setiausaha Sulit Kanan) kepada Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, yang tarafnya masih seakan seorang Menteri Kabinet! Begitulah hebatnya aura tokoh tersebut. Kata orang, singa yang tua masih tetap bisa mengaum. Dan ngaumannya masih bisa menggegarkan gempita!

Tokoh tersebut juga bukanlah calang-calang orangnya. Seorang yang memakai banyak topi, sebagai seorang ahli politik berkaliber, seorang pemikir, seorang budayawan dan juga seorang ahli undang-undang. Maka bertuahlah saya apabila mendapat beliau, Tan Sri Dato' Seri Utama Dr Rais Yatim sebagai mentor dan juga bos.

Malah, beliau sering mengingatkan pada saya,

Whatever that I taught you and all the knowledge that you learnt from me derives from 5 different thinking having served under 5 Prime Ministers, namely Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah and Datuk Seri Najib..”

Jadi, sepanjang tempoh perkhidmatan saya di bawah beliau, dapatlah saya nyatakan di sini bahawa saya turut terkena tempias-tempias ilmu yang dipelajari beliau daripada tokoh-tokoh yang dinyatakan di atas.

Barangkali dapatlah dinyatakan di sini bahawa melihat daripada sudut itulah, tulisan  autobiografi ini mungkin membawa sedikit nilai, kisah – kisah hidup pengalaman saya yang boleh dijadikan bahan bacaan untuk semua orang! Harap ia tidaklah terkena sindrom syok sendiri! Namun demikian, walau siapapun diri kita, saya tetap percaya di suatu sudut tertentu kita ini penting buat seseorang.

Saya mula menulis autobiografi ini pada 27 Mac, 2017. Barangkali ianya akan mengambil masa setahun, mungkin sepuluh tahun atau mungkin saya menjangkau usia 60 tahun. Hanya Allah sahaja yang tahu perjalanan kisah kita. Semuanya ada dalam simpananNYa.

Cuma apa yang saya tahu, setiap perkara yang berlaku walau sebesar zarah sekalipun, ada kisah dan puncanya.

Saya harap, penulisan saya ini dinilai pada naratif dan perjalanan hidup yang saya lalui. Dan bukan pada apa yang hendak saya cuba nyatakan. Keliru bukan? Biarlah. Anda yang memilih untuk membaca tulisan saya.

Selamat datang ke alam yang penuh “kekeliruan”!


HESMEL FAZNEE FAISAL
Subang Jaya,
Selangor Darul Ehsan 















Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?

ALLAHYARHAM TAN SRI DR P RAMLEE