Thursday 22 June 2006

Kontroversi Hudud

Oleh: Kassim Ahmad

Apakah Hukum Hudud?
Bahagian I

Nampaknya, di kalangan umat Islam, ada banyak kekeliruan dan salah faham tentang apa yang dipanggil hukum hudud. Ini kerana umat Islam sendiri berbeza pendapat tentang pengertian dan konsep negara dan undang-undang Islam.

Dua aliran fikiran besar wujud. Pertama, aliran tradisional, yang menerima sebagai mutlak rumusan-rumusan ijtihad yang dibuat oleh ahli-ahli hukum dan teologi klasik dalam abad-abad kedua dan ketiga Islam dan yang terkandung dalam kitab-kitab fiqah dan kalam. Ini dinamakan sikap taklid dan merupakan halangan yang paling besar terhadap pembaharuan undang-undang dalam Islam. Kedua, aliran moden, yang menyarankan supaya rumusan tradisional ini dinilai semula dengan satu ijtihad baru berdasarkan ajaran-ajaran Quran dan Hadis sahih dengan mengambilkira perkembangan-perkembangan moden. Inilah anjuran pembukaan semula pintu ijtihad yang dianjurkan oleh tokoh tajdid Mesir, Sheikh Muhammad Abduh, pada akhir abad ke19 dan awal abad ke-20.

Sejak muncul apa yang dikatakan kebangkitan semula Islam, khasnya selepas Revolusi Iran pada 1979, timbul desakan di kalangan umat Islam di mana-mana supaya pemimpin-pemimpin mereka menubuhkan “negara Islam” di negara masing-masing serta melaksanakan Syari`ah atau Undang-undang Islam. Gerakan ini menjadi ketara apabila dua ideologi besar Barat, liberalisme dan komunisme, gagal untuk menunaikan janjinya mewujudkan sebuah syurga dunia. Sebaliknya, kedua-dua ideologi ini runtuh atau sedang runtuh.

Setiap orang yang beriman kepada Tuhan, yang komited untuk melihat sebuah dunia yang aman dan adil, mahukan sistem Islam dan mahukan undang-undang Islam dilaksanakan di negaranya. Ini kerana dia yakin sistem Islam ialah sebaik-baik sistem dan undang-undang Islam ialah sebaik-baik undang-undang. Allah s.w.t. Sendiri dalam kitab-Nya, Quran, memerintahkan orang Islam menghukum mengikut undang-undang-Nya. Sesiapa yang tidak menghukum mengikut undang-undang-Nya disifatkan sebagai kafir, zalim atau jahat.

Inilah dilema umat Islam sekarang, di negara kita dan di seluruh dunia. Mereka mahu melaksanakan undang-undang Islam dan sistem Islam untuk menta`ati perintah Tuhan kepada mereka, tetapi apakah undang-undang Islam dan sistem Islam itu?

Sehingga kedua-dua aliran yang bertentangan ini boleh berdamai di atas beberapa titik pertemuan dan suatu muafakat baru dicapai, masyarakat dan undang-undang Islam akan tinggal sebagai khayalan dan dunia akan terus ditadbirkan oleh kaum penjajah Barat. Maka mustahaklah bagi umat Islam kembali kepada landasan ajaran Islam yang sebenar serta mengambil-alih dan memainkan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai khalifah Tuhan di muka bumi untuk mengelak daripada suatu lagi peperangan besar tercetus dan kembalinya umat manusia ke suatu Zaman Gelap yang baru.

Apakah hukum hudud? Apakah bezanya dengan Syari`ah atau Undang-undang Islam? Apakah yang kekal dan tidak berubah-ubah, dan apakah yang tidak kekal dan berubah-ubah dalam Syari`ah? Di manakah letaknya Rang Undang-undang Jenayah Syari`ah (Hudud dan Qisas) Terengganu, yang hendak diperundang-undangkan oleh Kerajaan PAS Terengganu? Inilah di antara perkara-perkara yang akan kita bahas dalm tiga siri artikel, bermula dengan artikel ini.

Awal-awal lagi kita harus sedar bahawa Syari`ah yang telah dibina oleh ahli-ahli hukum Islam klasik dalam empat mazhab besar Maliki, Hambali, Hanafi dan Shafi`e dalam Zaman Pertengahan Islam, merupakan ijtihad mereka terhadap nas-nas dalam Quran dan Hadis. Pemahaman mereka terhadap nas-nas ini serta persekitaran intelektual yang wujud pada waktu itu, termasuk sistem-sistem perundangan yang wujud dalam Empayar Rom dan Empayar Parsi, membentuk dan membina fiqah dan syari`ah klasik ini. Tidak syak lagi, warisan ini tidak boleh kita terima semuanya bulat-bulat, kerana keterikatannya dengan konteks sejarah yang tertentu. Sejarah berkembang. Maka ijtihad baru senantiasa perlu untuk membaiki kelemahan-kelemahan pemahaman sesuatu generasi yang dulu dengan generasi yang menggantinya.

Bagi orang Islam, hanya Quran, satu-satunya kitab yang kemurnian dan kesempurnaannya dijamin oleh Allah s.w.t. Sendiri, tidak boleh diubah. Dari sinilah kita mengambil petunjuk untuk semua perkara dalam kehidupan kita, termasuk undang-undang. Dari sinilah kita mendapat perkataan Arab hudud (tunggal: had). Maknanya, sempadan atau batasan. Yakni, Tuhan meletakkan sempadan atau batasan bagi tiap-tiap perkara; selagi manusia tidak melampaui sempadan atau batasan itu, ia selamat. Umpamanya, seorang manusia perlu makan, bekerja dan tidur atau rehat, tetapi jika ia berbuat perkara-perkara ini secara berlebihan, ia akan ditimpa mudarat. Tetapi jika ia tidak berbuat langsung perkara-perkara ini, ia juga akan ditimpa mudarat. Oleh yang demikian, ada batasan yang perlu dia hormati dalam tiap-tiap perkara yang dia lakukan. Jika ia melanggar batasan ini, kejahatan akan menimpanya. Inilah makna pokok perkataan 'hudud' yang digunakan dalam Quran.

Perkataan ‘hudud’disebut dalam Quran sebanyak 14 kali. Tidak satu pun merujuk kepada perkara-perkara yang telah dikategorikan sebagai kesalahan hudud, iaitu mencuri, berzina, tuduhan berzina, merompak dan murtad. (Sesetengah penulis menambah dua lagi, iaitu kesalahan-kesalahan meminum arak dan pemberontakan.) Ayat-ayat tersebut merujuk kepada undang-undang perceraian, berpuasa, faraid, berjuang di jalan Allah, memboikot persetbuhan dengan isteri (zihar ), dan umum. Ini membuktikan bahawa kaum fukaha telah memberi makna yang khusus kepada perkataan ini, mengikut pemahaman mereka, sedangkan maknanya yang sebenar umum dan menyeluruh dan merujuk kepada sempadan baik dan jahat yang telah ditetapkan oleh Tuhan.

Di sini patut kita perhatikan bahawa Quran bukan sebuah buku undang-undang. Tidak disebut kesalahan rogol di dalamnya, sepertimana tidak terdapat jenayah-jenayah mengidar dadah dan lain-lain yang kita dapati dalam masyarakat kita sekarang. Adakah ini bermakna Quran itu tidak lengkap? Tidak. Tuhan Sendiri yang mengishtiharkan Qurana itu suatu panduan hidup yang lengkap, sempurna dan terperinci. Jawapan kepada soalan ini ialah Quran bukan buku undang-undang. Ia sebuah panduan hidup; ia memberikan kita panduan dalam semua hal, termasuk bagaiman hendak menghukum jenayah.

Perhatikan bahawa hukuman-hukuman yang secara khusus disebut dalam Quran, seperti potong tangan untuk pencuri dan sebat seratus rotan untuk kedua-dua penzina, semuanya diikuti dengan perintah menyuruh meringankan hukuman-hukuman itu hingga pengampunan, jika mereka insaf dan bertaubat. Hukuman-hukuman khusus ini harus dilihat dalam konteks sejarah, kerana Quran, selain daripada sebuah kitab yang mengandungi ajaran-ajaran universal, juga menangani masalah-masalah khusus masyarakat Arab abad ketujuh dalam sejarah. Umpamanya, dalam masyarakat Arab itu, wujud kaum hamba-abdi. Quran yang ajarannya berjiwa praktikal tidak terus-menerus menyuruh membebaskan mereka, walaupun itulah tujuan akhir ajaran Quran dalam hal ini.

Dalam kajian perbandingan undang-undang yang saya lakukan, saya berjumpa dengan kes hukuman potong kepala sebagai salah satu hukuman untuk pencuri di England! Ini menunjukkan bahawa undang-undang di mana-mana pun pada zaman dulu amat keras, kerana undang-undang ini bertujuan untuk mendera dan mencegah manusia daripada perbuatan jahat dan mendidiknya menjadi baik. Masyarakat moden kita pun boleh mengenakan undang-undang keras, seperti yang kita kenakan terhadap jenayah mengedar dadah, kalau kita mahu, berdasarkan prinsip ‘hukuman setimpal’ atau hukuman adil – satu daripada prinsip hukuman yang diperintahkan dalam Quran. Satu lagi prinsip hukum yang Tuhan perintahkan kita dalam Quran ialah hukuman ehsan atau rahim, yang terkandung dalam bagian kedua ayat kita petik tadi. Dari sini kita dapat melihat bahawa Tuhan telah memberi kepada kita dua prinsip hukuman yang sangat elok. Jika badan perundangan kita menghukum dengan menggunakan dua prinsip ini, negara kita sudah menjalankan undang-undang Tuhan. Hukaman ta`zir, yakni yang dikenakan oleh hakim, mengikut budibicaranya, walaupun tidak dikaitkan dengan perintah Tuhan dalam ayat tadi oleh kaum fukaha, diakui dalam Syari`ah.


Bahagian II

Dua Autoriti dalam Perundangan Islam

Walaupun tiada perkataan ‘hudud’ dalam Quran yang merujuk kepada jenayah-jenayah hudud yang dimaksudkan olek kaum fuqaha, konsep ‘sempadan’ yang terkandung dalam makna perkataan itu membenarkan kita menggunakan perkataan itu dengan makna undang-undang dalam ertikata yang luas dan menyeluruh. Ketempangan konsep perundangan Islam kaum fukaha dapat dilihat dari penciptaan kaedah ta`zir, iaitu hukuman di luar apa yang mereka takrifkan sebagai hudud, yang ditentukan oleh kuasa budibicara hakim. Mengapakah, di satu pihak, mereka membenarkan kaedah ini (yang memang dibenarkan dalam Quran), sedangkan, di pihak lain, mereka menegaskan hukuman hudud itu mutlak dan tidak boleh digunakan budibicara hakim, berdasarkan dua prinsip hukum, keadilan dan ehsan, dalam Quran?

Mari kita kembali kepada soal autoriti dalam perundangan Islam? Mengikut ahli hukum klasik, Quran dan Hadis/Sunnah merupakan dua sumber pokok, dengan tiga sumber tambahan, iaitu Qias, Ijmak dan Ijtihad. Rumusan ini boleh diterima dengan syarat sumber Quran mengatasi serta menghakimkan sumber-sumber lain. Ini sesuai dengan ajaran Quran, seperti yang diterangkan dalam ayat-ayat berikut:-

Hai orang mukmin, hendaklah kamu ta`ati Allah dan hendaklah kamu ta`atai rasul dan mereka yang berkuada di antara kamu. Jika kamu berbalah tentang sesuatu perkara, hendaklah kamu rujuk kepada Allah dan rasul, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Ini lebih baik dan jalan penyelesaian yang elok. (4: 59)

Kemudian Kami wahyukan kepadamu kitab suci ini dengasn benarnya, mensahkan kitab-kitab suci dulu serta mengatasinya. Hendaklah engkau hukum mereka mengikut wahyu-wahyu Tuhan dan jangan ikut kehendak mereka, jika itu bercanggah dengan kebenaran yang telah datang kepadamu.” (5:48)

Ayat pertama di atas menerangkan dua sumber undang-undang yang perlu dipatuhi oleh orang mukmin. Pertama, undang-undang dasar yang ditentukan oleh Tuhan dan terkandung dalam Quran. Inilah makna frasa “ta`ati Allah dan ta`ati rasul”. Perkataan rasul disebut kerana rasullah yang membawa Quran itu kepada manusia. Perhatikan perkataan ‘rasul’ yang disebut, bukan nama rasul itu. Ini membuktikan Tuhan menarik perhatian kita kepada jawatan, bukan diri, rasul itu. Kedua, undang-undang tambahan, yang boleh digubal oleh pihak yang berkuasa atau pemerintah, dengan syarat undang-undan tambahan ini tidak bercanggah dengan undang-undang dasar yang Tuhan saja berhak buat.

Nabi Muhammad bukan saja bertindak sebagai nabi dan rasul untuk menerima dan menyampaikan Quran daripada Tuhan kepada manusia; beliau juga bertindak sebagai pemerintah (ulil-amr) kepada masyarakat Arab pada waktu itu. Dalam peranan dan bidang kuasa ini, beliau menggubal Piagam Madinah yang masyhur itu untuk mentadbir negara-kota Madinah dan kemudian negara-bangsa Arab di seluruh Semenanjung Arab apabila beliau menawan Mekah pada akhir misi beliau. Oleh yang demikian, praktik beliau sebagai pemimpin (pentadbir, panglima perang, hakim) menjadi precedent atau contoh ikutan.

Ayat kedua di atas menerangkan, walaupun sudah terdapat beberapa kitab suci sebelum Quran, iaitu Taurat, Zabur, dan Injil, apabila Quran datang kepada Nabi Muhammad, Quran mensahkan apa-apa yang benar dalam kitab-kitab suci terdulu, dan, di samping itu, Quran mengatasi kitab-kitab ini. Ini bermakna apa-apa yang bercanggah dengan ajaran Quran dalam kitab-kitab ini dengan sendirinya batal. Ini juga bermakna semua ajaran atau saranan yang bercanggah dengan ajaran Quran, baik dari mana juga datangnya, tertelok dari segi Islam. Kita akan dapati bahawa sebagian daripada ketentuan-ketentuan yang dibuat dalam fiqah tradisional bercanggah dengan ajaran Quran. Tugas berat cerdik-pandai Islam sekarang ialah membuat penilaian ini terhadap warisan ilmu perundangan Islam.

Rumusan usul-fiqh tentang sumber-sumber hukum dalam Islam boleh disimpulkan ke dalam dua autoriti hukum yang disebutkan dalam ayat 5:49 yang telah saya petik di atas. Di bawah konsep ulil-amr atau pemerintah, kita boleh terima kaedah-kaedah Qias, Ijmak dan Ijtihad, kerana sebelum sebuah undang-undang boleh dilaksanakan, ia perlu digubal, dilulus dan dilaksanakan oleh sebuah badan yang berkuasa. Saranan-saranan ahli-ahli fikir dan perdebatan dan musyawarah kaum cerdik-pandai dan pemimpin dalam masyarakat boleh menyumbang kepada pembinaan undang-undang.


Bahagian III

Kritikan terhadap Hukum Hudud
dan Konsep Perundangan Islam yang Sebenar

Dalam Draf Cadangan Rang Undang-undang Jenayah Syari`ah Terengganu, dimasuki tujuh jenis kesalahan hudud, iaitu mencuri, merompak, zina, tuduhan zina, minum arak, murtad dan bughah (yang ditakrifkan oleh PAS Terengganu sebagai penderhakaan).

Kita telah membincang kesulitan-kesulitan hukum hudud secara umum. Secara khusus, Deraf Cadangan Kerajaan PAS Terengganu ini merujuk kepada kesalahan-kesalahan jenayah. Perkara ini terletak di bawah kuasa Persekutuan dan undang-undang yang menangani jenayah-jenayah ini sudah pun wujud. Ini bermakna Kerajaan Terengganu mahu membuat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan serta meminda Kanun Jenayah Persekutuan. Cara yang betul untuk melakukan ini ialah dengan PAS membawa cadangan ini di dalam Dewan Rakyat, bukan di dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu.

Kita ingin menyentuh dua perkara saja dalam Deraf PAS Terengganu ini, iaitu kesalahan-kesalahan zina dan murtad.

Dalam kedua-dua kes ini, hukuman-hukuman yang dicadangkan menyalahi ketentuan-ketentuan yang terdapat dalam Quran. Dalam Quran bagi kedua-dua pelaku zina yang sabit kesalahan itu, dihukum sebat sebanyak seratus kali, tidak kira sama ada pesalah itu sudah berkahwin atau belum. Deaf ini telah meminda ketentuan Quran dengan menghukum pesalah yang sudah berkahwin dengan rejam sehingga mati. Autoriti yang mereka dakwa mereka ikut ialah Hadis/Sunnah. Hukuman ini sebenarnya datang dari kitab Taurat.

Berhubung dengan kes zina, Deraf ini seolah-olah menyamakan kesalahan zina dengan kesalahan rogol. Kesalahan rogol tidak disebut dalam Quran, tetapi rogol sama sekali tidak boleh disamakan dengan zina. Oleh kerana kesalahan rogol sukar untuk dibuktikan jika dikehendaki empat orang saksi, seperti dalam kes zina, maka Draf ini mengambil jalan mudah sama ada dengan mendakwa perempuan yang menuduh seorang lelaki merogolnya sebagai membuat fitnah (qazaf), atau dengan menghukum perempuan yang malang itu sebagai telah melakukan zina! Memang ini satu diskriminasi dan kezalaiman yang nyata terhadap kaum wanita!

Selain daripada hukuman khusus yang telah ditetapkan dalam Quran bagi kesalahan zina, kita tidak harus lupa bahawa Quran juga memberi dua prinsip hukuman yang bersifat universal untuk mahkamah Islam menghukum. Ini telah saya sebutkan di atas. Kita juga tidak harus lupa bahawa ayat-ayat yang menyebut tentang kesalahan ini juga menyuruh hakim Islam meringankan hukuman itu hingga memberi pengampunan sekiranya pesalah sudah insaf dan bertaubat.

Dalam kes murtad, hukuman yang dicadangkan dalam Draf ini juga diambil dari kitab Taurat. Hukuman ini sama ada satu pindaan yang telah dibuat oleh orang Yahudi terhadap kitab mereka, atau hukuman ini telah dimansukhkan dalam Quran. Dalam Quran, Tuhan memberi kebebasan mutlak kepada manusia sama ada hendak beriman atau kafir kepada-Nya. Seorang manusia berhak untuk memilih agama yang hendak dianutinya, atau keluar dari agama itu. Tidak ada syarat setelah memasuki Islam, atau Kristen atau Hindu, maka seseorang itu tidak boleh keluar dari agama itu, jika ia mahu.

Memang betul Islam agama yang direda oleh Tuhan. Tuhan tidak menerima agama selain Islam, tetapi Tuhan tidak memaksa seseorang manusia supaya memilih Islam, jika itu bukan kehendaknya.

Di samping itu, patut dinyatakan di sini bahawa Draf Cadangan Terengganu tidak membezakan antara kesalahan murtad (yang tidak ada hukuman di dunia) dengan kesalahan menghina atau mencerca agama Islam. Dua perkara ini tidak sama dan harus dibezakan.

Dalam kes jenayah hirabah atau merompak, ayat Quran yang dirujuk (5: 33) sebenarnya menyebut dua jenis jenayah yang berat, iaitu “mereka yang memerangi Tuhan dan rasul-Nya” dan “mereka yang melakukan jenayah-jenayah yang dahsyat”. Jenayah pertama boleh ditafsirkan sebagai “pemberontakan zalim terhadap sebuah kerajaan yang sah dan adil”. Jenayah kedua boleh ditafsirkan sebagai sesuatu perbuatan yang boleh merosakkan harta-benda, jiwa dan ketenteraman awam, umpamanya rusuhan. Hukuman-hukuman khusus yang ditentukan Quran bagi jenayah-jenayah ini ialah hukuman bunuh, atau disalib atau tangan dan kaki mereka dipotong bersilang, atau buang negeri . (Sekali lagi perhatikan hukuman-hukuman ini juga patut diringankan hingga pengampunan sekiranya mereka meneyerah diri dan bertaubat.)

Agak aneh mengapa para fukaha mentafsirkan ayat ini sebagai merujuk kepada jenayah merompak, sedangkan merompak sejenis dengan jenayah mencuri dan boleh ditangani di bawah tajuk itu.

Lebih aneh ialah jenayah yang disebut bughah dalam Draf Kerajaan Terengganu.
Ayat Quran yang mereka rujuk ialah:-

Jika dua kumpulan mukmin berperang satu sama lain, hendaklah kamu perdamaikan mereka. Jika suatu kumpulan menceroboh terhadap yang lain, hendaklah kamu lawan kumpulan penceroboh hingga mereka tunduk kepada perintah Tuhan. Apabila mereka tunduk, hendaklah kamu perdamaiakan kedua-dua kumpulan dengan adil. Hendaklah kamu pertahankan keadilan. Tuhan mengasihi mereka yang adil. (49: 9)

Makna perkataan Arab ‘bagha’ di sini ialah ‘menceroboh’ atau ‘menindas’ . Jadi bughah (jamak bagi baghi) ialah ‘pencerobohan’. Tetapi ayat tersebut bukan merujuk kepada sekumpulan mukmin yang melakukan pencerobohan terhadap sebuah kerajaan yang sah, yang boleh ditakrifkan sebagai pemberontakan atau penderhakaan, seperti yang dilakukan dalam Draf ini. Sebaliknya, ayat ini merujuk kepada dua kumpulan mukmin, sama ada yang berbentuk kerajaan, atau bukan, yang berkelahi atau berperang satu sama lain. Perang Iran-Iraq satu contoh kes ini. Perang saudara di Algeria dan di Afghanistan pun begitu. Ayat ini mengajar kita bagaimana hendak menangani permusuhan dan perkelahian antara orang Islam atau mukmin.

Seperti yang saya katakan di atas, sempadan atau had Allah itu luas dan menyeluruh. Ia meliputi semua perkara dalam kehidupan manusia, termasuk perkara-perkara ibadah, akhlak, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan lain-lain. Tujuan pokok undang-undang Tuhan atau Syari`ah ialah untuk mendatangkan rahmat kepada manusia. Ini termasuk keadilan, keselamatan, kejayaan dan kebahagiaan. Undang-undang pula ada pelbagai jenis: undang-undang jenayah, undang-undang sivil, undang-undang peribadi, malah ada undang-undang untuk menyelamatkan nyawa dan menghalang kesiksaan dan juga undang-undang untuk mengawal dan mendidik akhlak.

Dari huraian di atas, kita boleh melihat bahawa konsep undang-undang Islam itu luas dan menyeluruh. Tujuan pokoknya ialah untuk membawa rahmat dan keadilan kepada manusia. Untuk menonjolkan apa yang dipanggil undang-undang hudud tentang beberapa perkara jenayah tertentu dan menyamakan undang-undang Islam dengan konsep hudud yang terbatas dan sempit ini samalah dengan kita menyempitkan gagasan hidup Islam yang luas, meyeluruh dan bebas itu.

Dalam pada itu, kita perlu memerhatikan beberapa jalan keluar yang diberikan dalam Quran dalam hal ketiadaan saki. Dalam kes zina, satu kaedah yang dinamakan Li`an, yakni sumpah laknat Tuhan, boleh digunakan untuk membuktikan kebenaran seseorang. Satu lagi kaedah untuk menentukan kebenaran sesuatu pihak ialah melalui Mubahalah, atau ujian melalui doa. Kes yang disebut dalam Quran ialah untuk menentukan kebenaran tentang kelahiran Nabi Isa.

Juga, harus diperhatikan bahawa orang bukan Islam boleh memilih untuk diadili mengikut undang-undang yang mereka pilih sendiri. Ini dapat diqiaskan dari pilihan yang diberi oleh Tuhan untuk orang Yahudi dan Kristen diadili dengan undang-undang kitab Taurat dan Injil.

Sebagai kesimpulan, kita ingin mengulang bahawa Quran bukan sebuah kanun undang. Ia tidak menyebut semua kesalahan jenayah atau sivil. Selain daripada memberi beberapa hukuman khusus, yang perlu dilihat dalam konteks sejarahnya, Quran memberi dua prinsip universal hukuman, iaitu hukuman setimpal dan hukuman ehsan. Enam kaedah menghukum disebut dalam Quran: Qisas, atau hukuman balasan sama; Ta`zir, atau budibicara hakim mengikut dua prinsip universal hukuman; Diat, atau bayaran ganti-rugi, Li`an, atau sumpah laknat, Muhabalah, atau ujian kebenaran melalui doa, dan Kaffarah, atau penebusan dosa. Seperti yang telah saya nyatakan, hudud tidak disebut dalam Quran sebagai suatu kaedah menghukum. Dengan berpandu kepada kaedah-kaedah ini, masyarakat Islam boleh melakukan reformasi undang-undang yang sangat-sangat diperlukan mereka untuk membawa masyarakat Islam ke satu sistem perundangan dan satu sistem sosial yang paling baik dalam dunia.

Dengan kata-kata lain, Draf Cadangan Rang Undang-undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu ini mengandungi banyak kelemahan yang berat dari segi isi dan bentuknya. Lebih baik pembentangannya ditangguh atau dibatalkan, kerana perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti dan lebih menyeluruh dalam konteks undang-undang dan sistem hidup Islam secara keseluruhan.

Sudah sampai masanya umat Islam berani membuat perhitungan dengan keadaan mereka yang serba daif dan tertindas dan kembali kepada ajaran Tuhan yang sebenar dalam Quran. Oleh kerana kita telah mengabaikan ajaran Tuhan dalam Quran, maka Tuhan telah mengabaikan kita. Kembalilah kepada ajaran Quran dan nilai semula warisan perundangan kita dari zaman pertengahan Islam mengikut ajaran ini dalam konteks zaman moden. Dengan berbuat demikian barulah akan tercapai kebangkitan semula Islam yang sebenar.

* Uusan Malaysia, 8 Julai, 2002 & Berita Harian, 10 Julai & 6 Ogos, 2002. Diterbitkan sebagai risalah oleh Forum Iqra’ pada 31 Ogos, 2002. FORUM IQRA' sebuah pertubuhan yang bertujuan untuk mengajak umat Islam kembali kepada ajaran Islam yang sebenar yang dibawa oleh semua nabi dan rasul dan dilengkap dan disempurnakan dalam Quran yang dibawa oleh nabi terakhir, Nabi Muhammad. Ia juga bertujuan untuk memberi sumbangan kepada usaha bersama untuk mewujudkan sebuah masyarakat nasional Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama yang harmonis, aman, selamat dan bahagia, berdasarkan ajaran Tuhan dalam Quran.

nota dari Bacalah - artikel ini telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri atas sebab terpesong. Terpesong!? Bukankah baru ini Pak Lah a.k.a Perdana Menteri telah meminta orang Islam membuka minda dan mengadakan perbincangan dengan semua umat. Bacalah..jangan jadi terlalu ortodoks.

No comments:

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...