AQALKALAYUDA 1

Saya semasa berusia 6 bulan


Saya sering keliru tentang asal usul diri saya.
Betul.

Nak dikatakan saya orang Tanjung disebabkan saya dilahirkan di Pulau Pinang, boleh juga. Atas faktor dilahirkan di situ. Tapi saya memilih untuk tidak merasakan sedemikian. Sebab sentimen anak Tanjung itu tiada dalam kedua-dua ibu bapa saya!

Ayah saya, Ahmad Faisal bin Haji Hussein dilahirkan di suatu daerah di bahagian Utara Perak, dipanggil Sungai Bayor, Selama Perak. Mengikut sejarah, kawasan tersebut adalah sebahagian daripada kawasan yang didiami oleh orang Melayu yang berasal dari Pattani, salah satu kawasan yang terletak di Selatan Thai. Orang Melayu Pattani yang berasal dari Selatan Thai ini telah melarikan diri ke Tanah Melayu akibat konflik yang melanda antara kerajaan Siam dan kerajaan Pattani dek kerana usaha untuk campur tangan oleh Kerajaan Siam dalam taktik pecah dan perintah ke atas kerajaan Pattani.

Mereka cuba hendak memecahbelahkan Pattani kepada 7 daerah kecil yang setiap satu daripadanya diperintah oleh ketua yang dilantik oleh Kerajaan Siam. Selain daripada situ, terdapat susur galur penempatan orang Melayu Pattani di situ. Antaranya di Lenggong, Grik, Ijok, Batu Kurau, Pantai Besar sehinggalah membawa ke Padang Rengas.

Sebut sahaja Padang Rengas, terpancurlah wajah ahli Parlimen Padang Rengas yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz[1]. Beliau dikenali sebagai seorang politikus yang sering mengutarakan pandangan yang agak berterus terang dan sering dilihat sebagai kontroversi.

Ada masanya pandangan beliau itu bersifat provokatif, namun tidak dapat dinafikan rata-rata orang keturunan Pattani sememangnya terkenal dengan sifat gedebe! Dek sifat-sifat inilah orang Melayu Pattani keluar mengembara sehingga ke pelusuk dunia dan menjalankan perniagaan dalam industri tekstil dan makanan.

Teringat saya akan anekdot pertemuan ringkas saya dengan Chief selaku Menteri saya di pejabat beliau. Saya masuk berjumpa dan menegur beliau menggunakan bahasa Melayu Pattani. Beliau terperanjat dan terus bertanyakan asal usul saya. Selepas memberitahu saya tentang asal usul keluarga saya daripada Sungai Bayor, beliau terus berbual dengan saya dalam bahasa Melayu Pattani!
  
Ya, seperti ayah saya beliau juga berketurunan Melayu Pattani yang cukup berbangga dengan keturunan mereka dan dipanggil orang Pattani laq-laq atau membawa maksud yang sebetul-betul tulen. Maka ayah, dek kerana kebanggaan itu jugalah, beliau menerapkan saya untuk pandai berbahasa Pattani. Jadilah saya Hesmel Faznee, yang mempunyai wajah seakan-akan mamak Bengali, mampu bercakap Melayu dialek Pattani. Berhubung wajah saya yang seakan mamak Bengali ini, akan diceritakan kemudian.

Ayah, anak lelaki sulung dalam keluarga dan mempunyai seorang kakak dan 3 orang adik. Kakak ayah bernama Nailah manakala adik-adiknya terdiri daripada Ahmad Fuad, Thurraiya dan Ahmad Fikri. Kakak Ayah yang sulung, telah meninggal dunia pada tahun 2008. Adiknya pula Ahmad Fuad meninggal pada tahun 2014.

Ayah kepada ayah saya, Datuk Seri Hj Hussein[2] Yaacob adalah seorang ahli politik yang cukup terkenal suatu masa dahulu. Beliau dahulunya seorang guru agama. Mengikut cerita keluarga saya, arwah yang juga dipanggil tok chey (panggilan dalam dialek Melayu Pattani yang bermaksud tok tua) antara anak orang Pattani dari Sungai Bayor, Selama Perak yang bertuah untuk menyambung pelajaran di luar negara.

Masakan tidak, tidak semua orang berpeluang untuk keluar dari Malaya pada zaman dahulu. Tok Chey saya, menyambung pelajaran di Mekah dalam bidang usuluddin dan menetap di sana selama hampir 20 tahun. Sekembalinya beliau daripada Mekah, Tok Chey telah menjadi guru sekolah agama dan mengajar di sekolah pondok di Sungai Bayor.

Pada masa itu, tidak ramai cerdik pandai yang berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi. Mengikut cerita, Tok Chey adalah seorang orator. Atau dalam bahasa mudah, seorang pembahas yang berkesan. Cakap-cakap beliau mampu memukau dan menarik perhatian umum. Ditambah lagi dengan kemampuan beliau bertutur dalam bahasa Arab yang diselang-selikan bahasa Melayu dialek Pattani!

Mengikut cerita atas faktor-faktor inilah Tok Chey telah dipilih sendiri oleh Perdana Menteri, Almarhum Tunku Abdul Rahman menjadi calon untuk bertanding di bawah tiket parti UMNO dalam pilihanraya pertama negara pada tahun 1955 bagi kerusi DUN Selama. Bertandinglah Tok Chey di kerusi itu dan kekallah beliau menjadi ADUN Selama untuk 4 penggal (1955-1969), sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk bersara penuh dari politik pada tahun 1974.

Jasa beliau telah diabadikan oleh Kerajaan apabila Sekolah Menengah Selama telah ditukarkan kepada Sekolah Menengah Dato’ Haji Hussien. Itulah satu-satunya bukti peninggalan tentang perihal arwah Tok Chey saya.

Pernah suatu ketika, Tok Chey telah ditawarkan untuk bertanding pula di kerusi Parlimen Larut di mana kawasan Selama adalah salah satu di bawah kawasan Parlimen tersebut, selain daripada Kubu Gajah dan Batu Kurau. Tawaran tersebut dibuat oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Tujuan Allahyarham Tun berbuat demikian adalah untuk melantik Tok Chey menjadi Menteri yang bertanggungjawab tentang hal ehwal agama. Namun demikian, Tok Chey menolak tawaran tersebut dek kerana alasan tertentu. Jawapan yang diberikan oleh Tok Chey, jika dinilai dan dibandingkan dengan taraf politikus sekarang, bagai langit dan bumi.

Kata Tok Chey;

YAB Tun, bukan taraf saya untuk bertanding di peringkat Parlimen, apalagi nak dilantik sebagai menteri. Saya hanya cikgu sekolah agama. Tak pandai bercakap Inggeris. Oleh itu, saya dengan hormatnya menolak tawaran tersebut.”

          Maka, Tok Chey pun bersaralah dari politik dan menghabiskan masa dengan cucu sulung beliau yang juga abang saya Hesnul Faznee. Beliau menghembuskan nafas terakhir semasa berada di Pulau Pinang, sewaktu melawat cucu sulung beliau itu.

Ayah saya, adalah seorang askar pencen. Pencen awal. Beliau sempat berkhidmat selama 9 tahun di bahagian artileri. Ayah saya selalu bercerita kepada saya tentang pengalaman beliau terlibat dalam konfrantasi Indonesia dan Malaysia, sekitar tahun 1963-1966 dan juga semasa tragedi 13 Mei, 1969. Barangkali pengalaman yang beliau lalui tidaklah sehebat orang lain, tetapi masing-masing ada pengalaman tentang tragedi hitam ini.

Berbalik kepada mengapa beliau hanya berkhidmat dalam ketenteraan selama 9 tahun sahaja. Ayah telah disuruh pulang ke Ipoh semasa Tok Chey diserang sakit jantung pada tahun 1969, sebaik mendapat khabar yang parti Perikatan negeri Perak hanya menang tipis dalam Pilihanraya Umum 3, 1969. Bukan menang tipis sebenarnya, sebaliknya kalah dengan majoriti kecil. Tatkala itulah berlakulah aksi “lompat parti” siri pertama yang kemudian diikuti dengan siri kedua pada Pilihanraya Umum 12, 2008!   

Pada masa itu, ayah menjawat jawatan pegawai dalam perkhidmatan tentera dan bertugas di Tawau, Sabah. Dalam pada masa sama, ayah disuruh oleh Tok Chey untuk menamatkan zaman bujangnya. Maka disinilah masuk kisah ibu saya. 

        Isteri Tok Chey, Allahyarhamah Zainab Mat Merican yang saya panggil Maktok Piki (Piki merujuk kepada panggilan timang-timangan adik bongsu Ayah, bernama Ahmad Fikri) mempunyai talian persaudaraan dengan maktok saya, Fatma Bee Osman. Dijadikan cerita, Tok Chey kerap singgah di rumah moyang saya, Osman Bachee semasa beliau membawa getah-getah sekerap dan getah keping untuk dijual di Seberang Perai, Pulau Pinang. Arwah Tok Chey cukup "pantang" jika orang mengutuk-ngutuk bau busuk yang datang dari getah sekerap itu. 

Kata Tok Chey dalam dialek Pattani pekat, "Busuk baung tu lah bau duit, mu tahu             apa?!"

Bolehlah dikatakan yang Tok Chey mengenali keluarga ibu saya, sejak ibu saya masih di sekolah menengah lagi. Barangkali inilah juga yang dinamakan takdir dan jodoh. Ibu saya sebelum itu menuntut di Sekolah Tun Fatimah (STF), yang terletak di Johor Bharu. Ada kisah lucu dan menarik di sebalik mengapa ibu saya pulang semula ke Tanjung selepas hanya sempat menuntut di STF sehingga tingkatan 4 sahaja. 

Mengikut cerita, ibu saya sering diganggu oleh seorang guru yang terlalu meminatinya, sehinggakan arwah bapa ibu, bertindak membawa ibu pulang semula ke kampung!

Ibu saya (dipanggil Mama), Norhani Mohd Isa. Walaupun dilahirkan di Permatang Janggus, di suatu kawasan yang terletak di daerah Seberang Prai, Pulau Pinang juga tidak merasakan yang beliau anak Tanjung. Mungkin sebab faktor asal usul moyang beliau, yang bukannya anak Tanjung sejati juga membuat Mama merasa canggung untuk menyatakan beliau anak Tanjung. Mama adalah anak yang sulung dan mempunyai 5 orang adik. Semuanya perempuan. Adik-adik beliau, Norma seorang cikgu pencen, Sulnayah seorang surirumah, Norasyikin seorang pegawai kerajaan pencen dan yang bongsu, Shahrul Bariyah.

Mengikut cerita daripada keluarga saya di sebelah Mama, moyang saya dikatakan berasal daripada Kampung Alai, suatu kawasan yang terletak di salah satu daerah di  negeri Melaka. Nenek saya, (ibu kepada Mama) bernama Patma Bee Osman (saya panggil Maktok). Moyang saya, Osman bin Bachee bin Mohd Amin bin Baba. Dikatakan moyang saya yang bernama Baba inilah yang berasal dari Kampung Alai, Melaka. Menurut cerita Maktok, keturunan beliau berasal dari Pakistan. Kebarangkalian inilah puncanya mengapa raut wajah saya mirip Mamak Benggali!

Arwah Maktok Bee pernah menceritakan kepada saya bahawa semasa mudanya beliau kerap berutus surat dengan saudara maranya di Kampung Alai, antara tahun 1950an – 1960an. Sayangnya, dek kerana kerap berpindah randah (suami maktok, yang juga Tok Ayah saya) adalah seorang guru dan mereka sekeluarga kerap berpindah randah kerana Tok Ayah dinaikkan pangkat dari seorang guru biasa kepada guru besar. Maka hilanglah semua alamat dan surat menyurat yang menjadi penyambung antara keluarga asal di Melaka dengan yang ada di Permatang Janggus, Seberang Prai Pulau Pinang. Suatu kesedihan yang bagi saya amat wajar untuk diratapi!

Berbalik kepada kisah Tok Ayah saya, Cikgu Mohd Isa bin Yaacob. Tidak banyak yang saya ketahui secara terperinci mengenai susur galur arwah Tok Ayah saya, melainkan daripada cerita-cerita lisan semata. Tok Ayah dengan saya cukup rapat. Tok Ayah pernah menceritakan kepada saya bagaimana ayahnya dulu menaiki bot tekong untuk datang ke tanah Melayu daripada Indonesia. Tok Ayah pernah memberitahu saya bahawa bapanya, Yaacob berasal daripada Aceh, Sumatera Indonesia.

Apa yang saya ingat mengenai Tok Ayah ialah beliau seorang patriot. Seorang nasionalis. Barangkali didikan yang diterima beliau semasa menjadi penuntut dan pelatih di Kolej Perguruan Sultan Idris (kini dinaikkan taraf menjadi Universiti Perguruan Sultan Idris) telah sedikit sebanyak membentuk sahsiah diri beliau. Antara rakan-rakan sepengajian beliau termasuklah bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghaffar Baba. Tok Ayah mempunyai ramai orang anak murid dan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pendidik, tokoh-tokoh korporat dan ahli dalam pelbagai bidang-bidang lain.

Tidak dapat tidak, sedikit sebanyak pengaruh pembentukan diri saya tentang isu-isu semasa, khususnya isu yang melibatkan hal perihal tentang Melayu, nasionalisme dan patriotisme banyak terbentuk daripada acuan arwah Tok Ayah. Masakan tidak, seawal usia 7 tahun saya telah didedahkan tentang sejarah negara ini menerusi pengkisahan Tok Ayah kepada saya. Bagaimana Tok Ayah, dengan naratif penceritaan yang cukup berkesan berkongsi pengalaman hidup beliau selaku seorang guru, mengharungi kepayahan semasa era pemerintahan Jepun dan British.

Mengikut cerita daripada salah seorang bekas anak murid beliau, sebelum kelas bermula Tok Ayah kerap menyuruh mereka menyanyikan lagu Indonesia Raya, selepas menyanyikan lagu Negaraku.  Tok Ayah, pernah menjadi guru besar di Sekolah Permatang Tok Dik, yang terletak di suatu kawasan di Kulim Kedah. Tok Ayah adalah seorang guru yang cukup berdedikasi dan beliau tidak pernah lokek dengan duit ringgit, walaupun hakikatnya Tok Ayah sendiri bukanlah seorang yang ada banyak duit! Ramai anak-anak didik beliau mengenang jasa Tok Ayah kerana sikap beliau yang pemurah. 

         Seperti juga Tok Chey, Tok Ayah pernah ditawarkan untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum 1964 untuk bertanding sebagai calon parti Perikatan bagi kerusi DUN Kulim. Hal ini adalah kerana sikap mesra Tok Ayah dan juga populariti beliau sebagai seorang guru dikenali ramai. Namun, Tok Ayah menolak tawaran tersebut kerana dedikasi beliau sebagai seorang guru mengatasi tuntutan siasah umum!

Saya masih ingat keakraban saya dengan Tok Ayah. Beliau kerap membawa saya “lepak” bersama kawan-kawan seangkatan beliau, samada guru, polis, askar atau pegawai kerajaan pencen duduk bersembang di kedai kopi yang terletak di pasar lama di tengah-tengah pekan Kulim, Kedah. Kemana sahaja Tok Ayah pergi saya akan ikut, menaiki kereta Morris Minor yang dibeli beliau hanya selepas hampir 20 tahun bekerja sebagai guru. Sebelum itu menurut Mama, Tok Ayah sekeluarga hanya menaiki pengangkutan awam jika hendak ke mana-mana. Bayangkanlah keperitan yang terpaksa dilalui Tok Ayah membawa bersama isteri dan 5 orang anak-anak dara kecilnya pada masa itu!  

Tok Ayah, seingat saya adalah seorang yang cukup berdisiplin dalam hal-hal pendidikan. Beliau juga seorang yang tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Mama pernah bercerita tentang perihal Tok Ayah. Rata-rata orang Kulim amat menghormati Tok Ayah dek kerana sikapnya yang terlalu merendah diri tapi tegas dalam masa yang sama. Tok Ayah sering berkongsi pengalaman dan pendapat beliau tentang isu-isu semasa.

Bayangkan, seorang budak berusia antara lingkungan 8-10 tahun mendengar kisah politik. Melopong jadinya! Saya masih ingat koleksi buku-buku Tok Ayah yang beratus-ratus jumlahnya. Semuanya disimpan dalam almari yang tidak pernah dikunci. Kata Tok Ayah, jika nak baca ambillah. Maka daripada sinilah saya mengenali penulis-penulis seperti Keris Mas, A. Samad Said, A Samad Ismail, Tongkat Warrant, Shahnon Ahmad, Pak Sako dan ramai lagi. Saya juga mengenali penulis politik pojok seperti Syed Hussien Alatas, Yahya Ismail dan ramai lagi.

Menerusi pembacaan saya pada masa itu, dicampur pula dengan penceritaan yang disampaikan oleh Tok Ayah, sedikit sebanyak kisah-kisah Tok Ayah itulah yang menjadikan saya lebih berminat tentang isu-isu siasah, sejarah dan juga mengambil tahu tentang perihal jatuh bangun bangsa sendiri. Tidak dapat tidak, ianya menjadikan saya insaf betapa orang Melayu ini sebenarnya hebat-hebat belaka. Cuma, mereka terlalu merendah diri seperti juga Tok Ayah.

Sifat orang Melayu ialah mereka suka berkorban untuk orang lain, tanpa mengambilkira tentang keperluan diri sendiri. Sikap apologetik inilah yang kerapkali dianggap sebagai kelemahan bangsa Melayu! Barangkali jika orang Melayu itu lebih menitikberatkan tentang sifat ingin maju mengatasi orang lain, Melayu tidak perlu lagi bergantung kepada tongkat. Mereka boleh terus meluncur mencapai kejayaan, mengatasi orang lain.

Secara peribadi, saya merasakan bahawasanya orang Melayu harus keluar daripada sifat mengalah, rendah diri dan berkorban untuk kemajuan dan kejayaan orang lain. Mereka harus belajar mempunyai sifat kiasu dan kiasi, seperti yang diamalkan orang Cina. Dengan mengatakan demikian ia tidaklah bermakna kita harus mengorbankan prinsip utama Melayu yakni tertib dan berhemah. Namun kita harus bertindak seperti juga pepatah orang Melayu,

Tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berselerak”.

Itulah satu-satunya cara untuk kita bergerak jauh dan maju. Jika tidak, sehingga bilapun kita tak mungkin dapat bergerak dengan iltizam dan ikhtiar sendiri!





[1] Dato’ Seri Nazri Aziz merupakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak.

[2] Beliau merupakan seorang bekas ADUN Selama (1955-1969) dan pernah menjawat jawatan sebagai EXCO Negeri Perak bertanggungjawab dalam hal Tanah & Lombong. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?

PEMIKIRAN KREATIF