TUDUNG RM500


Oleh - Hesmel Faznee Faisal

Salam, kepada para bloggers dan pembaca blog Bacalah.


Saya tak tahu apa yang hendak dikatakan.

Tak pasti samada hendak tersenyum, tertawa, menangis mahupun mempersoalkan dengan lebih dalam, tindakan yang diambil oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) baru-baru ini.

Saya mungkin agak naive tentang Islam, tetapi ini tidak menghalang saya dari mempersoalkan pihak yang berkuasa mengambil tindakan yang menggunakan Islam sebagai alasan! Apakah dengan menyaman atau menggunakan undang-undang sebegini, kegiatan moral akan dapat diatasi? Apakah dengan ini, sebuah negara Islam yang adil akan terbentuk?

Saya bersetuju tindakan perlu diambil kepada mereka yang berpakaian menjolok mata terutamanya kepada mereka yang beragama Islam, tetapi apakah pendekatan menyaman RM500 itu dikira wajar untuk mendidik mereka berpakaian sopan? Ini terutamanya kepada para peniaga yang rata-ratanya mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Perlu diingat, RM500 itu satu jumlah yang besar!

Adakah dengan mengenakan saman sebegini, mereka akan insaf dan pihak berkuasa akan merasa yakin, yang kesalahan ini tidak akan berulang lagi? Bagi saya, ianya hanya akan berkesan untuk beberapa waktu, tetapi percayalah ianya akan berulang lagi.

Apa yang penting ialah mereka perlu diberikan pengetahuan tentang pentingnya berpakaian sopan dan menjaga adab. Bukanlah niat saya hendak bersikap bias, tetapi kebanyakan daripada gejala sosial yang timbul di Kuala Lumpur ini melibatkan golongan mereka yang datangnya dari kawasan Pantai Timur.

Andaian saya, ini sekadar andaian, mereka mungkin merasa tertekan di tempat sendiri dan akhirnya mereka bertindak membawa diri, mencari rezeki di Kuala Lumpur. Mungkin kita tidak sedar (atau pura-pura sedar, Jose!) Kebanyakan golongan peniaga yang berjaya di Kuala Lumpur ini berasal dari Pantai Timur. Ini secara tidak langsung mendatangkan kerugian kepada negeri mereka sendiri dari segi hasil kutipan sewa tapak gerai dan sebagainya.

Seandainya mereka ini bertindak kembali semula ke negeri masing-masing, nescaya Kuala Lumpur ini hanya akan dipenuhi oleh peniaga dari seberang sana sahaja (If you know what I meant, Jose!).

Saya berpendapat, sebelum kerajaan negeri tersebut ingin melaksanakan pendekatan Islam, mereka harus bertanya, Islam bagaimanakah yang hendak dijadikan contoh pendekatan tersebut? Adakah Islam 1400 tahun yang lalu, atau Islam zaman sekarang?

Pendekatan ini penting kerana ia akan menentukan halatuju umat Islam itu sendiri. Adakah kita mahu meletakkan Islam di persepsi yang paling rendah atau ingin melihat Islam sebagai satu cara hidup yang diredhai Tuhan?



Kadangkala, semakin ingin kita mendekati Tuhan, semakin jauh kita daripadaNya!

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu - The Salam Connection.





Ulasan

Fazli Salleh berkata…
Mungkin pendekatan ini kurang sesuai tetapi jika diamati saat ini, inilah cara terbaik.

Seperti orang yang tiada lesen memandu didenda RM300, tiada orang komplen? Mungkin ini bagi mempercepatkan tertubuhnya Negeri Islam Kelantan.

Tetapi saya terkilan dengan ayat saudara, iaitu, "Kadangkala, semakin ingin kita mendekati Tuhan, semakin jauh kita daripadaNya!"

Kerana, sekurang-kurangnya kita berniat untuk dekat denganNya berbanding tidak ingat langsung kepadaNya. Itu lebih baik.
The Eugenist berkata…
Saudara Fazli,

Perlu diingat, pendekatan Islam itu perlulah ikhlas, bukan kerana berlandaskan politik semata-mata.

Terdapat banyak cara yang boleh digunakan untuk mendidik terutamanya berkaitan agama.

Sebenarnya, apa yang saya perkatakan di akhir tulisan itu sejajar dengan apa yang telah disebut di dalam Quran;


Antara undang-undang yang berkaitan dengan sivil, jauh sekali bezanya jika hendak disamakan dengan undang2 berkaitan akidah mahupun agama masing2.

Seperti juga contoh penganut kepercayaan Al-Arqam, undang2 sivil telah dikenakan kepada mereka dengan mengenakan tahanan ISA dan sebagainya. Mereka masih lagi percaya Abuya itu sebagai berada di jalan yang benar.

Seperti konteks ini, kesedaran berdasarkan kepada Al-Quran mengenai pentingnya memakai pakaian sopan seperti dalam surah An-Nur 32 dan sebagainya.

Apa yang cuba hendak saya nyatakan di akhir tulisan ialah, kita perlulah kembali kepada Quran.
Zanie berkata…
Sebagai pemimpin anda wajib memastikan muslim di negeri anda mengamalkan suruhan Allah. Ada banyak kaedah tetapi hendaklah dilaksanakann dalam menentukan ajaran Allah s.w.t ini dipraktikkan. Cerita di Kuala Lumpur itu cerita lain..itu alasan yang sangat dangkal dan tiada asas langsung. Samalah macam mengatakan jika diharamkan cabutan nombor ekor di Kelantan, rakyat akan berduyun-duyun ke Thailand mencabut nombor ekor!Soalnya, berapa orangkah yang telah menyeberang ke Sungai Golok semata-mata hendak mencabut nombor ekor? Awak ada statistikkah menyatakan rakyat pantai timur yang berada di KL melepaskan geram dengan melakukan maksiat kerana tidak berupaya melakukannya di tempat sendiri?

Memanglah denda tidak bertudung nampak seperti zalim tapi hikmahnya sangat besar yang kita tidak nampak. Wanita yang bertudung mendedahkan aurat,akan disiksa di akhirat kelak, lelaki bukan muhrim yang memandang juga berdosa..dosa free jika terpesona dengan kecantikan mahkota wanita itu..bukankah rambut itu mahkota wanita?

Walaupun saya juga wanita, saya redha dengan dendaan itu kerana saya tidak mahu anak perempuan saya dan saudara-saudara saya digantung rambutnya di neraka semata-mata kerana mendedahkan aurat!

Ingat janji Allah itu benar!
The Eugenist berkata…
Salam..

Maaf kerana menyangka saudari ini lelaki. Ada beberapa poin yang hendak saya terangkan di sini.

-Isu rakyat Pantai Timur melakukan kesalahan di luar dari negeri ini, walaupun bukan semua tetapi segelintir yang melakukannya. Disebabkan jumlah mereka ini terlalu ramai maka tidak dapat tidak, ia menjadi terlalu jelas dan nyata. Mungkin saya berfikiran dangkal tetapi jika diselidiki tidak sedikit yang terlibat di dalam gejala kurang bermoral ini. Bukanlah bererti penduduk negeri lain tidak terlibat, tetapi hakikatnya jumlah mereka yang datang dari Pantai Timur ini lebih tinggi dari negeri lain.

- Soal denda tidak bertudung ini, bagi saya ada satu tindakan politik, tidak lebih dari itu. Saudari boleh menuduh saya sekular dan sebagainya tetapi hakikatnya cara tersebut tidak akan mendatangkan kesan. Cara yang terbaik ialah memberikan didikan dan sebagainya. Kesedaran itu penting mengenai mengapa seorang wanita itu harus berpakaian sopan.

-Soal denda itu, sememangnya tidak memberikan sebarang impak dari segi keinsafan kerana mereka mungkin akan merasa kesal buat seketika namun selepas itu mereka akan kembali kepada hakikat asal (berpakaian sedemikian). Saya lebih selesa jika kerajaan negeri mengambil inisiatif mendekati golongan ini dengan cara yang berhemah dan mendidik mereka mengenai ketakwaan kerana itu ada sebaik-baik seperti yang disebut di dalam surah 7:26.

-Saudari, berhubung poin akhir saudari, saya syorkan saudari cari ayat-ayat yang berhubung dengan menutup aurat, seperti di dalam surah Al-Ahzab, Al-Aaraf dan An-Nur.

Allah menghapuskan, dan Dia menetapkan apa sahaja yang Dia mengkehendaki; dan di sisi-Nya ialah Ibu Kitab. (13:39)

Wallahualam..

Catatan popular daripada blog ini

MENANGGUK DI AIR YANG KERUH

APAKAH AVM DAN BENARKAH ANDA HANYA MENGALAMI MIGRAIN?

PEMIKIRAN KREATIF