Thursday 12 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN 5

Oleh – Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Destinasi penulis seterusnya ialah ke Masjid Qiblatain, iaitu masjid di mana Nabi Muhammad menerima wahyu untuk mengubah arah kiblat dari Masjidil Aqsa di Palestin ke Masjidil Haram di Mekah.

Penulis sempat menunaikan solat sunat seperti hajat, Dhuha dan solat tahyatul masjid sahaja, kerana penulis sampai di situ pada sekitar pukul 8 pagi. Masjid ini terletak di sebelah barat laut Masjid Nabawi dan jaraknya adalah di antara 4 Km di antara masjid tersebut. Rekabentuknya dihiasi dengan dua menara berwarna putih. Pada asalnya masjid tersebut lebih dikenali dengan nama masjid Bani Salamah.

Masjid Qiblatain ini terletak di tepi jalan menuju ke arah kampus Universiti Madinah, berhampiran dengan Istana Raja Wadi Aqiq. Sewaktu Islam mula-mula berkembang, orang Muslim telah melakukan salat dengan menghadap kiblat ke arah Baitul Maqdis di Yerussalem/Palestina. Sewaktu Rasulullah sedang melaksanakan solat zuhur di masjid Bani Salamah ini, turunlah wahyu surat 2:144 -

Kami melihat kamu membalik-balikkan wajah (muka) kamu ke langit; sungguh Kami akan memalingkan kamu kepada kiblat yang kamu berpuas hati. Maka palingkanlah muka kamu ke arah Masjidil Haram (Masjid Suci); dan di mana sahaja kamu berada, palingkanlah muka kamu ke arahnya. Orang-orang yang diberi al-Kitab mengetahui bahawa itu adalah yang benar daripada Pemelihara mereka; Allah tidak lalai daripada apa yang mereka mengerjakan

Apa yang dapat penulis lihat dan amati di sekitar kawasan masjid ini ialah suasananya. Di mana ada pelancong, di situlah juga ada para peniaga yang berjual-beli di sekitar kawasan masjid tersebut. Ada yang merayu-rayu para pelancong untuk membeli barangan mereka. Malah ada yang terus memaksa-maksa.

Penulis tidak faham apa yang sebenarnya dilakukan untuk menghalang mereka dari terus “memperdagangkan” barangan mereka di Masjid Qiblatain ini. Selain daripada itu, penulis dapat perhatikan di sini, manusia bertumpukan diri mereka untuk beribadat dan juga memperdekatkan diri mereka kepada Tuhan.

Setelah berada di sini hampir 20 minit dan selepas penulis mengerjakan solat yang patut, kami semua dibawa pula ke Kompleks Percetakan Al-Quran Raja Fahd yang terletak di Madinah Munawwarah. Penulis berada di sini hanya untuk beberapa ketika sahaja kerana kami sebenarnya dibawa untuk melihat secara sekali imbas (José, bukan macam scanner ok?) cara-cara al-Quran itu dibuat dan dicetak.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Fahd telah meletakkan batu pertama, tanda bermulanya pembinaan kilang itu oleh pada tahun 1982. Selepas hampir 2 tahun, kilang itu telah dibuka secara rasminya pada September 1984. Semasa merasmikan kompleks tersebut, Raja Fahd telah berkata :-

Dua tahun yang lalu beta berada di tempat ini untuk meletakkan batu pertama projek besar ini, dan di kota ini yang merupakan kota termulia, suatu kota yang penduduknya bersukacita atas kedatangan Rasulullah saw., sehingga menjadi penolong terbaik bagi beliau dalam menghadapi masalah-masalah sulit, dan suatu kota yang merupakan titik tolak perjalanan dakwah kebaikan dan keberkatan ke seluruh dunia. Pada hari ini,beta mendapatkan bahwa yang kemarin hanya sebuah mimpi, menjadi kenyataan dalam paras yang terbaik. Maka dari itu, setiap penduduk Kerajaan Arab Saudi wajib bersyukur kepada Allah atas karunia yang besar ini. Beta berharap semoga Allah membuat beta berhasil dalam melakukan pengabdian kepada agama, dan negara beta, serta seluruh kaum Muslimin. Hanya dari Allah beta mengharapkan keberhasilan..”

Penulis berjaya mendapat sedikit maklumat tentang struktur kilang tersebut. Tujuan Kompleks Raja Fahd ialah untuk, mencetak Kitab Suci Alquran dalam berbagai riwayat yang masyhur, di dunia Islam dan merekodkan bacaan Kitab Suci Al-Quran dalam berbagai riwayat yang masyhur, di dunia Islam.

Alquran itu merupakan firman Nya. Muncul dari zat-Nya dalam bentuk perkataan yang tidak dapat digambarkan. Diturunkan kepada Rasul-Nya dalam bentuk wahyu. Orang-orang mukmin mengimaninya dengan keimanan yang sebenar-benarnya. Mereka beriman tanpa keraguan, bahwa Alquran adalah firman Allah dengan sebenarnya. Bukan ciptaan-Nya, seperti layaknya perkataan makhluk, barang siapa mendengarnya dan menganggap sebagai perkataan manusia, maka ia telah kafir.

Tuhan memberikan sifat kepadanya, sebagaimana disebutkan dalam firman-Nya:

"Dan sesungguhnya Alquran itu adalah kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya (Alquran) kebatilan baik dari depan maupun dari belakangnya, yang diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji". (Fushshilat: 41-42) Di dalam ayat yang lain Allah juga mensifatinya dengan firman-Nya: "(inilah) suatu kitab yang ayat-ayatnya disusun dengan rapi serta dijelaskan secara terperinci yang diturunkan dari sisi (Allah) yang Maha Bijaksana lagi Maha Tahu". (Huud: 1).

Sungguh ayat-ayat Alquran ini sangat cermat dan teliti, jelas dan terperinci, yang telah ditetapkan oleh yang Maha Bijaksana, dan yang telah diuraikan oleh yang Maha Tahu. Kitab ini akan terus menjadi mukjizat dari segi keindahan bahasa, syariat, ilmu pengetahuan, sejarah dan lain sebagainya. Sampai Tuhan mengambil kembali bumi dan yang ada di dalamnya, tidak akan terdapat sedikitpun penyelewengan dan perobahan terhadapnya, sebagai bukti akan kebenaran firman Nya:

"Sesungguhnya Kami-lah yang menurunkan Alquran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya". (Al-Hijr: 9).

Dunia secara keseluruhan belum pernah memperoleh sebuah kitab seperti Al Quran yang mulia ini, yang mencakupi segala kebaikan, dan memberi petunjuk kepada jalan yang paling lurus, serta mencakupi semua hal yang akan membahagiakan manusia. Allah berfirman:

"Sesungguhnya Alquran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi kabar gembira kepada orang-orang Mukmin yang mengerjakan amal saleh bahwa bagi mereka ada pahala yang besar". (Al-Israa': 9).

Al-Quran ini diturunkan kepada Rasul-Nya, Muhammad saw. untuk menyelamatkan manusia dari kegelapan, menuju cahaya. Tuhan berfirman:

"(Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gulita kepada cahaya terang benderang dengan izin Tuhan mereka, (yaitu) menuju jalan Tuhan Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji". (Ibrahim: 1).

Dengan Al-Quran, Dia telah membukakan mata yang buta, telinga yang tuli dan hati yang lalai. Bila dibaca dengan benar, dipahami setiap surat dan ayat-ayatnya, dipahami secara mendalam setiap kalimat dan kata-katanya, tidak keluar dari batas-batasnya, melaksanakan perintah-perintah yang ada di dalamnya, menjauhi larangan-larangan, berakhlak dengan apa yang disyariatkan, dan menerapkan prinsip-prinsip dan nilai terhadap dirinya, keluarga dan masyarakatnya, maka akan menjadikan umat Islam merasa aman, tenteram dan bahagia di dunia dan akhirat. Seperti firmanNya dalam surah 2:121 -

"Orang-orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya".

Sebelum pulang, semua pelawat lelaki diberikan sebuah tafsir al-Quran ikhsan daripada kilang tersebut. Hanya pelawat lelaki sahaja yang dibenarkan untuk memasuki kilang percetakan ini. Ini kerana kaum wanita dikhuatiri dilewati oleh darah-darah yang tidak dingini (José, sendiri mau fikirkan!). Kami (kaum-kaum lelaki) beredar dari tempat tersebut dengan gembira kerana masing-masing mendapat tafsir yang cukup indah pembuatannya!

Namun demikian, di dalam keindahan sesebuah al-Quran itu, umat Islam (baca orang Arab) masih lagi terkebelakang, terutamanya di sesetengah negara Arab yang masih dibelenggu oleh negara Amerika dan juga negara Barat yang lain. Apa yang paling nyata dan jelas ialah, mengapakah walaupun al-Quran itu diturunkan di dalam bahasa Arab, ia masih tidak dipraktikkan dan difahami oleh orang Islam khususnya orang Arab itu sendiri? Mengapakah perkara ini berlaku? Sepanjang perjalanan penulis dari kilang tersebut ke hotel penginapan, itulah yang penulis fikirkan.

Sebenarnya al-Quran itu telah sempurna ayat-ayatnya dan ianya juga telah sempurna diturunkan. Apa yang perlu dilakukan ialah memahami ayat-ayat yang terkandung di dalamnya. Dan bukanlah sekadar melagukannya dan mengadakan akademi membaca al-Quran ataupun mengadakan pertandingan membaca al-Quran yang secara peribadi penulis mengumpamakannya persis mencari juara melagukan al-Quran! Apakah bezanya antara Juara Lagu dan pertandingan Musabaqah Al-Quran ini?

Bersambung...

Friday 6 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN 4

Oleh – Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Penulis akhirnya sampai ke Masjid Quba. Masjid ini terletak di Kota Madinah kira-kira dua batu daripada Masjid Nabawi. Masjid ini diasaskan oleh Nabi Muhammad sebelum Baginda tiba di Madinah melakukan berhijrah dari Makkah. Masjid Quba kemudian disiapkan oleh sahabat beliau. Rasulullah menghabiskan masa selama 20 malam (José, selepas hijrah) di samping bersembahyang dan beribadah kepada Allah s.w.t..

Rumah Saidina Ali terletak di belakang Masjid Quba dan menurut cerita, Nabi Muhammad akan mendirikan solat sunat sementera menunggu Saidina Ali. Masjid Quba adalah antara masjid paling suci di antara penganut agama Islam, dan mengikut turutannya ialah Masjid-al-Haram (Makkah), Masjid Nabawi (Madinah), Masjid-al-Aqsa (Baitulmuqaddis) dan Masjid Quba (Madinah) Masjid Quba disebut di dalam Al-Quran sebagai masjid yang dibangunkan di atas Taqwa, di dalam surah 9:108-09

Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin) [9:108]

Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar takwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya ke dalam api Neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayat petunjuk kepada orang-orang yang zalim [9:109]

Berdasarkan kepada cerita-cerita yang penulis dapat, Nabi Muhammad kerap mengunjungi Masjid Quba dan menunaikan solat sunat. Beliau juga pernah berkunjung ke Quba' dengan menunggang binatang tunggangan dan juga berjalan kaki.

Masjid Quba telah siap dibina semula dalam tahun 1986. Kerajaan Arab Saudi telah meminta Abdel-Wahed El-Wakil, seorang arkitek Mesir untuk membina semula Masjid Quba. Abdel Wahid asalnya hendak mengekalkan struktur masjid yang lama dan digabungkan dengan bangunan baru. Tetapi Kerajaan Arab Saudi berkeras meruntuhkan bangunan Masjid yang lama. Masjid Quba mempunya dewan solat berbentuk segi empat, dengan sebahagian dewan solat ditempat di tingkat dua. Dewan solat disertakan dengan kawasan kediaman petugas masjid, pejabat masjid, bilik wuduk, kedai-kedai dan juga sebuah perpustakaan.

6 buah pintu masuk sebagai tambahan kepada pintu masuk utama di bahagian utara, selatan dan timur masjid ini. Masjid ini mempunyai empat menara, dengan satu menara disetiap penjuru dewan solat. Masjid ini mempunyai kawasan lapang yang boleh dilindungkan dengan bumbung yang boleh dibuka dan ditutup.

Penulis sempat menunaikan solat di situ dan penulis dapat merasakan, keindahannya dan juga membuatkan penulis tenang seketika (José, bukan bererti tempat lain tidak tenang!) Selepas selesai mengadakan lawatan disekitar masjid tersebut, penulis beredar pula untuk meneruskan lawatan ke tapak berlakunya perang Uhud.

Penulis ingin berkongsi dengan pembaca blog Bacalah (José, adak ke pembaca?) tentang perang ini. Peperangan Uhud terkenal dalam sejarah sebagai peperangan yang paling kritikal. Sebanyak 700 pasukan muslimin berhadapan dengan 3,000 pasukan kafir Quraisy yang dipersiapkan dengan perbekalan dan persenjataan serba lengkap. Ia diperkuat pula dengan pasukan wanita di bawah pimpinan Hindun binti 'Utbah, isteri Abu Sufyan bin Harb.

Untuk menghadapi kaum musyrikin yang sudah memusatkan kekuatan di Uhud, pasukan muslimin di bawah pimpinan Rasul Allah. menuju ke tempat itu, dengan memotong jalan, sehingga gunung Uhud berada di belakang mereka. Rasul Allah s.a.w. kemudian mengatur barisan. 50 orang pasukan pemanah ditempatkan pada sebuah lembah di antara dua bukit. Kepada mereka diperintahkan supaya menjaga pasukan yang ada di belakang mereka. Mereka juga telah diberitahu oleh Rasullulah supaya jangan meninggalkan tempat, walau dalam keadaan bagaimanapun. Ini kerana hanya dengan senjata panah sajalah serbuan pasukan berkuda musuh dari belakang dapat ditahan.

Dalam pertempuran ini Hamzah bin Abdul Mutthalib tidak kalah semangat dibanding dengan putera saudaranya sendiri, Imam Ali r.a., dan Abu Dujanah. Hamzah demikian lincah dan tangkas menyerang pasukan musyrikin dan menewaskan tiap orang yang berani mendekat. Ia terkenal sebagai pahlawan besar dalam menghadapi musuh. Sama seperti dalam perang Badr, dalam perang Uhud ini Hamzah benar-benar menjadi singa dan merupakan pedang Allah yang sangat kuat! Banyak musuh yang mati di ujung pedangnya.

Dalam pertempuran antara 700 pasukan muslimin melawan 3000 pastikan musyrikin itu, keberanian Imam Ali r.a., Hamzah dan Abu Dujanah memang terserlah (José, sekarang ada ke pahlawan Islam macam itu?) Mereka merupakan tauladan dan wujud dari kekuatan semangat yang sangat tinggi. Suatu kekuatan yang membuat pasukan Quraiys menderita kehancuran mental, mundur dan surut.

Tiap panji mereka lepas dari tangan pemegangnya dan diganti oleh pemegang panji yang lain, tiap kali itu juga dipangkas habis oleh tiga pahlawan Islam itu. Kepala Thalhah bin Abi Thalhah telah dibelah dua oleh Imam Ali r.a. Semangat pasukan Quraiys sudah patah sama sekali. Pasukan wanita mereka lari menyelamatkan diri (José, perempuan..). Berhala-berhala yang dibawa mereka untuk restu dalam peperangan, jatuh terpelanting. Dalam keadaan masing-masing lari untuk menyelamatkan diri, semua perbekalan yang mereka bawa dari Makkah ditinggalkan.

Banyak barang yang telah ditinggalkan dan semuanya mempunyai nilai yang tinggi! Ini membuatkan pasukan Muslimin lengah dan lupa daratan. Fikiran mereka sudah teralih kepada kekayaan duniawi. Pasukan pemanah yang telah diperintahkan oleh Nabi supaya jangan meninggalkan tempat, walau dalam keadaan apa sekalipun, mulai merasa cemburu melihat rakan mereka yang sedang sibuk mengangkuti barang-barang rampasan. Mereka mula merasa risau kerana bimbang bahagian mereka akan diambil oleh golongan tersebut!

Sebahagian besar pasukan pemanah itu terus meninggalkan lereng gunung untuk ikut mengambil bahagian dalam kesibukan mengumpulkan barang-barang yang ditinggalkan musuh. Pada saat itulah Khalid bin Al Walid, seorang komandan pasukan berkuda Qureiys, mengambil kesempatan untuk menyerbu dari belakang kaum muslimin yang sedang memperebutkan barang rampasan.

Khalid bin Al Walid melancarkan serangan sengit. Bencana berbalik menimpa kaum muslimin. Setelah melihat situasi berubah, orang-orang kafir Quraiys yang lari kembali lagi dan melakukan serangan dahsyat, hingga pasukan muslimin terpaksa melemparkan barang-barang dan senjata rampasan yang baru dikumpulkan. Pada masa itulah, mereka hanya berjuang untuk menyelamatkan diri dari ancaman maut. Keadaan menjadi kucar kacir sehingga mereka tertikam sahabat mereka sendiri!

Perang Uhud benar-benar memberi pelajaran berharga kepada kaum muslimin. Daya tarik keduniaan hampir saja menghancurkan kaum muslimin yang masih pada awal pertumbuhannya. Penulis dapat mengaitkan keadaan tersebut dengan keadaan sekarang. Umat Islam tidak bersatu kerana masing-masing mementingkan kekayaan mereka sendiri!

Sebenarnya, walaupun Nabi Muhammad telah memberikan amaran, mereka tetap engkar, bayangkanlah, jika amaran itu telah diberikan semasa Nabi masih ada dan memimpin peperangan tersebut namun mereka engkar, bayangkanlah pada masa sekarang di mana banyak umat Islam telah membelakangi ajaran Tuhan. Tidak hairanlah jika banyak negara Islam sekarang mudah diperkotak-katikkan oleh negara Barat (José, typical Malay writing!) dan mudah ditindas oleh mereka. Semuanya kerana materialisme dunia!

Bersambung...

Thursday 5 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN 3

Oleh – Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Ada beberapa cerita menarik yang ingin penulis ceritakan, semasa penulis berada di Madinah. Penulis terlupa untuk mencoretkannya (José, mod typical Malay writer!) di dalam ruangan lalu. Penulis sempat berkenalan dengan seorang lelaki Morroco (atau Maghribi) semasa berada di Madinah dan semasa menunaikan solat di Masjid Nabawi.

Ia berlaku secara kebetulan (atau mungkin suratan José!). Penulis amat meminati jubah Morroco yang dipakainya. Ia berbentuk pakaian yang dipakai oleh para hermit (seperti ahli sihir) di zaman Medieval di England dan juga seperti pakaian para ahli Ku Klux Klan! Ia sebuah jubah panjang dan mempunyai hud (bukan! Bukan burung Hud-Hud) kepala yang dipakai semasa panas.

Penulis terus menegurnya dan bertanya di manakah agaknya penulis boleh mendapatkan jubah tersebut. Yang agak melucukan di sini ialah kami seperti itik dan kucing. Ini disebabkan language barrier, (José, kebanyakan Morrocon ini hanya tahu berbahasa Perancis sebagai bahasa asing pengganti English!) kami menggunakan bahasa isyarat sahaja! Amat menarik kerana walaupun dia hanya tahu sedikit sahaja bahasa Inggeris, ia tetap mampu menjadi sebuah perbualan yang make sense!

Penulis ingin menyentuh sikit tentang penggunaan bahasa Inggeris di kalangan negara-negara Arab ini, termasuk di kalangan the Arab League atau Liga Arab (bukan berkaitan dengan liga bolasepak, José!). Liga Arab, ialah sebuah organisasi negera-negara Arab. Matlamat pertubuhan ini ialah mengukuhkan kerjasama ekonomi, sosial, komunikasi, pasport, visa, dan kesihatan.

Ahli-ahli Liga Arab juga dilarang menggunakan kekerasan ke atas satu sama lain. Ibu negara Mesir iaitu Kaherah merupakan ibu pejabat tetap organisasi berkenaan. Tujuh negara membentuk Liga Arab pada 22 Mac 1945 dengan matlamat utamanya untuk berkhidmat untuk kepentingan negara-negara Arab, memastikan persekitaran yang lebih baik, menjamin masa depan kesemua negara-negara Arab dan memenuhi harapan negara-negara Arab.

Morocco adalah salah satu daripada anggota kepada Liga Arab ini. Segelintir daripada mereka (baca orang Arab) berpendapat sesebuah negara Islam itu harus pandai berbahasa Arab kerana bahasa ini juga adalah bahasa yang dipilih Tuhan semasa menurunkan al-Quran. Seperti yang telah Tuhan nyatakan di dalam Quran melalui surah 12:2 :–

Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.”

Namun demikian, mengapakah sehingga kini negara-negara Arab ini masih tidak dapat bersatu? Ini termasuk kepentingan negara Islam di dalam menjalankan pengurusan dinar emas, yang pernah dicadangkan Malaysia satu ketika dahulu?

Ini termasuk serangan Israel ke atas negara Lebanon, pencerobohan ke atas negara Palestin dan banyak lagi. Penulis tiada kuasa untuk membicarakan perkara ini namun penulis hanya mampu mengulas dan memikirkan secara peribadi sahaja. Ayuh kita berbalik semula kepada cerita penulis dan lelaki Morocco ini.

Dia begitu suka dan seronok bertemu dengan penulis. Walaupun kami cuba juga berbicara tentang perkara-perkara berkaitan Islam, di dalam bahasa yang terhad namun masing-masing bersetuju negara-negara Islam sebenarnya tidak bersatu di dalam menghadapi cabaran globalisasi dan juga Islamophobia di kalangan negara Barat!

Mr. Mastour Hameed, sahabat baru penulis dari Morocco yang terkenal dengan negeri Casablanca (juga merupakan satu tajuk filem hebat lakonan Humphrey Bogart dan Ingrid Bergman) ini adalah seorang usahawan besar di tempat beliau. Apa yang menari di sini ialah beliau cukup tertarik dan merasa kagum jika mendapat tahu negara-negara bukan Arab juga turut membaca Quran. Ini kerana rata-rata mereka berpendapat negara-negara bukan Arab lain seperti Malaysia dan sebagainya tidak membaca Quran!

Ironinya ialah kebanyakan daripada negara yang dianggap tidak membaca Quran ini lebih mengaplikasikan ajaran-ajaran Quran daripada negara-negara Arab ini, seperti menolong negara-negara Islam lain yang berada di dalam keadaan susah. Antaranya ialah Malaysia yang sering menghantar tentera pengamannya ke negara yang memerlukan bantuan seperti Bosnia dan juga ke Palestin.

Setelah beberapa hari penulis di sini, penulis dibawa melihat tempat-tempat menarik yang terdapat di sekitar daerah Madinah oleh mutawwif a.k.a tour guide. Tempat pertama yang dilawati ialah Jabal Tsaur, tempat persembunyian Nabi Muhammad bersama sahabat beliau Saidina Abu Bakar. Di sekitar kawasan tersebut, memang penulis tidak nafikan, begitu ramai orang berniaga dan berjualbeli. Penulis sering ditarik-tarik oleh para peniaga supaya membeli barangan mereka.

Dan seperti biasa ada juga “kutu-kutu” yang mengambil kesempatan ke atas pelawat yang melawat di situ. Mereka ialah jurugambar instant cameraman yang mengenakan bayaran hampir 5 Riyal (José, bersamaan RM5.50) bagi setiap gambar yang diambil!

Selepas berkunjung ke situ, penulis dibawa pula ke pasar kurma! Inilah yang paling dinanti-nantikan oleh para pengunjung ke Madinah. Pelbagai bentuk kurma boleh diperolehi, daripada yang asli (José, yang belum diproses! Apa yang kita jamah tiap kali berbuka itu adalah yang telah diproses!) kepada yang diubahsuaikan menjadi coklat dan ada yang disumbat dengan kacang badam.

Di sini juga ada ironinya! Kebanyakan daripada peniaga di sini berasal dari Indonesia, malah mereka juga mahir bertutur di dalam bahasa Arab (José mungkin ini disebabkan ramai orang Arab merasakan Indonesia lebih Islamnya kerana pandai bertutur Arab?) Penulis dapat membuat analisis secara peribadi apabila melihat perkara ini. Iaitu anda mampu mencari orang Indonesia di mana sahaja di ceruk negara Islam!

Di Pasar Kurma, anda boleh mencuba pelbagai bentuk dan jenis-jenis kurma dan ini antara perkara yang paling menarik sepanjang penulis di sini. Penulis telah mencuba hampir 10 jenis buah kurma! Daripada yang dibuka hinggalah kepada yang berbungkus. Malah mereka juga mengalakkan pelanggan untuk mencuba dahulu sebelum menimbang buah-buah kurma ini.

Penulis hanya membeli beberapa jenis buah kurma sahaja kerana bimbang semasa pulang nanti barangan yang hendak dibawa pulang terlebih muatan (José, orang panggil excess baggage!). Setiap daripada “jemaah” hanya dibenarkan membawa 40kg sahaja!

Penulis terlupa untuk menyentuh tentang jamuan yang disediakan semasa waktu makan tengahari, malam dan sarapan. Penulis terasa seperti berada di Indonesia kerana kebanyakan makanan yang disediakan kebanyakannya juadah dari Indonesia seperti tempe, kerepek berwarna warni dan juga gulai ayam yang cair dan berwarna putih.

Rumusan yang dapat dibuat oleh penulis ialah negara Arab turut di Indonesiakan oleh mereka! Ini kerana di Malaysia terdapat banyak tempat yang mempunyai persamaan di Indonesia seperti di Kampung Medan, Kampung Kerinchi (José, di dua tempat ini ada tempat di Indonesia yang mempunyai nama yang sama!) dan sebagainya.

Penulis tidak ada sebarang bantahan terhadap perkara ini tetapi apa yang penulis hormati dan kagumi ialah mereka berani untuk mengembara ke tempat terasing (walaupun sesetengah daripada mereka menuntut di Mekah dan terus bekerja di sana) dan berani mencuba peluang-peluang yang ada di sana. Mengapakah rakyat Malaysia pula tidak sanggup untuk mencuba dan hanya sanggup bergantung kepada Kerajaan sahaja?

Yang lebih parah ialah Kerajaan sekarang terlalu bergantung kepada pihak luar dan terlalu bacul untuk bertindak dan berdiri menuntut hak yang sepatutnya!

Bersambung..

Wednesday 4 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN 2

Selepas selesai ibadah-ibadah yang wajib, sunat dan harus dilakukan penulis mengunjungi pula Jannatul Baqi. Ia adalah sebuah kawasan perkuburan penduduk Madinah dari zaman Nabi Muhammad hingga sekarang. Menurut beberapa buku yang penulis sempat baca (Jose, itupun baca sebab nak menulis! Typical Malay barangkali?) kebanyakan putera-putera dan puteri Nabi Muhammad dimakamkan di sini. Begitu juga sebahagian daripada para sahabatya.

Agak menarik di sini ialah kebanyakan wanita akan meratap dan meraung di hadapan pagar masjid ini. Mereka tidak dibenarkan untuk masuk ke dalam kawasan ini dan mereka hanya dibenarkan berdiri di luar kawasan tanah perkuburan ini saja.

Penulis dapat melihat, mereka (José, kebanyakannya adalah fahaman ajaran Syiah) meraung-raung dan menangis dengan kuatnya! Ini mengingatkan penulis kepada wanita-wanita di Palestin. Mereka begitu meratapi dan meraung kematian para syuhada yang mati “syahid” mempertahankan tanahair mereka dari pencerobohan kaum Zionis (José, setengah orang cakap laknatullah!)

Apa yang dapat penulis perhatikan ialah askar-askar (baca polis) yang mengawal di situ cukup tegas di dalam mengawal kawasan Jannatul Baqi. Mereka tidak mengizinkan wanita-wanita ini memasuki kawasan tersebut. Cukup sekadar meratap dan meraung di luar sahaja!

Sebenarnya sepanjang penulis berada di Madinah, penulis banyak melakukan amal ibadat (José, ini benar dan penulis bukan angkat diri!) dan tidak banyak catitan yang boleh dituliskan kecuali apa yang mampu dan yang terlintas di fikiran sahaja.

Selepas berjalan-jalan di kawasan itu dan mengambil gambar (José, tidak benar mengambil gambar di situ!) penulis kembali ke Masjid Nabawi untuk menunaikan solat (José, dirikanlah solat sebanyak yang boleh semasa berada di Masjid Nabawi) sunat dan dalam masa yang sama melawat Masjid Nabawi ini. Struktur asalnya telah dibina oleh Nabi Muhammad sendiri. Di sinilah juga letaknya Makam Nabi bersama dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakar dan Umar. Bangunan tersebut telah banyak diubahsuaikan dan hanya kubahnya sahajalah yang merupakan struktur binaan asal yang tinggal.

Penulis kagum dengan binaan berkonsepkan Moorish yang diterapkan di dalam rekaan bangunan masjid ini. Namun, timbul pula persoalan. Mereka (baca kerajaan Arab Saudi) sanggup menghiaskan pintu-pintu Masjid Madinah ini dengan emas (José, betul!) tetapi tidak sanggup untuk membantu saudara-saudara mereka seagama di Lebanon, Palestin dan banyak lagi termasuk di rantau-rantau Afrika yang mempunyai penduduk beragama Islam.

Penulis ingin berkongsi dengan pembaca blog Bacalah (José, itupun jika ada!) tentang sejarah Arab Saudi ini.

Sejarah negeri Saudi bermula di sekitar 1750. Seorang pemerintah tempatan, Muhammad bin Saud, bergabung dengan seorang reformis Islam, Muhammad ibn Abd al Wahhab, untuk mencipta satu entiti politik baru. Untuk 150 tahun berikutnya, nasib keluarga Saud ini naik dan turun kerana terpaksa bertanding dengan Mesir, empayar Uthmaniyah dan keluarga Arab lain untuk menguasai Semenanjung Arab. Negeri Saudi moden ditubuhkan oleh Raja Abdul Aziz Al-Saud.

Pada 1902, Abdul Aziz Ibn Saud telah menawan Riyadh, ibu negeri dinasti Al-Saud dahulu kala, daripada pesaingnya keluarga Al-Rashid. Kemudian Abdul Aziz menawan pula Al-Ahsa, Nejd, dan Hijaz antara 1913 dan 1926. Pada 8 Januari 1926, Abdul Aziz Ibn Saud menjadi Raja Hijaz. Kemudian pada 29 Januari 1927, beliau mengambil gelaran Raja Nejd. Melalui Perjanjian Jeddah pada 20 Mei 1927, United Kingdom telah mengiktiraf kemerdekaan kerajaan beliau, Kerajaan Hijaz dan Nejd. Pada 1932, kawasan ini disatukan menjadi Kerajaan Arab Saudi. Penemuan minyak pada 3 Mac 1938 telah mengubah keadaan ekonomi negara ini, dan telah membuatkan banyak negara mengiktirafnya.

Krisis minyak pada pertengahan 70an menunjukkan betapa berkuasanya Arab Saudi dan OPEC dalam ekonomi dunia. Namun pencerobohan Iraq keatas kerajaan Kuwait pada 1990, telah memberi peluang kepada negara barat terutamanya Amerika Syarikat untuk bertapak di Timur Tengah. Akibat pencerobohan ini, negara barat di bawah pimpinan Presiden George Bush telah bertindakbalas dengan melancarkan Operasi "Desert Storm".

Kerajaan Arab Saudi terpaksa membenarkan tentera dari Amerika Syarikat untuk membuat penempatan dibumi Arab. Kehadiran tentera asing di negara ini telah mencetuskan ketegangan di antara keluarga diraja dengan rakyatnya. Beberapa serangan pengganas telah dilancarkan pada Mei dan November 2003.

Disebabkan itulah berlaku sedikit kekecohan apabila Kerajaan Arab Saudi membenarkan tentera asing (baca tentera penceroboh) berlabuh di sana. Ia persis membenarkan tentera penceroboh ini menyerang negara Islam yang lain. Secara tidak langsung juga ia persis membunuh saudara seagama sendiri.

Penulis mendapat banyak khabar dan cerita-cerita daripada penduduk-penduduk di Madinah dan juga di Mekah. Ramai yang berpendapat kerajaan Arab Saudi terlalu mengikut telunjuk Amerika sehingga setiap tindak tanduk yang hendak diambil mereka perlu mendapat kebenaran dan persetujuan daripada Amerika sendiri. Penulis berharap Malaysia tidak akan menjadi seperti Arab Saudi. Semasa penulis berada di sini, ramai tetamu Tuhan di sini merasa bangga apabila penulis memberitahu mereka penulis berasal dari Malaysia.

Mereka berpendapat Malaysia adalah sebuah negara Islam yang bagus dan kuat. Malaysia adalah salah satu negara yang lantang mengutuk kekejaman Israel dan juga memperjuangkan nasib negara-negara Islam yang tertindas seperti Bosnia dan Palestin, antaranya.

Tetapi apabila penulis bertanya tentang Malaysia sekarang, rata-rata tidak tahu dan mengenali Perdana Menteri sekarang kerana sumbangannya terhadap negara Islam seakan-akan tidak ada dan tidak berkesan langsung. Mengapakah agaknya perkara ini berlaku?

Bersambung...

Tuesday 3 October 2006

KEMBARA TETAMU TUHAN..

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal

Salamun Alaikum, penulis telah selamat kembali ke tanah air. Selamat mengerjakan ibadah umrah. Selamat dalam ertikata tiada yang berlaku kepada penulis dan keluarga. Selepas penulis selamat sampai ke Malaysia, penulis mendapat berita lapan jemaah umrah Malaysia terbunuh dalam kemalangan di Tana’im, Mekah, Arab Saudi, awal pagi 28hb September, sehari selepas penulis bertolak ke Jeddah International Airport, yang perjalanannya memakan masa selama 2 jam dari Mekah.

Bagaimanakah harus penulis memulakan cerita pengalaman ini? Sebagai permulaan, penulis merasa amat bersyukur kerana berpeluang menjadi tetamu Tuhan. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk sampai ke sana (José, tambang yang semakin naik dan pelbagai lagi perkara yang menidak mungkinkan seseorang sampai ke Mekah!)

Ditambahkan lagi dengan dugaan yang pelbagai dan beribu satu macam lagi!

Penulis bertolak dari KLIA jam 3.15 petang pada hari Isnin 18hb September. Sepanjang perjalanan tidak ada banyak coretan yang hendak dicatitkan kecuali ada insiden yang agak menarik yang mungkin bolehlah rasanya penulis ceritakan bersama pembaca blog Bacalah (José, itupun jika ada!). Di dalam penerbangan yang memakan masa hampir 8 jam itu, penulis kerap diganggu oleh seorang lelaki Arab yang kebetulan duduk di belakang kerusi penulis.

Dia merungut kerana kerusi penulis kerap menindih lututnya (José, kaki orang Arab tu, tahu sahajalah panjangnya!) Penulis tetap bersabar, maklum sahajalah hendak ke Mekah ni dugaan nya banyak!

Berbalik kepada perjalanan ke sana, penulis sampai ke Jeddah International Airport tepat jam 8 malam waktu Mekah. Cuaca panas yang membahang menyambut kedatangan kami (José, persis typical Malay writer ayat terakhir penulis ini!). Penulis menganggap ia sebagai satu dugaan dari Tuhan. Kedatangan kami telah disambut oleh Ustaz Yusof, mutawwif a.k.a tour guide kami sepanjang kami di sana (José, sama seperti tadi, ayat penulis terlalu typical Malay writer!)

Sepanjang perjalanan ke Madina, destinasi pertama kami, penulis dapat melihat cahaya neon menghiasi jalan-jalan padang pasir menghala ke destinasi kami. Kami kemudian berhenti untuk makan malam di sebuah restoran fast food yang berkonsepkan kepada makanan Arab. Janganlah terperanjat jika penulis berkata penulis dijamu nasi beriani dengan seekor ayam panggang yang mampu untuk dimakan 5 orang!

Kami tiba di Madinah sekitar jam 10.30 malam dan kami semua ditempatkan di hotel Wefada, yang sepelaung jaraknya dengan Masjid Nabawi. Setibanya di Madinah, penulis agak terkaget melihat Masjid Nabawi, di mana terletaknya makam Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W.

Keesokan harinya penulis mengunjungi masjid itu untuk bersolat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isya. Ketenangan dapat dirasakan terutamanya bersolat di kawasan Raudhah.

Menurut cerita, Nabi Muhammad pernah mengganggap kawasan ini sebagai antara kebun-kebun syurga yang terdapat di dunia. Tempat itu dikatakan tempat di mana letaknya tapak rumah Rasullulah. Kemudian di situ juga terdapat sebuah mihrab yang dikatakan sebagai pintu taubat. Bersolatlah sesiapa di depan pintu taubat itu untuk memohon keampunan. Namun bagi penulis, janganlah sesiapa menganggap ianya sebagai satu tempat di mana semua keampunan itu akan dapat diperolehi. Kerana apa yang paling penting setiap perbuatan yang dilakukan itu haruslah dilakukan dengan penuh keredhaan dan kesabaran.

Pada kebiasaanya, selepas menunaikan solat penulis akan berjalan-jalan di sekitar bandar Madinah, memerhatikan dan melihat keadaan di sekeliling. Di sinilah juga Nabi Muhamad berhijrah dari kota Mekah bagi meneruskan dakwahnya. Penulis tertarik dengan keadaan di sini. Ia lebih teratur, bersih dan lebih terpelihara. Keadaannya juga agak bersih jika dibandingkan dengan kota Mekah, tempat terletaknya Kaabah dan Masjidil Haram.

Semasa penulis berada di Madinah, banyak perkara yang penulis pelajari dan lihat, antaranya gelagat para penjual di Madina Business and Finance Centre. Mereka cukup mahir di dalam segi taktik menipu secara halus. Manusia di mana-mana sama sahaja. Mereka cukup pandai di dalam berjual-beli dan mereka juga cukup pandai di dalam menipu. Walaupun mereka berada cukup hampir dengan masjid Nabawi dan sebagainya namun sebagai manusia, manusia itu tetap juga manusia.

Penulis juga sempat melihat dan membelek barang-barangan yang terjual di situ. Agak ironi di sini kerana kebanyakannya Made In China! Hanya segelintir sahaja yang dibuat di Arab Saudi (José, itupun boleh dikira jumlahnya!). Mereka menjual barangan-barangan seperti jubah, cenderamata dan ada juga menjual alat-alat permainan yang sudah pasti tidak akan dapat diperolehi di Malaysia! Apa yang dapat penulis nyatakan di sini ialah kebanyakan daripada pasar-pasar di sini disusun dan dikawal secara kemas dan teliti. Peniaga tidak dibenarkan untuk berniaga sesuka hati.

Di mana-mana sahaja, pengemis bertebaran di muka bumi ini. Begitu juga di Madinah dan Mekah. Mereka berada di mana-mana sahaja. Selagi ada kesusahan dan hati yang bersimpati, mereka akan tetap ada! Penulis merasa agak sedih, kecewa dan terkilan kerana kebanyakan pengemis ini datang dari negara Afrika dan ada juga dari negara Palestin. Apa yang menyedihkan lagi, sesetengah daripada negara-negara ini rata-ratanya beragama Islam! Kemanakah agaknya negara-negara Islam kaya lain seperti Arab Saudi sendiri, Brunei dan beberapa negara Islam kaya yang lain di dalam memberikan bantuan kepada negara-negara ini?

Penulis faham, faktor politik memainkan peranan di dalam isu ini tetapi atas dasar kemanusiaan, bantulah sedaya mana yang mampu. Persoalan pokoknya ialah di manakah fungsi OIC di dalam soal ini? Oh, penulis terlupa, memandangkan Pengerusinya sering tertidur, sering memberikan alasan “Saya tidak tahu, saya tidak terlibat!” maka jadilah negara Islam negara yang boleh diperkotak katikkan (José, typical Malay writer lagi!)
Bersambung....

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...