Thursday 1 June 2006

Antara Tragedi Oktober dan Tragedi Bikin Sendiri

Oleh - Hesmel Faznee Ahmad Faisal
Sebuah tragedi telah berlaku. Tragedi yang menimpa sebuah kampung di Hulu Kelang. 4 nyawa terkorban di dalam tragedi tanah runtuh di situ. Di Kampung Pasir, Hulu Klang, namun yang lebih menyedihkan ialah kebanyakan yang terkorban pada tragedi itu ialah ratanya pendatang tanpa izin Indonesia.

Mengapakah penulis menulis dan berbunyi agak ironi di dalam perenggan terakhir itu? Puncanya ialah kerana bagaimanakah kampung tersebut boleh didirikan di atas tanah haram dan sehingga ke hari ini tiada siapa yang tahu tentang kampung itu (Jika tidak kerana tragedi itu, penulis yakin sehingga ke tahun depan tiada siapa yang akan tahu tentang kewujudan kampung itu!)

Maka datanglah golongan Samaritan Malaysia, yang datang menghulurkan bantuan kewangan dan juga harta benda (Siapa cakap orang Malaysia kedekut!? Mereka lebih murah hati kepada orang asing dari orang tempatan, bukan?) Maka datanglah pegerakan Pemuda UMNO memberikan bantuan kewangan dan perkakasan penting, seperti bantal, selimut, makanan dan lain-lain. Maka datanglah wajah-wajah yang tidak pernah bersua dengan Pak Hassan dari Kampung Mukim Selama, Sungai Bayor (penulis yakin dari 10 pembaca Bacalah – itupun jika ada, hanya 2 yang tahu di mana Sungai Bayor!) menghulurkan bantuan.

Maka datanglah persoalan-persoalan yang mula timbul dari benak penulis yang sedia benak (kenalah rendah diri, penulis bukan macam sesetengah penulis-penulis pojok yang suka membanggakan diri!). Apakah ini satu dugaan kepada rakyat Indonesia? Kebelakangan ini mereka ditimpa dengan pelbagai dugaan dan ujian dari Tuhan. Belum reda dengan kejadian gempa bumi yang melanda Yogjakarta, kekalutan yang berlaku di Timur Leste, yang dahulunya adalah bekas tanah jajahan Indonesia, kini timbul pula kejadian tanah runtuh di situ.

Penulis agak hairan, tertanya-tanya, bingung, tolol dan segala terminologi (ayat favourite penulis) yang berkaitan dengannya. Apakah yang dilakukan selama ini oleh MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya)?!

Masih sibukkah dengan kes bekas penguatkuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad? Takkan mereka terlepas pandang kewujudan Kampung Pasir itu? Atau mungkin masing-masing sibuk mengira keuntungan dari habuan masing-masing? Persoalan ini agak subjektif kerana bila penulis menyentuh perkataan habuan, ia tidak membawa apa-apa pengertian. Mungkin habuan bonus bulanan, tahunan atau mungkin pelbagai kemungkinan lagi.

Sebenarnya, perkara ini bukanlah perkara yang baru. Tetapi sudah lama menjadi sebutan. Banyak lagi tanah-tanah di Selangor dicerobohi oleh pendatang haram (bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba menukarkannya kepada pendatang tanpa izin, katanya lebih lembut bunyinya) ini secara sedar ataupun tidak sedar oleh penguatkuasa tempatan. Ini mengingatkan penulis kepada isu gangster ataupun penguatkuasa tempatan yang menjalankan tanggungjawab persis penyangak filem Godfather! Rupanya, tanpa diingini, menteri yang membangkitkan isu ini, Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan Dato’ M. Kayveas turut terjerut dalam isu rasuah Kapten Kudus itu. What a coincidence!

Penulis teringat pesan ibu penulis, “Kalau kita tuding jari ke orang, jangan lupa 4 jari sedang menuding balik ke kita..”. Memang betul seperti apa yang ibu penulis katakan. Banyak tuduhan yang dihadapi oleh Kapten Kudus. 24 tuduhan! Sejahat-jahat Dato’ Seri Anwar Ibrahim, banyak lagi tuduhan yang dihadapi oleh Kapten Kudus rupanya! Adakah benar tuduhan Kapten Kudus, bila beliau turut mengheret Datuk Kayveas yang menurutnya, turut masuk campur dalam satu kes di mana mereka mengambil tindakan ke atas sebuah premis yang beroperasi tanpa lesen? Seperti kata orang putih, as the plot thickens, inilah kesamaan yang boleh diambil dari cerita ini.

Penulis rasa, isu kahwin Misyar (bukan isu perkahwinan Misha Omar a.k.a Samihah Omar) semakin menjadi menarik! Tahniah kepada Profesor Dato’ Dr Mahmud Zuhdi kerana membangkitkan isu ini. Menurut Sheikh al-Azhar Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi, seorang ahli pemikir dari Universiti Al-Azhar beliau bersetuju dengan perkahwinan ini dengan syarat ia berlandaskan kepada keadilan dan juga bertujuan untuk mengelakkan gejala maksiat berleluasa. Namun dalam isu yang lain pula, menurut beliau negara-negara Islam perlu menukar sekolah-sekolah agama yang ekstrem yang mengajar ajaran melampau kepada pusat yang membentuk modal insan yang mampu menyumbang kepada ekonomi moden. Dalam isu yang terbaru, mengenai kewujudan kumpulan radikal Islam, Darul Islam yang beroperasi di Sabah sedang merancang mewujudkan Daulah Islamiah Nusantara meliputi Indonesia, Malaysia dan selatan Filipina secara militan. Inilah yang dimaksudkan oleh beliau tentang ekstremisme yang wujud di dalam negara kita.

Bayangkan terdapat beberapa orang rakyat Malaysia yang turut terlibat di dalam kumpulan ini. Ini merupakan satu ancaman baru terhadap negara. Penulis mula terfikir, apakah sebenarnya yang dipelajari oleh para pelajar sekolah aliran agama? Adakah perasaan ekstremis ataupun fahaman yang bersifat ortodoks menjadi asas kepada pembelajaran mereka? Penulis mula membayangkan nasib negara pada tahun 2020 kelak, namun menghela nafas lega apabila Sheikh Syed Tantawi turut menentang sebarang ajaran yang bersifat radikal terutamanya di dalam ajaran Islam.

Bukankah Islam itu bermaksud aman? Apakah mereka ini lebih menekankan unsur keganasan di dalam pemahaman mereka tentang Islam? Atau mungkin mereka sekadar “Iselam” ? Inilah yang perlu kita cungkil dan tanya diri kita.

Kita Kan Tersesat Pabila Malam Menjemput Bulan Semula Ke Sangkar Waktu – The Salam Connection.

2 comments:

Panglima Hitam said...

Pendakwaan gagal membuktikan bahawa Kapt Kudus menerima rasuah kerana beliau tidak pernah ditangkap, mempunyai saksi, ada clip vedeo dll. Tetapi dlm mahkamah Kapt Kudus pula ada gambar menunjukkan En Sinnapan, pemilik restoran yg mendakwa memberi rasuah kepada Kapt Kudus sedang memberi cek sumbangan RM50,000 kepada Dato' Kayveas dalam majlis yg turut disaksikan oleh Tun Dr Mahadhir pada 1 Januari 2003. Selang 2 minggu lepas itu, Dato' Kayveas pula sanggup datang ke premis perniagaan tsb di Pandan Indah ketika diserbu MPAJ untuk menghalang Kapt Kudus. Kisah ini diakui sendiri ketika wawancara BH & UM bersama Dato' Kayveas pada akhbar mereka keluaran 6 Jun 2003. Siapakah sebenarnya yg menerima rasuah? Kapt Kudus atau Dato' Kayveas?

Anonymous said...

Siapa sebenarnya yg rasuah. Kapt Kudus atau M. Kayveas? Sebenarnya Kayveas di lindungi oleh seseorang maka sebab itu dia berani... Agaknya berapa banyak dia habiskan duit nak minta bantuan orang tu supaya rakyat tak nampak salahnya... Kapt Kudus mungkin tahu siapa, cuma beliau tunggu masa yang sesuai utk umum

SENI BAHASA DAN SENI RUPA DALAM CERMINAN AKAL BUDI MELAYU

                                                                                Oleh - Hesmel Faznee Faisal Allahyarham Pendeta Za’ba (1985-...