Tuesday 22 June 2010

ROBOHNYA MONUMEN MORAL

Oleh – Hesmel Faznee Faisal

Salam, kepada para blogger dan pembaca setia blog syok sendiri ini!

Manusia kadangkala suka atau selesa untuk hidup dalam kenangan. Namun tak ramai yang mempelajari apa-apa daripada kenangan yang pernah dilaluinya. Ada yang lebih selesa untuk terus mengenang kembali sejarah yang telah berlalu namun gagal untuk mengaplikasikan apa-apa yang berlaku sebelum ini.

Seperti juga dengan Penjara Pudu, yang nampaknya akan hanya menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah hitam negara. Ianya akan lesap kelak dan apa yang tinggal hanyalah kisah-kisah mengenai penjenayah seperti Botak Chin yang menemui ajal di tali gantung di Penjara Pudu tersebut di dalam blog ataupun akhbar, tanpa orang ramai berpeluang melihat bangunan itu sendiri!

Ramai yang tidak bersetuju penjara ini dirobohkan. Namun tak kurang juga yang bersetuju Penjara penuh misteri ini ditutup dan dirobohkan.

Penjara Pudu, bagi saya bukan sekadar satu monumen bersejarah. Ianya lambang signifikan kepada pemulihan akhlak penjenayah untuk kembali menjadi orang yang berguna selepas dibebaskan dari penjara. Bukan semata-mata kerana hendak bersikap sentimental dan mengenang kembali kesalahan para penjenayah yang pernah mengikuti “pengajian” mereka di dalam Penjara tersebut.

Sebaliknya ianya perlu dijadikan monumen, setaraf Muzium Polis dan lain-lain sebagai satu tanda peringatan kepada orang ramai supaya jangan melakukan kesalahan kerana jika tidak mereka akan “disumbat” ke dalam penjara!

Sewajarnya ianya dibangunkan untuk menjadi satu institusi sejarah (dengan erti kata lain, sebuah muzium Jose!) yang menyimpan dan merekodkan kisah-kisah jenayah lampau, supaya masyarakat sekarang dapat mengambil iktibar dan mengenang kembali kesilapan orang dahulu kala.

Pengorbanan demi pembangunan perlu dilakukan tetapi dengan tindakan merobohkan penjara Pudu dan mendirikan sebuah pusat komersial persis menambahkan lagi masalah yang sedia ada.

Di dalam keadaan Kuala Lumpur yang sesak dengan orang ramai serta penjenayah dan penyangak kolar putih berlegar di sana sini, Penjara Pudu itu perlu dibangunkan semula menjadi sebuah institusi sejarah yang mengingatkan kembali orang ramai tentang cause and effect seandainya mereka terlibat di dalam jenayah.

Namun, saya sedar dan insaf, suara saya di dalam blog syok sendiri ini tidak mungkin didengari oleh orang ramai, apatah lagi Kerajaan memandangkan saya hanyalah pemilik blog terpencil di kalangan berjuta blog lain yang wujud di Malaysia!

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection.



No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...