Wednesday 4 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN 2

Selepas selesai ibadah-ibadah yang wajib, sunat dan harus dilakukan penulis mengunjungi pula Jannatul Baqi. Ia adalah sebuah kawasan perkuburan penduduk Madinah dari zaman Nabi Muhammad hingga sekarang. Menurut beberapa buku yang penulis sempat baca (Jose, itupun baca sebab nak menulis! Typical Malay barangkali?) kebanyakan putera-putera dan puteri Nabi Muhammad dimakamkan di sini. Begitu juga sebahagian daripada para sahabatya.

Agak menarik di sini ialah kebanyakan wanita akan meratap dan meraung di hadapan pagar masjid ini. Mereka tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan ini dan mereka hanya dibenarkan berdiri di luar kawasan tanah perkuburan ini saja.

Penulis dapat melihat, mereka (José, kebanyakannya adalah fahaman ajaran Syiah) meraung-raung dan menangis dengan kuatnya! Ini mengingatkan penulis kepada wanita-wanita di Palestin. Mereka begitu meratapi dan meraung kematian para syuhada yang mati “syahid” mempertahankan tanahair mereka dari pencerobohan kaum Zionis (José, setengah orang cakap laknatullah!)

Apa yang dapat penulis perhatikan ialah askar-askar (baca polis) yang mengawal di situ cukup tegas di dalam mengawal kawasan Jannatul Baqi. Mereka tidak mengizinkan wanita-wanita ini memasuki kawasan tersebut. Cukup sekadar meratap dan meraung di luar sahaja!

Sebenarnya sepanjang penulis berada di Madinah, penulis banyak melakukan amal ibadat (José, ini benar dan penulis bukan angkat diri!) dan tidak banyak catitan yang boleh dituliskan kecuali apa yang mampu dan yang terlintas di fikiran sahaja.

Selepas berjalan-jalan di kawasan itu dan mengambil gambar (José, tidak benar mengambil gambar di situ!) penulis kembali ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat (José, dirikanlah solat sebanyak yang boleh semasa berada di Masjid Nabawi) sunat dan dalam masa yang sama melawat Masjid Nabawi ini. Struktur asalnya telah dibina oleh Nabi Muhammad sendiri. Di sinilah juga letaknya Makam Nabi bersama dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar dan Umar. Bangunan tersebut telah banyak diubahsuaikan dan hanya kubahnya sahajalah yang merupakan struktur binaan asal yang tinggal.

Penulis kagum dengan binaan berkonsepkan Moorish yang diterapkan di dalam rekaan bangunan masjid ini. Namun, timbul pula persoalan. Mereka (baca kerajaan Arab Saudi) sanggup menghiaskan pintu-pintu Masjid Madinah ini dengan emas (José, betul!) tetapi tidak sanggup untuk membantu saudara-saudara mereka seagama di Lebanon, Palestin dan banyak lagi termasuk di rantau-rantau Afrika yang mempunyai penduduk beragama Islam.

Penulis ingin berkongsi dengan pembaca blog Bacalah (José, itupun jika ada!) tentang sejarah Arab Saudi ini.

Sejarah negeri Saudi bermula di sekitar 1750. Seorang pemerintah tempatan, Muhammad bin Saud, bergabung dengan seorang reformis Islam, Muhammad ibn Abd al Wahhab, untuk mencipta satu entiti politik baru. Untuk 150 tahun berikutnya, nasib keluarga Saud ini naik dan turun kerana terpaksa bertanding dengan Mesir, empayar Uthmaniyah dan keluarga Arab lain untuk menguasai Semenanjung Arab. Negeri Saudi moden ditubuhkan oleh Raja Abdul Aziz Al-Saud.

Pada 1902, Abdul Aziz Ibn Saud telah menawan Riyadh, ibu negeri dinasti Al-Saud dahulu kala, daripada pesaingnya keluarga Al-Rashid. Kemudian Abdul Aziz menawan pula Al-Ahsa, Nejd, dan Hijaz antara 1913 dan 1926. Pada 8 Januari 1926, Abdul Aziz Ibn Saud menjadi Raja Hijaz. Kemudian pada 29 Januari 1927, beliau mengambil gelaran Raja Nejd. Melalui Perjanjian Jeddah pada 20 Mei 1927, United Kingdom telah mengiktiraf kemerdekaan kerajaan beliau, Kerajaan Hijaz dan Nejd. Pada 1932, kawasan ini disatukan menjadi Kerajaan Arab Saudi. Penemuan minyak pada 3 Mac 1938 telah mengubah keadaan ekonomi negara ini, dan telah membuatkan banyak negara mengiktirafnya.

Krisis minyak pada pertengahan 70an menunjukkan betapa berkuasanya Arab Saudi dan OPEC dalam ekonomi dunia. Namun pencerobohan Iraq keatas kerajaan Kuwait pada 1990, telah memberi peluang kepada negara barat terutamanya Amerika Syarikat untuk bertapak di Timur Tengah. Akibat pencerobohan ini, negara barat di bawah pimpinan Presiden George Bush telah bertindakbalas dengan melancarkan Operasi "Desert Storm".

Kerajaan Arab Saudi terpaksa membenarkan tentera dari Amerika Syarikat untuk membuat penempatan dibumi Arab. Kehadiran tentera asing di negara ini telah mencetuskan ketegangan di antara keluarga diraja dengan rakyatnya. Beberapa serangan pengganas telah dilancarkan pada Mei dan November 2003.

Disebabkan itulah berlaku sedikit kekecohan apabila Kerajaan Arab Saudi membenarkan tentera asing (baca tentera penceroboh) berlabuh di sana. Ia persis membenarkan tentera penceroboh ini menyerang negara Islam yang lain. Secara tidak langsung juga ia persis membunuh saudara seagama sendiri.

Penulis mendapat banyak khabar dan cerita-cerita daripada penduduk-penduduk di Madinah dan juga di Mekah. Ramai yang berpendapat kerajaan Arab Saudi terlalu mengikut telunjuk Amerika sehingga setiap tindak tanduk yang hendak diambil mereka perlu mendapat kebenaran dan persetujuan daripada Amerika sendiri. Penulis berharap Malaysia tidak akan menjadi seperti Arab Saudi. Semasa penulis berada di sini, ramai tetamu Tuhan di sini merasa bangga apabila penulis memberitahu mereka penulis berasal dari Malaysia.

Mereka berpendapat Malaysia adalah sebuah negara Islam yang bagus dan kuat. Malaysia adalah salah satu negara yang lantang mengutuk kekejaman Israel dan juga memperjuangkan nasib negara-negara Islam yang tertindas seperti Bosnia dan Palestin, antaranya.

Tetapi apabila penulis bertanya tentang Malaysia sekarang, rata-rata tidak tahu dan mengenali Perdana Menteri sekarang kerana sumbangannya terhadap negara Islam seakan-akan tidak ada dan tidak berkesan langsung. Mengapakah agaknya perkara ini berlaku?

Bersambung...

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...