Thursday 25 February 2010

CSR DAN KASIH SAYANG

Oleh - Hesmel Faznee Faisal

Salam, kepada para blogger dan pembaca blog syok sendiri ini!

CSR (Corporate Social Responsibility) atau lebih tepat Tanggungjawab Sosial Korporat merupakan satu kegiatan amal yang lazimnya dijalankan oleh syarikat korporat bertujuan untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Ianya merupakan satu bentuk “pembayaran” zakat secara terus kepada golongan sasar, tanpa perlu melalui Pusat Pungutan Zakat yang penuh dengan “pita merah” dan kerenah birokrasi yang merunsingkan!

Syarikat-syarikat besar tempatan seperti Petronas, Proton, Media Prima Berhad (sounds familiar Jose!) dan beberapa lagi syarikat besar lain sering melakukan aktiviti CSR ini, secara langsung mahupun tidak langsung.

Jika dilihat pada definisi tanggungjawab social korporat ini, ianya mempunyai beberapa definisi. Tanggungjawab social korporat ini dikaitkan dengan menjalankan sebuah perniagaan berdasarkan kepada perlakuan yang berkaitan dengan nilai etika dan sejajar dengan keperluan sah. Yang paling penting ialah menunjukkan perasaan hormat kepada masyarakat, alam sekitar dan manusia. Selain daripada itu, ia juga dikaitkan sebagai pemasaran berdasarkan tujuan untuk menjalinkan satu persefahaman yang berpanjangan dan strategic antara perniagaan dengan kumpulan NGO untuk membentuk pemasaran berdasarkan imej, produk, perkhidmatan dan sebagainya (Ogilvy:2006).

Apa yang menjadi persoalan ialah sejauh manakah kesan CSR ini terhadap masyarakat? Apakah masyarakat benar-benar peka dan menghayati serta insaf terhadap golongan yang memerlukan ini? Golongan anak-anak yatim piatu sering dibantu oleh pihak Korporat dari sudut kewangan dan tempat tinggal. Ada yang menerima pembiayaan sehingga melanjutkan pelajaran ke menara gading (it’s damn high up here, Jose!) dan berjaya menjadi orang! Namun, saya agak runsing dan bimbang dengan lambakan rumah-rumah kebajikan yang berdaftar dan tidak berdaftar di Malaysia. Kerunsingan saya bukanlah bererti menidakkan kewujudan mereka.

Sebaliknya bimbang kerana andainya sebuah rumah mempunyai 120 orang penghuni dan diandaikan 10-20 orang itu terdiri daripada kanak-kanak kecil. Bagaimanakah agaknya jika di Malaysia mempunyai sekurang-kurangnya 60 rumah kebajikan? Setidak-tidaknya 1200 kanak-kanak kecil ini tidak mendapat perhatian daripada ibubapa kandung atau kasih sayang yang sewajarnya. Apabila mereka besar, sudah pasti pembentukan emosi mereka berbeda daripada kanak-kanak yang mempunyai ibubapa. Perbezaan di antara kanak-kanak yang menerima kasih sayang daripada ibu-bapa berbeza dengan mereka yang tidak mempunyai ibu-bapa.

Saya rasa tidak ramai walaupun ada segelintir yang sanggup meneruskan kegiatan CSR melalui aktiviti amal berbentuk sumbangan “kasih sayang” dan tidak hanya tertumpu kepada memberi sumbangan wang tunai dan material sahaja. Saya tidak menafikan, ada di antara rumah-rumah kebajikan ini mempunyai masalah meneruskan operasi harian mereka, disebabkan oleh masalah kewangan namun ianya tidak terhenti di situ sahaja.

Ada yang mempunyai masalah penempatan dan terpaksa menyewa dan ada juga yang dihalau keluar kerana tidak mampu lagi membayar sewa tempat kediaman. Saya rasa perkara ini dapat diatasi seandainya kerajaan mampu mewujudkan satu mekanisme yang sistematik terutamanya yang berkaitan dengan pemberian zakat kepada golongan yang benar-benar memerlukan. Saya bimbang, andainya Rm10 diterima daripada pembayar zakat, hanya RM2 sahaja yang diberikan kepada penerima yang layak. Selainnya, Wallahhualam!

Harapan saya, moga tahun-tahun yang mendatang terutamanya menjelang tahun 2020 masyarakat Malaysia akan cenderung kepada perasaan kasih sayang antara satu sama lain. Bagi saya, konsep 1 Malaysia (Jose, dengan mengatakan ini ia bukan satu bentuk bodek!) merupakan satu usaha ke arah memupuk perasaan sayang dan hormat antara satu sama lain. Kasih sayang itu lebih mahal daripada sekeping cek bernilai RM10 ribu!

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...