Monday 22 November 2010

ALLAHYARHAM TAN SRI DR P RAMLEE


Oleh – Hesmel Faznee Faisal


Salam, kepada para bloggers dan pembaca blog syok sendiri ini.


Rasanya, kebanyakan daripada kita telahpun menonton dokumentari khas Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, yang telah disiarkan di dalam Astro menerusi History, baru-baru ini. Mungkin ramai di antara kita secara tidak sedar, menitiskan airmata mengenangkan nasib yang melanda Allahyarham.


Disisihkan, dihina, malah ditipu oleh orang yang dipercayai beliau, termasuk bangsanya sendiri merupakan antara intipati kehidupan Allahyarham, di saat-saat akhir kehidupan beliau. Pelbagai perkara telah dilakukan oleh beliau, demi untuk memenuhi hasrat beliau untuk memastikan karya Melayu terus kekal dan relevan di mata orang Melayu itu sendiri langsung tidak kecapaian. Hasrat Allahyarham untuk menerbitkan filem Melayu bewarna, menubuhkan syarikat penerbitan filem sendiri malah penubuhan syarikat PERFIMA itu semuanya hancur dan musnah.


Mungkin, petikan sajak Tun Dr Mahathir, Perjuangan Yang Belum Selesai; "Di mana silapnya?" sesuai menggambarkan keadaan dan nasib Allahyarham.


Saya berpendapat, demi untuk menebus kembali maruah Allahyarham, dan secara tidak langsung maruah negara, kerajaan boleh mengambil langkah proaktif dengan membeli karya-karya terbaik Allahyarham daripada syarikat filem Shaw Brothers dan syarikat rakaman EMI. Apalah gunanya kita melaung-laungkan gelaran Seniman Agung dan lain-lain tetapi hakikatnya karya-karya beliau berada di tangan orang asing.


Jika disorot kembali, zaman kejatuhan Allahyarham mula berlaku semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri (sekitar tahun 1970). Dengan berkata demikian, saya tidaklah menuduh Allahyarham Tun Razak punca kejatuhan Tan Sri P. Ramlee! Cuma terdetik rasa hairan, mengapakah kerajaan pada masa itu tidak mengambil sebarang tindakan untuk memastikan Allahyarham mendapat tempat di industry hiburan tempatan? RTM, misalannya boleh memberikan satu slot program TV untuk Allahyarham.

Sekarang, anak Allahyarham Tun Razak, Dato' Sri Mohd Najib pula menjadi Perdana Menteri. Mungkin Dato' Sri Najib boleh mengambil tindakan wajar untuk memastikan legasi Tan Sri P. Ramlee terbela. Ini termasuklah memastikan karya-karya Allahyarham itu dibeli oleh Kerajaan. Harus diingat, karya-karya Allahyarham itu sama pentingnya dengan karya-karya Munsyi Abdullah dan lain-lain penulisan. Mereka adalah perakam masa kepada apa yang berlaku pada waktu itu.


Secara peribadi, saya mula merasa muak, jelek dan bosan menonton filem Tan Sri P. Ramlee, apabila ia dimainkan di dalam upacara mengenang Allahyarham di kaca tv. Semuanya hambar. Tiada pembaharuan! Seandainya karya-karya Allahyarham itu menjadi milik kita, pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengelokkan kembali filem tersebut, termasuklah melakukan "digital editing" dan memasukkan warna ke dalam filem tersebut.

Selain daripada itu, kita boleh menerbitkan kembali filem-filem terbaik arahan beliau ke layar perak, apabila proses digital editing itu dilakukan. Pelbagai cara dan langkah yang boleh dilakukan seandainya filem-filem beliau menjadi hakmilik kita. Hasil daripada kutipan tiket-tiket itu bolehlah digunakan untuk menubuhkan Yayasan Tan Sri P. Ramlee atau research centre yang melakukan penyelidikan di dalam karya-karya Allahyarham, berdasarkan kepada aspek budaya dan social!


Ini tidaklah bermaksud kita mengambil kesempatan ke atas karya beliau, namun menjadikan filem itu tahan lebih lama untuk tatapan anak cucu kita di masa hadapan!

Janganlah kita hanya bersedih, termenung dan mengeluh mengenang nasib Allahyarham selepas kita menonton dokumentari di rangkaian History itu. Tiada gunanya mengenangkan nasib yang telah berlaku ke atas Allahyarham. Seperti kata pepatah, nasi sudah menjadi bubur.


Rasanya, masih tidak lambat untuk kita memiliki semula karya-karya Allahyarham daripada syarikat filem dan rakaman itu. Semakin lama kita menunggu, semakin tinggilah harga untuk kita membeli semula catalog-katalog filem dan lagu-lagu ciptaan Allahyarham. Seperti yang dinyatakan oleh syarikat Shaw Brothers kepada Allahyarham Nasir P. Ramlee, apabila beliau cuba untuk bertanya berkenaan royalty filem-filem Allahyarham bapanya, "Itu semua, kita orang punya…"


Tidakkah kita merasakan yang maruah seorang seniman itu dihenyak ke bawah? Apakah itu bukan menunjukkan seolah-olah Allahyarham persis lembu punya susu, sapi dapat nama?

Masih tidak terlambat untuk mengambil tindakan sewajarnya.


Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...